Pontian, 30 April 2026 – Satu sesi penyerahan profil bagi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Johor telah berlangsung dengan lancar melibatkan calon kategori individu lelaki, Saudara Mohd Nur Salihin bin Mohd Khusni. Beliau yang mewakili Daerah Pontian melalui Kelab Rakan Muda Parlimen Pontian telah menyerahkan profil pencalonan kepada Puan Morni binti Ibrahim, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pontian.
Penyerahan ini merupakan sebahagian daripada proses penilaian di peringkat negeri bagi menilai tahap pencapaian, pelibatan serta sumbangan belia dalam pembangunan komuniti dan kepimpinan.
Johor Bahru, 28 April 2026 – Calon Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Daerah Johor Bahru telah mengadakan sesi perjumpaan bersama-sama Encik Mohammad Fadhil bin Jamal bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas berhubung profil pencalonan yang telah disediakan. Dalam sesi tersebut, beliau telah meneliti profil calon serta berkongsi pelbagai tips berguna, panduan persediaan dan kata-kata semangat bagi meningkatkan keyakinan calon dalam menghadapi sesi penilaian yang bakal berlangsung.
Sesi ini diharap dapat membantu calon membuat persediaan yang lebih mantap, sekali gus memperkukuh penyertaan dalam pertandingan APBN pada peringkat seterusnya.
Iskandar Puteri, 29 April 2026 - Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah melaksanakan program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda Peringkat Negeri Johor bertempat di Sireh Park, Iskandar Puteri dengan penyertaan seramai 518 peserta belia muda.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran golongan belia berkenaan kepentingan kita untuk menjaga kelestarian alam sekitar dan menghayati kehijauan alam.
Program dirasmikan oleh YB Datuk Pandak bin Ahmad, ADUN Kota Iskandar. Turut hadir memeriahkan program ini adalah Encik Zurihanmi bin Zakariya, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Puan Wong Foong Yee, Ahli Majlis Zon 14 (Bukit Horizon), dan Encik Faisal Mohd Nor, Ketua Pengurus Sireh Park, Iskandar Puteri.
JOHOR BAHRU, 26 APRIL 2026- Kursus Tali Tinggi (SEACF) Tahap 1 Peringkat Negeri Johor 2026 telah diadakan selama dua hari di Rock Yard, TMIYC Johor Bahru anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Hikers Training Consultant.
Kursus ini merupakan satu program yang bertujuan meningkatkan kemahiran para peserta, menyerlahkan bakat dan potensi diri dalam aktiviti rekreasi.
Seramai 41 peserta telah menyertai kursus ini melibatkan beberapa daerah seperti Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Tangkak.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Encik Mohammad Fadhil bin Jamal, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru.
Program ini merupakan program pembangunan Belia yang dirancang khusus khas untuk meningkatkan kemahiran belia melalui latihan teori dan praktikal. Semoga penganjuran program ini dapat diteruskan lagi bagi melahirkan belia-belia yang berkemahiran, berdaya saing dan berketerampilan demi masa depan negara.
Pihak Jabatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program ini.
Tangkak, 26 April 2026 – Yang Berhormat Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan hari ini hadir ke Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix - Pusingan 1, 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Pemotoran Tangkak (KSPT), Johor.
Turut hadir ialah YBrs. Encik Abd Aziz bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, bersama-sama YBrs. Encik Zurihanmi bin Zakariya, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Dalam lawatan tersebut, Timbalan Menteri turut meninjau fasiliti dan keadaan litar di KSPT yang dilihat berpotensi besar sebagai hub sukan permotoran di wilayah selatan, selain menjadi lokasi strategik bagi penganjuran kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. YB Timbalan Menteri juga berkesempatan menyempurnakan sesi penyampaian hadiah pemenang bagi Kategori Wira KBS.
Penganjuran Cub Prix dilihat bukan sahaja sebagai medan mencungkil bakat pelumba muda, malah turut merancakkan ekonomi setempat serta membuka peluang kepada komuniti untuk merasai pengalaman menyaksikan acara sukan bertaraf tinggi.
Kehadiran Timbalan Menteri mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memperkukuh pembangunan sukan pemotoran negara serta memperkasakan bakat muda tempatan melalui platform perlumbaan yang kompetitif.
Sokongan KBS melalui inisiatif seperti Geran Padanan Sukan dan kerjasama strategik bersama=sama pihak industri dan agensi tempatan merupakan usaha pihak Kementerian untuk meluaskan jaringan bagi memastikan pembangunan sukan pemotoran negara kekal mampan dan berdaya saing.
Pontian, 24 April 2026 – Mesyuarat Agong Persatuan Catur Daerah Pontian Kali Ke-2 telah berjaya dilaksanakan di Bilik Seminar QMS, Poliklinik QMS Pontian dengan kehadiran seramai 10 orang ahli jawatankuasa.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Pengerusi Persatuan Catur Daerah Pontian, Encik Zaharul Azam bin Zainal Abidin. Turut hadir sebagai pemerhati ialah Puan Morni binti Ibrahim, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pontian, bersama dengan Encik Mohd Fahmi bin Ali, Pembantu Belia dan Sukan.
Mesyuarat bermula pada pukul 2.45 petang dengan pelbagai agenda penting dibincangkan, termasuk perancangan aktiviti persatuan serta usaha memperkukuh pembangunan sukan catur di peringkat daerah.
Penganjuran mesyuarat ini diharap dapat memperkasakan lagi peranan persatuan dalam melahirkan pemain catur yang berdaya saing serta mengeratkan kerjasama antara ahli jawatankuasa dan pihak berkepentingan.
Mesyuarat berakhir dengan lancar serta penuh semangat kerjasama dalam kalangan semua yang hadir.
Pontian, 24 April 2026 – Program Pemantauan Pelaksanaan Dana Sukan Komuniti Daerah Pontian menerusi penganjuran Kejohanan Wushu Taolu Tertutup Daerah Pontian 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Muafakat, Taman Sri Sentosa, Pekan Nanas, Pontian.
Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, Ahli Parlimen Tanjong Piai. Turut hadir ialah YB Tuan Tan Eng Meng, ADUN Pekan Nanas; Puan Morni binti Ibrahim, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pontian; Mohd Ikhtiar Ruddin bin Mohammad, Penghulu Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja selaku wakil rasmi Pegawai Daerah Pontian; serta Encik Teo Yi Chong, Pengerusi Kejohanan Wushu Taolu.
Seramai 156 orang peserta telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai kaum, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan komuniti setempat.
Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat baharu dalam sukan wushu, malah turut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan masyarakat serta mempromosikan gaya hidup sihat melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sukan.
Program ini juga menjadi medium pemantauan terhadap keberkesanan pelaksanaan Dana Sukan Komuniti dalam menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi, khususnya di daerah Pontian.
Majlis berlangsung dengan lancar dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta serta masyarakat setempat.
JOHOR BAHRU, 17 April 2026 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah mengadakan majlis perjumpaan dan sesi suai kenal bersama-sama Pengarah baharu bersempena dengan hari ketiga beliau memulakan tugas di negeri ini.
Dalam majlis tersebut, Encik Zurihanmi bin Zakariya telah menyampaikan amanat serta harapan agar semua pegawai dan kakitangan dapat memberikan kerjasama yang baik, terus komited dalam melaksanakan tugas serta sentiasa mengekalkan tahap profesionalisme dalam perkhidmatan awam.
Sesi suai kenal ini turut memberi peluang kepada warga jabatan untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan Pengarah baharu sekali gus mengeratkan hubungan dan meningkatkan ukhuwah dalam kalangan warga kerja.
Pertemuan ini diharapkan dapat menyuntik semangat kerja yang lebih tinggi serta memperkukuh peranan Jabatan dalam usaha pembangunan belia dan sukan di Negeri Johor.
Johor Bahru, 16 April 2026 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah menerima kunjungan hormat daripada Kelab Pacuan Empat Roda Taman Johor Jaya Kembara dalam satu sesi pertemuan yang berlangsung dalam suasana positif dan profesional.
Sesi ini telah dihadiri oleh Encik Zurihanmi bin Zakariya, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor bersama dengan Presiden Kelab Pacuan Empat Roda Taman Johor Jaya Kembara.
Kunjungan ini bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan kelab di samping mengadakan perbincangan berkaitan pelaksanaan program-program Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor bagi tahun 2026, khususnya dalam bidang pembangunan Belia, Sukan dan Rakan Muda.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor komited untuk terus memperkukuh hubungan strategik bersama-sama persatuan dan kelab sukan dalam usaha memastikan pembangunan belia dan sukan yang berimpak positif kepada masyarakat serta negeri Johor secara keseluruhannya.