Johor Bahru, 27 November 2024 – Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Peringkat Negeri Johor 2024 berlangsung meriah di Dewan Serbaguna JKR Johor Bahru, dengan kehadiran hampir 300 peserta dari pelbagai daerah di negeri Johor. Bertemakan “Pakaian Klasik,” majlis ini menyaksikan para peserta dan tetamu undangan tampil memukau dengan busana tradisional yang melambangkan kekayaan warisan budaya.
Majlis ini disempurnakan oleh YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor. Turut hadir ialah YB Dato' Haji On bin Jabbar @ Jaffar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), dan Encik Shamsuhaime bin Basir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor yang bersama-sama meraikan pencapaian para peserta.
Penerima Anugerah ARPRM menerima pengiktirafan di tahap Gangsa, Perak, dan Emas sebagai tanda kejayaan mereka dalam pelbagai aktiviti pembangunan potensi diri, pembentukan karakter positif, serta penglibatan aktif dalam komuniti.
Menurut YB Tuan Mohd Hairi, majlis ini bukan sahaja platform untuk memberi penghargaan tetapi juga menjadi inspirasi kepada anak muda lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dan menerapkan semangat modal insan seperti kesukarelawanan dalam diri.
Peserta yang hadir turut berkongsi keterujaan mereka terhadap tema pakaian klasik, yang memberikan peluang untuk meraikan keunikan budaya sambil memperkukuh hubungan antara generasi muda.
Majlis ini menggambarkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan bakat dan potensi anak muda, selari dengan agenda pembangunan belia yang mapan.
Disediakan oleh JBSN Johor
- JBS Johor
- Hits: 105