PASIR PUTEH, 11 FEBRUARI 2025 : Saudara Tuan Azuddin bin T. Mohammad, Setiausaha Persatuan Tenis Daerah Pasir Puteh telah mengunjungi Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh untuk mendapatkan maklumat dan tata cara permohonan Dana Sukan Komuniti mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan pendaftaran e-vendor persatuan.
Encik Rosshazelan bin Sulaiman, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh telah menerangkan kepada beliau berkenaan kaedah permohonan Dana Sukan Komuniti (DSK) KBS tersebut yang telah dibuka sejak awal tahun ini.
Dalam pertemuan ini juga, Tuan Azuddin turut membentangkan kertas kerja Kejohanan Tenis Terbuka Pasir Puteh 2025 yang ingin dilaksanakan oleh pihaknya dan proses pencarian dana bagi pelaksanaan kejohanan tersebut telah dimulakan sejak minggu lalu.
TUMPAT, 10 FEBRUARI 2025 - Pengarah Komunikasi Pusat Madani Tumpat, Encik Ahmad Hizwani bin Shafii (KuChik) bersama rombongan telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Tumpat pada 3 Februari 2025 bagi sesi bertemu mata dan perkenalan.
Perbincangan ialah berteraskan perancangan dan bertukar pendapat berkaitan program sebelum dan yang akan datang oleh pihak Pejabat Belia dan Sukan Daerah serta Pusat Madani Tumpat. Pusat Madani Tumpat telah ditubuhkan bagi memastikan agenda serta khidmat kepada rakyat dapat disalurkan kepada penduduk akar umbi bersama-sama agensi Kerajaan yang sedia ada.
Perjumpaan ini juga memberi satu pengalaman serta idea yang bertujuan untuk melaksanakan program-program kemasyarakatan kepada belia dan beliawanis di daerah Tumpat. KuChik juga memaklumkan kami sentiasa membuka tangan untuk menyambut baik program-program yang ditawarkan untuk bersama dalam memastikan persatuan dan kelab di daerah Tumpat dapat diperkasakan lagi.
Semoga dengan adanya sesi kunjungan hormat ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim dan kerjasama yang boleh digerakkan dalam membangunkan program Belia, Sukan dan Rakan Muda khususnya di daerah Tumpat. Turut sama dalam perjumpaan tersebut ialah Encik Mohamad Saupi bin Ibrahim, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tumpat.
TUMPAT, 6 FEBRUARI 2025 - Sempena Minggu Paradgima Sesi 1/2025 IKTBN Bachok, taklimat berkenaan program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) telah diadakan kepada pelajar-pelajar baharu. Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda ialah program pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia untuk remaja berumur 14 hingga 24 tahun yang terlibat secara aktif dalam pelbagai bidang yang menyumbang kepada proses kematangan mereka. Program ini diadaptasi daripada The Duke of Edinburgh’s Award yang diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 1956 dan kini diiktiraf di 126 negara di seluruh dunia.
Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Encik Nik Ahmad Saifullah bin Ahmad Husni, daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat yang mewakili Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan pada 4 Februari 2025 bertempat di Dewan Serbaguna IKTBN Bachok. Seramai 60 orang pelajar baharu telah hadir bagi mendengar taklimat ini. Objektif Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) adalah pembangunan remaja yang bertujuan untuk membentuk generasi muda yang berdaya saing, berdisiplin, dan mempunyai jati diri yang kukuh. Memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial melalui penglibatan dalam aktiviti khidmat masyarakat, remaja didorong untuk membantu golongan yang memerlukan, seperti mangsa bencana dan komuniti kurang bernasib baik.
Selain itu, program ini juga membangunkan kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan dalam aktiviti seperti penjelajahan lasak dan projek penempatan untuk membantu remaja mengasah kemahiran, kepimpinan serta meningkatkan keupayaan bekerja dalam kumpulan. Di samping itu, turut meningkatkan disiplin serta integriti dalam penglibatan komponen seperti sukan, kebudayaan dengan mendorong remaja untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan berdisiplin.
Secara keseluruhan, ARPRM melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan belia Kelantan dengan menyediakan platform untuk mereka mengembangkan potensi diri dan menyumbang kepada masyarakat.
PASIR PUTEH, 4 FEBRUARI 2025 – Encik Hanafiah bin Hamzah, Presiden Kelab Petanque Limbongan dan Encik Sidik Ahmad bin Ab Ghani, Setiausaha Kelab Petanque Limbongan telah hadir ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh pada 3 Februari 2025 semalam untuk pemeriksaan dan kemas kini dokumen Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) bagi tahun 2025 kelab mereka.
Encik Rosshazelan bin Sulaiman, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh telah memeriksa dan meneliti satu persatu kandungan MYKB tersebut agar ianya menepati standard yang ditetapkan oleh pihak Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
Dalam pertemuan ini juga, Kelab Pentanque Limbongan turut membentangkan perancangan aktiviti kelab tahun ini dengan sasaran mengadakan klinik untuk remaja bagi menambah jumlah keahlian semasa mereka dan sebagai langkah untuk mempopularkan lagi sukan pétanque di daerah Pasir Puteh ini.
KUALA KRAI, 04 FEBRUARI 2025 – "Saya amat menekankan keseronokan dalam bekerja kerana bagi saya suasana bekerja yang kondusif dan menyeronokkan merupakan antara faktor yang menyumbang kepada keberhasilan kerja yang cemerlang" ujur Puan Rosnani binti Hj. Abdullah Zawawi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai dalam ucapan aluan Mesyuarat Pengurusan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai Bilangan 1 Tahun 2025 hari ini.
Pengerusi juga mengucapkan tahniah kepada semua pegawai dari setiap bahagian di atas kejayaan dalam pelaksanaan kesemua program bagi tahun 2024. Beliau mengingatkan kepada semua pegawai untuk terus mengekalkan semangat kerja berpasukan, keharmonian dalam bekerja dan sentiasa berfikiran positif bagi meningkatkan prestasi kerja serta imej Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan khususnya.
Antara agenda lain yang telah dibincangkan adalah perancangan serta hala tuju program-program Pembangunan Belia, Sukan dan Rakan Muda dan tadbir urus pejabat yang perlu mengikut tatakelola yang diarahkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dari masa ke semasa. Mesyuarat yang berlangsung di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai, telah dihadiri oleh semua pegawai dan kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai dari semua bahagian.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal PBSD Kuala Krai
MACHANG, 3 FEBRUARI 2025 – Satu sesi perjumpaan dan perbincangan telah diadakan antara Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Machang dengan wakil Kelab Belia Bakti Kampung Labok di PBSD Machang bagi membincangkan penubuhan, hala tuju, penglibatan dan kerjasama kelab ini pada masa hadapan.
Perbincangan tersebut dihadiri oleh Puan Siti Azura binti Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang, Encik Mohd Zul Izudin bin Samat, Staf Unit Belia PBSD Machang dan Saudara Ahmad Afiq bin Mohamed Sohaimi, wakil Kelab Belia Bakti Kampung Labok.
Disediakan oleh : Urus setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang.
KUALA KRAI, 22 JANUARI 2025 – Pegawai dan Kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai telah menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan Bil 1/2025 bersempena lawatan kerja rasmi YABrs. Puan. Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan bertempat di Dewan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Objektif perhimpunan pada kali ini berfokus kepada amanat Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara kepada warga kerja di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan berkenaan hala tuju dan gerak kerja Jabatan Belia dan Sukan Negara bagi tahun 2025 yang lebih berkesan. Dalam ucapan YABrs. Puan Ketua Pengarah, beliau mengingatkan kepada semua pegawai untuk sentiasa mewujudkan semangat kerja berpasukan dalam melaksanakan gerak kerja di samping mementingkan komunikasi yang berkesan bagi mewujudkan suasana kerja yang lebih selesa dan harmoni.
Dalam sesi yang sama, YABrs. Pn. Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara diiringi YBrs. En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah JBS Negeri Kelantan berkesempatan melawat kemudahan - kemudahan yang terdapat di kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan turut diraikan majlis persaraan Pn. Wan Roslinda binti Wan Ibrahim, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu. Turut hadir dalam perhimpunan ini, YBrs. En. Mohd Soufi bin Mohd Ibrahim, Pengarah IKTBN Bachok dan YBrs. Dr. Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee, Pengarah Pusat Belia Antarabangsa.
MACHANG, 28 JANUARI 2025 – Sesi bacaan ikrar Perakuan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) Pejabat Belia dan Sukan (PBSD) Machang bagi tahun 2025 telah dilaksanakan dengan jayanya oleh seluruh warga PBSD Machang.
Majlis ini dilaksanakan bagi memberi penekanan dan kepentingan penjawat awam dalam menjalankan tugas dengan lebih berintegriti dan menjaga kerahsiaan rahsia Kerajaan. Bacaan ikrar ini telah dilaksanakan secara atas talian dan diketuai oleh Encik Muhammad Fadzly bin Ramli dengan diikuti oleh semua warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Disediakan oleh : Urus setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang.
MACHANG, 28 JANUARI 2025 - Mesyuarat Pengurusan Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Machang Bilangan 1/2025 telah diadakan di Bilik Mesyuarat PBSD Machang dengan jayanya.
Mesyuarat ini diadakan adalah untuk membincangkan perkara-perkara berkenaan dengan pengurusan dan pentadbiran pejabat, serta perbincangan program-program belia, rakan muda, dan sukan yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang, Puan Siti Azura binti Abdullah dan dihadiri oleh semua staf PBSD Machang serta seorang pelajar Latihan Industri.
Disediakan oleh : Urus setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang.