MERSING, 6 Disember 2024 - Program Inspire Eksplorasi Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Johor telah dilaksanakan dari 4 hingga 6 Disember 2024 bertempat di Cemara Indah Beach Resort, Mersing yang melibatkan seramai 50 orang pelajar dan guru Pendidikan Khas.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada golongan orang kurang upaya untuk mempelajari teknik asas rekreasi dan perkhemahan.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Encik Mohammad Khairul bin Mohd Dam, Penolong Pengarah Kanan (Sukan), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor. Turut hadir, Encik Bakri bin Hamdi, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
4 Disember 2024, Ayer Keroh - Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah membuat kunjungan hormat ke atas Encik Mohamad Mazlan bin Hj. Anis, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk bertukar pandangan dan membincangkan potensi kerjasama antara kedua-dua Jabatan tersebut. Dalam pertemuan singkat ini, mereka turut bertukar pandangan dan amalan terbaik di peringkat organisasi.
Johor Bahru, 27 November 2024 – Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Peringkat Negeri Johor 2024 berlangsung meriah di Dewan Serbaguna JKR Johor Bahru, dengan kehadiran hampir 300 peserta dari pelbagai daerah di negeri Johor. Bertemakan “Pakaian Klasik,” majlis ini menyaksikan para peserta dan tetamu undangan tampil memukau dengan busana tradisional yang melambangkan kekayaan warisan budaya.
Majlis ini disempurnakan oleh YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor. Turut hadir ialah YB Dato' Haji On bin Jabbar @ Jaffar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), dan Encik Shamsuhaime bin Basir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor yang bersama-sama meraikan pencapaian para peserta.
Penerima Anugerah ARPRM menerima pengiktirafan di tahap Gangsa, Perak, dan Emas sebagai tanda kejayaan mereka dalam pelbagai aktiviti pembangunan potensi diri, pembentukan karakter positif, serta penglibatan aktif dalam komuniti.
Menurut YB Tuan Mohd Hairi, majlis ini bukan sahaja platform untuk memberi penghargaan tetapi juga menjadi inspirasi kepada anak muda lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dan menerapkan semangat modal insan seperti kesukarelawanan dalam diri.
Peserta yang hadir turut berkongsi keterujaan mereka terhadap tema pakaian klasik, yang memberikan peluang untuk meraikan keunikan budaya sambil memperkukuh hubungan antara generasi muda.
Majlis ini menggambarkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan bakat dan potensi anak muda, selari dengan agenda pembangunan belia yang mapan.
Program Cabaran Sukan Warga Emas (Tenpin Bowling) Peringkat Negeri Johor 2024 bertempat di Sahara Bowling, Angsana Mall Johor Bahru dengan sambutan penyertaan yang menggalakkan daripada golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.
Program ini merupakan kerjasama strategik bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, Pusat Aktiviti Warga Emas ( PAWE) Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Persatuan Senamrobik Negeri Johor dan Persatuan Bowling Para Negeri Johor.
Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas melalui promosi gaya hidup sihat dan sejahtera.
Turut hadir Encik Mohammad Khairul bin Mohd Dam, Penolong Pengarah Kanan (Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada peserta.
Johor Bahru, 23 November 2024 – Program Wayang @ Skrin Besar yang menayangkan filem Boboiboy The Movie 2 berjaya menarik kehadiran 600 orang penonton di Taman Skudai Kanan. Acara ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti Pertandingan Mewarna dan Cabutan Bertuah, yang mendapat sambutan hangat daripada semua lapisan masyarakat.
Turut hadir memeriahkan program ialah Penolong Pengarah Rakan Muda, Puan Belinda Michelle binti Benedict; Pengerusi Rukun Tetangga Skudai Kanan, Encik Radin Abdul Ghani bin Radin Ali; dan Pegawai Khas Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor Encik Misnan bin Ahmad.
Inisiatif Unit Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti sambil menikmati hiburan santai bersama keluarga dan rakan-rakan. Program ini sekali lagi membuktikan bahawa aktiviti komuniti mampu menyemarakkan semangat perpaduan.
24 November 2024 - Telah berlangsung Program Senamrobik anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor sempena Dua Tahun Kerajaan MADANI bertempat di Wisma Persekutuan Negeri Johor.
Program ini terbuka kepada kakitangan daripada semua agensi dan Jabatan yang berpusat di Bangunan Wisma dan pelaksanaan program ini sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan selaras dengan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Oktober 2024 bagi penganjuran Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM).
Pihak Jabatan merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program ini.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Juara kategori 17 dan ke bawah bagi Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Kebangsaan. Pasukan ini telah berjaya membawa pulang wang bernilai RM3,500.00 .
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh. Turut hadir Ts. Dr. Nagulendran a/l Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS dan Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Manakala Pasukan 18 tahun ke atas telah berjaya berada di kedudukan 5 dari 15 negeri.
Terima kasih diucapkan kepada Tuan Pengarah Encik Shamsuhaime bin Basir kerana sentiasa memberi sokongan padu terhadap Pasukan Negeri Johor
16 November 2024 - Telah berlangsung Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Kebangsaan yang dilaksanakan di Datum Jelatek, Kuala Lumpur.
Sebanyak 15 pasukan yang mewakili setiap negeri telah melalui saringan awal dan perlawanan peringkat akhir menyaksikan 8 buah pasukan termasuk negeri Johor bagi kategori 18 tahun ke atas dan 17 tahun ke bawah.
Tahniah diucapkan kepada pasukan Johor yang telah berjaya melepasi ke peringkat akhir
Turut hadir memberikan sokongan, Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor yang memberikan kata-kata semangat kepada pasukan Johor yang bertanding
Doakan kejayaan Pasukan Johor bagi kedua-dua kategori
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Penerima Sijil Pentauliahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM 3) Profesionalisme Kerja Belia 2024.
Encik Ruhisyam bin Ibrahim
Encik Maizatul Asrul bin Mohd Yunus
Encik Mohd Azmil bin Jamiron
Semoga pentauliahan ini menjadi inspirasi kepada semua Pegawai Belia dan Sukan untuk sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam pembangunan belia di Malaysia.