Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada YB Hannah Yeoh dan YB Adam Adli atas segala jasa, dedikasi serta komitmen yang telah dicurahkan sepanjang menerajui Kementerian Belia dan Sukan. Kepimpinan dan sumbangan yang diberikan amat bermakna dalam memperkasa pembangunan belia dan sukan negara.
Selamat maju jaya dan selamat menjalankan amanah di kementerian baharu. Semoga terus cemerlang serta sukses dalam meneruskan khidmat bakti demi kesejahteraan dan kemajuan negara.
Ikhlas daripada,
Pengarah dan Seluruh Warga Kerja Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor
Larkin, 14 Disember 2025 – Telah berlangsung Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Negeri Johor 2025 bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor.
Sebanyak 15 pasukan telah menyertai pertandingan ini. Pertandingan ini bertujuan untuk memilih pasukan terbaik yang akan mewakili Negeri Johor ke peringkat kebangsaan, yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Disember 2025 bertempat di Pusat Sukan UiTM Shah Alam.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Encik Mohammad Khairul bin Mohd Dam, Penolong Pengarah Kanan (Sukan). Turut hadir Dr. Haji Mardian Shah bin Omar, Timbalan Presiden Persatuan Sukan Kecergasan Malaysia, merangkap Ketua Juri bagi pertandingan tersebut.
Semoga pasukan Negeri Johor akan beroleh kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan kelak.
Larkin, 13 Disember 2025 – Telah berlangsung Program Asas Sukan (KLAS) Cheerleading bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor.
Program ini telah merekodkan penyertaan seramai 75 orang peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah di Negeri Johor. Selain bengkel pengenalan, Program KLAS Cheerleading ini juga bertujuan untuk memilih bakat baru bagi mewakili Negeri Johor ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Disember 2025 bertempat di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor. Turut hadir, Encik Brian Tan Shi Rong, Ketua Jurulatih dan juga pasukan jurulatih daripada Persatuan Cheerleading Malaysia yang mengelola sesi pembelajaran dan pemilihan tersebut.
Penganjuran program ini merupakan salah satu inisiatif KBS untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat selain mempromosi sukan cheerleading di Negeri Johor.
SEGAMAT, 8 Disember 2025 – Program Senaman Warga Emas Aktif Daerah Segamat Tahun 2025 telah dilaksanakan dengan jayanya sepanjang bulan November hingga Disember ini. Program berkenaan berlangsung pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat bertempat di tiga lokasi utama iaitu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bandar Segamat, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Labis, Dataran Taman Rekreasi Sungai Kapeh dan HUB Belia Segamat, Jalan Kolam Air.
Program yang melibatkan keseluruhan 10 siri pelaksanaan ini menerima penyertaan yang amat menggalakkan daripada warga emas yang sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti fizikal.
Pelaksanaan program ini adalah hasil kerjasama strategik antara Hyper Fitness Sport Club (HFSC), Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Segamat, PAWE Bandar Segamat dan PAWE Labis. Inisiatif tersebut bertujuan memupuk gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga emas serta meningkatkan penyertaan mereka dalam bidang kecergasan dan sukan.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Segamat, Encik Maizatul Asrul bin Mohd Yunus, yang turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada rakan strategik atas komitmen dan sokongan mereka menjayakan program ini.
Muar, 6 Disember 2025 – Program Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) Peringkat Negeri Johor telah berjaya dilaksanakan di Kolej Kediaman Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh dengan penglibatan belia dari pelbagai daerah di negeri Johor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, yang dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan atas dedikasi dan sumbangan mereka dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat.
Pelaksanaan pelbagai aktiviti sempena HKBM ini turut bertujuan mengiktiraf peranan serta komitmen belia dalam usaha khidmat masyarakat, di samping menggalakkan semangat kesukarelawanan sebagai budaya yang berterusan.
Program ini sekali lagi membuktikan bahawa belia Johor merupakan aset penting dalam pembangunan negara melalui keprihatinan dan semangat sukarelawan yang tinggi.
MERSING, 22 November 2025 – Sebanyak 49 peserta berumur 2 hingga 7 tahun, lelaki dan perempuan, memeriahkan Mersing Merdeka Push Bike Challenge 2025 yang berlangsung di empak Meletak Kenderaan di Pasar Tani Kekal, Mersing pada pukul 9.00 pagi.
Acara anjuran bersama oleh Kelab Berbasikal Anak Selatan dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Mersing (PBSD) ini bertujuan menggalakkan aktiviti sihat sejak usia muda, memupuk keyakinan diri, serta minat dalam sukan berbasikal dalam kalangan kanak-kanak.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Suzana binti Haji Ali, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Mersing, yang menyerahkan hadiah kepada para pemenang dan mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas semangat dan keberanian mereka.
Acara Mersing Merdeka Push Bike Challenge 2025 bukan sahaja memberikan pengalaman menyeronokkan kepada kanak-kanak, malah memperkukuh penglibatan komuniti dan memupuk budaya sukan sejak kecil di daerah Mersing.
MERSING, 22 November 2025 – Pagi yang segar menyaksikan kehangatan semangat peserta Monsoon Run V.3 apabila acara larian sejauh 7km bermula di Pasar Tani Kekal, Mersing pada pukul 7.00 pagi. Aktiviti dimulakan dengan senamrobik oleh Healthy Dinamic Aerobic Club (HDAC) sebelum peserta dilepaskan secara rasmi oleh YBrs. Tuan Haji Jamil Hasni bin Abdullah, Pegawai Daerah Mersing.
Acara larian ini dianjurkan bersama oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Mersing dan Kelab Berbasikal Anak Selatan, bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, semangat kerjasama serta aktiviti luar untuk komuniti setempat.
Selain larian, program turut diserikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah motosikal, menarik perhatian dan keterujaan peserta dan pengunjung.
Acara ini bukan sahaja menjadi platform untuk aktiviti kesihatan dan rekreasi, malah memperkukuh semangat komuniti dan penglibatan warga Mersing dalam aktiviti belia dan sukan. Monsoon Run V.3 menandakan penganjuran kali ketiga acara ini, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan PBSD dan rakan penganjur dalam membangunkan aktiviti belia yang bertenaga dan berinspirasi.
Pasir Gudang, 18 November 2025 - Telah berlangsung Program Tayangan Skrin Besar Peringkat Negeri Johor sempena pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 bertempat di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Pasir Gudang yang menyaksikan perlawanan sengit diantara Pasukan Malaysia menentang Pasukan Nepal.
Seramai 586 orang penyokong Harimau Malaya hadir dan memberikan sokongan terhadap pasukan negara dengan keputusan perlawanan menyebelahi Malaysia 1-0. Turut hadir, Tuan Haji Norahman bin Mustaffa, Timbalan Setiausaha MBPG dan Encik Mohamad Daniel Shafiq bin Suhaimi, Penolong Pengarah Jabatan Kesejahteraan Komuniti dan Pelancongan MBPG.
Aktiviti sampingan turut diadakan seperti Cabutan Bertuah, Kuiz dan Timbang Bola.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang atas sokongan dan kerjasama dalam penganjuran program ini.
SEGAMAT, 15 November 2025 - Telah berlangsung Majlis Penyerahan Projek kepada Komuniti bersempena dengan Santuni MADANI KBS - Program Satu Pemimpin Satu Kampung yang telah diadakan di Kampung Spang Loi, Buloh Kasap, Segamat. Program ini merupakan satu inisiatif kerajaan yang bertujuan memperkukuh hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Program ini bukan sekadar pelaksanaan aktiviti, membaik pulih kemudahan awam atau penganjuran program komuniti semata-mata, tetapi satu usaha menyantuni masyarakat dengan pendekatan empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial.
Majlis Perasmian Penyerahan Projek telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan. Turut hadir Yang Berhormat Dato' Zahri bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor merangkap ADUN Buloh Kasap, Yang Berbahagia Tuan Haji Mohamad Yazid bin Baharudin, Pentadbir Tanah Daerah Segamat, Yang Berusaha Dr. Nazira binti Abdul Rahman, Setiausaha Bahagian Dasar KBS dan Yang Berusaha Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama yang luar biasa untuk menjayakan program ini.