MERSING, 6 September 2026 – Telah berlangsung Program Inspire Eksplorasi OKU X Youth Camp Peringkat Negeri Johor 2026 bertempat di Teluk Gorek Chalet & Campsite, Mersing pada 5 hingga 6 September 2026.
Program ini melibatkan seramai 65 orang peserta OKU dan peserta normal, dengan pengisian berfokus kepada aktiviti rekreasi, eksplorasi, pembangunan kendiri dan semangat kerjasama.
Majlis Penutupan Rasmi telah disempurnakan oleh Encik Mohammad Khairul bin Mohd Dam, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Semoga program ini terus menjadi platform dalam memperkasa golongan OKU melalui aktiviti rekreasi dan eksplorasi, di samping membina keyakinan diri serta mengembangkan potensi mereka.
Johor Bahru, 5 September 2026 – Sesi Aktiviti Kecergasan Fizikal Ke-13 bagi Pertandingan Biggest Loser KBS Peringkat Negeri Johor 2026 telah dilaksanakan dengan penglibatan para peserta bersama rakan strategik, Herbalife Nutrition.
Sesi kali ini merangkumi aktiviti latihan fizikal dan High-Intensity Interval Training (HIIT) yang bertujuan meningkatkan tahap kecergasan fizikal serta menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan peserta.
Turut diadakan perkongsian berkaitan minuman kesihatan Herbalife sebagai sebahagian daripada pengisian sesi.
Terima kasih kepada semua peserta dan rakan strategik atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan sesi ini.
BANDAR PENAWAR, 5 September 2026 – Seramai 35 orang peserta dari seluruh negeri Johor telah menyertai Cabaran Sukan Rekreasi (Klinik Asas Kayak) Peringkat Negeri Johor 2026 yang berlangsung selama sehari di Kompleks Rakan Muda Desaru (KRMD).
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor (JBSN Johor) ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas sukan kayak serta pengetahuan dan kemahiran dalam aktiviti rekreasi air.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang mempelajari teknik asas kayak, berkongsi pengalaman serta menerima tunjuk ajar secara langsung daripada jurulatih rekreasi yang bertauliah. Peserta yang berjaya menamatkan program turut menerima sijil penyertaan.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Encik Zurihanmi bin Zakariya, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Turut hadir Encik Mohammad Khairul bin Mohd Dam, Penolong Pengarah Kanan (Sukan), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor serta Encik Shamsuddzukha bin Hj. Hashim, Pengurus Kompleks Rakan Muda Desaru.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menggalakkan penglibatan masyarakat khususnya golongan belia dalam aktiviti rekreasi luar, di samping melahirkan individu yang aktif, cergas, berkemahiran dan berkompetensi dalam bidang rekreasi.
Muar, 3 September 2026 – Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Encik Tony Azman bin Hassan telah mengadakan kunjungan dan menyantuni Majlis Belia Daerah Muar (MBD Muar).
Kehadiran beliau telah disambut oleh Yang Dipertua MBD Muar, Encik Mohammad Hafiz Bin Tumin serta barisan Exco MBD Muar yang turut hadir dalam sesi tersebut.
Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan gerak kerja MBD Muar dalam mempersiapkan barisan pelapis kepimpinan belia, sebagai kesinambungan kepimpinan di peringkat daerah.
Turut dibincangkan ialah perancangan program-program belia yang bakal dilaksanakan di daerah Muar, khususnya dalam usaha memperluas penglibatan anak muda dalam aktiviti pembangunan dan pemerkasaan belia.
Dalam masa yang sama Pihak JBSN telah mengadakan Lawatan ke Academy Snooker M5 yang merupakan Milik Saudara Aizat Izzudin Wahid EXCO MBD Muar
Sesi kunjungan ini turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dengan MBD Muar, dalam memastikan agenda pembangunan belia terus diperkasakan di peringkat akar umbi.
Segamat, 3 September 2026 – Timbalan Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Encik Tony Azman bin Hassan telah mengadakan lawatan ke Hub Belia Segamat bagi meninjau perkembangan serta menyantuni komuniti belia di daerah berkenaan.
Kehadiran beliau telah disambut oleh Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Segamat, Encik Mohd Hidayat bin Mohd Noor.
Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat yang bersama-sama menyantuni serta beramah mesra sepanjang lawatan tersebut.
Lawatan ini menjadi platform untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat serta Majlis Belia Daerah Segamat, khususnya dalam memperkasakan penglibatan belia dan agenda pembangunan belia di peringkat akar umbi.
FELDA Redong 1, Segamat, 3 September 2026 – Telah berlangsung Majlis Penutupan Rasmi
Kem Belia @ Rakan Prihatin Luar Bandar Siri 1 Tahun 2026 Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Dewan Serbaguna FELDA Redong 1, Segamat. Program telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Tony Azman bin Hassan, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor. Turut hadir ialah Pengurus Felda Redong 1, Ketua Peneroka Felda Redong 1 dan Penolong Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat.
Program yang berlangsung selama tiga hari, bermula 1 hingga 3 September 2026, merupakan satu inisiatif intervensi sosial bagi meningkatkan kesedaran dan membentuk jati diri belia, khususnya dalam kalangan belia di kawasan luar bandar dan komuniti FELDA. Program ini telah dikendalikan oleh Unit Pembangunan Sosial, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor bersama-sama Naz Sports Management.
Pelaksanaan program memberi penekanan kepada aspek matlamat hidup, tanggungjawab diri, kesedaran terhadap bahaya gejala sosial dan jenayah, pemikiran kritis dan kreatif serta pembentukan nilai-nilai murni selaras dengan pembangunan belia positif.
Sepanjang program, para peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk Rakan Aktif: Cabaran Sinergi, Rakan Ekspresi: Dari Idea ke Aksi, Jangan Ambil Pilihan Salah, Minda Sihat, Belia Tolak Ekstremisme, Rakan Prihatin: Belia Ambil Peduli, Belia Positif serta pengisian berkaitan keselamatan siber.
Program ini turut mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program.
Melalui pendekatan ini, peserta diharap dapat membawa pulang bukan sahaja pengalaman dan ilmu baharu, malah menjadi rakan prihatin serta penggerak positif dalam komuniti, seterusnya membantu membina persekitaran belia yang lebih sihat, aktif dan berdaya tahan.
MUAR, 31 Ogos 2026 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor (JBSJ) telah menyertai Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor.
Kontinjen JBSJ yang terdiri daripada 33 orang peserta telah diketuai oleh Encik Tony Azman bin Hassan, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor. Turut hadir ialah Encik Zurihanmi bin Zakariya, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen JBSJ dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta menyokong usaha memperkukuh perpaduan dan jati diri Bangsa Johor.
Johor Bahru, 23 Ogos 2026 – Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Negeri Johor Tahun 2026 telah berlangsung dengan meriah pada hari ini bertempat di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru.
Pertandingan yang dianjurkan bagi mencungkil bakat serta memperkasakan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kecergasan fizikal ini telah disertai seramai 130 orang peserta yang mewakili pasukan masing-masing.
Kesemua peserta telah menampilkan persembahan yang bertenaga, kreatif dan kompetitif dalam usaha merebut gelaran Juara Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Negeri Johor Tahun 2026, sekali gus membawa cabaran dan mewakili Negeri Johor ke peringkat kebangsaan yang akan dimaklumkan kelak.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Encik Mohammad Fadhil bin Jamal, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru, merangkap wakil rasmi Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor. Turut hadir, Dr. Haji Mardian Shah bin Omar, Timbalan Presiden Persatuan Sukan Kecergasan Malaysia merangkap Ketua Juri bagi pertandingan ini.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta, jurulatih serta pihak yang terlibat atas komitmen dan sokongan dalam menjayakan Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Negeri Johor Tahun 2026.
PEKAN NANAS, PONTIAN, 23 Ogos 2026 - Seramai 34 orang peserta dari pelbagai Pertubuahan Belia Daerah Pontian telah menyertai Program Pengurusan Organisasi (PPO) Peringkat Daerah Pontian Tahun 2026 yang berlangsung selama 3 hari bermula 21 Ogos 2026 hingga 23 Ogos 2026 di Nurjannah Camp Eco Resort, Pekan Nanas, Pontian.
Program yang mendapat kerjasama baik daripada Majlis Belia Daerah (MBD) Pontian ini telah memfokuskan kepada pengurusan organisasi yang dijayakan oleh penceramah dan fasilitator-fasilitator yang terlatih daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor (JBSJ), Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).
Pelbagai pengisian aktiviti disediakan antaranya Ceramah Kepimpinan dan Kemahiran Komunikasi, Penyediaan Kertas Kerja dan Pengurusan Kewangan, Pengurusan Mesyuarat dan Dokumentasi, Kembara PPO, Pelaporan dan Penghantaran MYKB dan Kaedah Pengumpulan Data dan Rekod.
Majlis Penutupan Rasmi telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Tan Eng Meng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pekan Nanas dan dihadiri oleh YBrs. Encik Ghazali bin Abd Razak, Ketua Kampung Kawasan 5, Kg Air Putih, Mukim Jeram Batu dan Pengkalan Raja, YBrs. Puan Morni binti Ibrahim, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pontian, Encik Rashedee bin Ruhani, Timbalan YDP Majlis Belia Daerah Pontian.
Semoga dengan penganjuran program ini, Pertubuhan Belia dapat mempraktikkan amalan-amalan yang betul dalam pengurusan organisasi mereka.