Johor Bahru, 22 Mei 2025 - Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah menganjurkan OPEN DAY 2.0 Dana Sukan Komuniti 2025 bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor.
Open Day 2.0 DSK Johor ini adalah program DSK kali ke-2 yang telah dilaksanakan selama satu hari secara bersemuka setelah mendapat sambutan yg menggalakkan daripada persatuan & kelab sukan serta pertubuhan belia dalam Open Day DSK yang pertama. Objektif program ini adalah memberi bimbingan dan pencerahan berkenaan Garis Panduan DSK, MYKD/ MYKB, penubuhan persatuan dan sebagainya.
Terima kasih di atas sambutan yang positif daripada semua persatuan belia dan sukan yang telah hadir dan memberi sokongan.
22 Mei 2025, UTM Skudai - Pusat Ekuin UTM berbesar hati menerima lawatan kerja Yang Berhormat Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada hari ini. Turut hadir, Encik Shamsuhaime Bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Lawatan ini bertujuan meninjau kemudahan serta potensi pembangunan sukan ekuin di UTM dalam memperkasa agenda pembangunan belia dan sukan negara. Semoga kerjasama ini membuka ruang lebih luas dalam mengangkat sukan ekuin ke peringkat yang lebih tinggi.
18 Mei 2025, Johor Bahru - Program LiSOKU Peringkat Negeri Johor Tahun 2025 telah melabuhkan tirainya. Program sukan massa yang mensasarkan penyertaan golongan OKU ini berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 dan 18 Mei 2025.
Program berbentuk pertandingan ini melibatkan penyertaan golongan OKU yang berumur 15 tahun dan ke atas. Acara sukan yang telah dipertandingkan ialah Tenpin Boling, Futsal dan Bola Tampar Duduk.
Majlis Penutup dan Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor. Turut hadir, Encik Mohammad Khairul bin Mohd Dam, Penolong Pengarah Kanan (Sukan).
Tahniah dan syabas diucapkan kepada para pemenang. Semoga program ini dapat menyuntik semangat khasnya golongan OKU untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
18 Mei 2025, Larkin – Kunjungan Yang Berhormat Tuan Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan ke Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor.
Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor mengetuai Jabatan mengalukan kehadiran beliau dan memberikan taklimat berkaitan pengoperasian Kompleks.
Timbalan Menteri juga berkesempatan meninjau pelaksanaan program LiSOKU peringkat Negeri Johor bagi acara bola tampar duduk dan acara futsal yg turut berlangsung. Dalam kesempatan itu, beliau meluangkan masa beramah mesra dan berinteraksi bersama para peserta.
15 Mei 2025, JOHOR BAHRU - Bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei dinegara ini pada setiap tahun, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Johor Bahru dan Kolej kemahiran Johor telah menganjurkan program Semarak Hari Belia Negara 2025 peringkat daerah Johor Bahru di Kolej Kemahiran Johor yang telah disempurnakan oleh Tuan Haji Syed Norul Shahril bin Syed Nasir, Pentadbir Tanah Johor Bahru selaku wakil rasmi Pegawai Daerah Johor Bahru.
Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan diantaranya senamrobik, permainan sukan rakyat, e-sport disamping mengetengahkan program kerjaya, keusahawanan dan kemahiran kepada para belia yang hadir.
Turut hadir Encik Ruhaizal bin Abu Amin Ketua Eksekutif Kolej Kemahiran Johor, En. Khairul bin Mohd Dam, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, En. Mohammad Alif bin Dato’ A. Rahim Presiden Majlis Belia Negeri Johor dan En Muhamad Farid bin Mohd Firuz Pengerusi Majlis Belia Daerah Johor Bahru.
Pejabat belia dan Sukan Daerah Johor Bahru mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kolej Kemahiran Johor , Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor, Majlis Belia Daerah Johor Bahru dan agensi-agensi kerajaan yang turut membantu dalam menjayakan Program Semarak Hari Belia Negara 2025 Peringkat Daerah Johor Bahru.
Ayuh kita terus menyemarakkan semangat “Yakin Boleh”, kerana belia hari ini adalah pemimpin negara pada masa hadapan.
Johor Bahru, 17 Mei 2025 – Sedang berlangsung Program Liga Sukan OKU (LISOKU) Peringkat Negeri Johor 2025 bagi acara sukan tenpin boling bertempat di Lite Superbowl JB, Pelangi Leisure Mall.
Sebanyak 16 pasukan merangkumi kategori lelaki dan wanita beraksi bagi merebut gelaran juara. Diucapkan selamat berjuang kepada peserta yang terlibat
KLUANG, 15 Mei 2025 – Program Semarak Hari Belia Negara (HBN) 2025 Peringkat Daerah Kluang telah berlangsung dengan penuh semangat dan meriah di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Kluang. Lebih 400 orang peserta, termasuk pelajar dari lima buah sekolah sekitar daerah serta wakil agensi kerajaan dan swasta, hadir memeriahkan sambutan yang penuh warna-warni ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kluang, YB Puan Wong Shu Qi, yang turut menyampaikan ucapan berinspirasi kepada para belia. Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya peranan belia dalam pembangunan komuniti dan negara, serta menyatakan sokongan padu terhadap usaha melahirkan generasi muda yang berdaya tahan dan proaktif.
Program ini merupakan hasil kerjasama mantap antara Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kluang (PBSD Kluang), Pejabat Pendidikan Daerah Kluang (PPD Kluang), dan Majlis Belia Daerah Kluang, dengan sokongan padu daripada agensi-agensi kerajaan, NGO, komuniti setempat serta pertubuhan belia termasuk Persatuan Belia Mahkota Kluang, Persatuan Belia Bandar Bersatu, GPMS Cawangan Kluang, Kelab Belia Kg Sri Lambak, Kelab Belia Wawasan Jaya, Kelab Belia Kg Palembang, Junior Chamber International Kluang (JCI), dan En.Zamrie bin Baharudin (Aktivis Belia Simpang Renggam).
Antara aktiviti yang telah dianjurkan termasuk:
• Pameran agensi kerajaan dan swasta
• Sesi Pocket Talk dan motivasi belia
• Persembahan khas Johan Deklamasi Sajak
• Aktiviti senamrobik dan pelbagai acara interaktif lain
Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk menghimpunkan belia tempatan, malah berjaya memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan kesedaran sivik dalam kalangan generasi muda.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jabatan, agensi, sekolah, guru, pelajar, sukarelawan dan NGO yang telah berganding bahu menjayakan program ini. Sambutan positif ini diharap menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasa dan memperkukuh pembangunan belia di daerah Kluang.
Johor Bahru, 10 Mei 2025 - Telah berlangsung Kejohanan Kabaddi Peringkat Negeri Johor Bawah 18 tahun bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor melibatkan jumlah penyertaan seramai 200 orang.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.
Dalam majlis tersebut, YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah turut menyampaikan cek cura yang bernilai RM25,000.00 kepada Persatuan Kabaddi Johor dibawah Program Geran Padanan Sukan (GPS) KBS mewakili Menteri Belia dan Sukan yang telah diluluskan bagi pelaksanaan kejohanan ini.
Johor Bahru, 9 Mei 2025 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah menerima kunjungan hormat daripada wakil pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) cawangan Pasir Gudang. Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan hasrat mereka menubuhkan Kelab Sukarelawan Rakan Muda (SRM) di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Delegasi pelajar UniKL diketuai oleh wakil kepimpinan pelajar yang bersemangat tinggi dalam menggerakkan aktiviti kesukarelawanan dan belia di peringkat institusi pengajian tinggi. Dalam sesi perbincangan yang berlangsung, pelbagai idea dan perancangan awal telah dibentangkan sebagai langkah permulaan ke arah penubuhan kelab tersebut.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor menyambut baik inisiatif ini dan akan memberikan sokongan serta panduan dalam memastikan penubuhan Kelab SRM UniKL Pasir Gudang dapat direalisasikan dengan lancar dan berimpak tinggi. Penubuhan kelab ini dijangka dapat memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar serta memperkukuh jaringan kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan pihak kerajaan.