SARIKEI, 15 Julai 2025 : Satu lawatan tapak untuk membuat penilaian awal skop kerja telah dibuat bersama JKR Bahagian Sarikei bagi projek naiktaraf Gelanggang Tennis MAKSAK Bahagian Sarikei. Lawatan ini telah disertai oleh Encik Mohd Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei bersama Encik Zulfadhli bin Leonardo, Pegawai Cawangan Pentadbiran dan Kewangan, manakala dari pihak JKR Bahagian Sarikei diketuai oleh Encik Baharin bin Madon. Lawatan ini turut dihadiri oleh Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Tennis Bahagian Sarikei yang merupakan pengguna tetap gelanggang ini. Diharap dengan adanya naik taraf ini akan dapat memberikan fasiliti sukan yang lebih selesa serta dapat melahirkan lebih ramai pemain tennis dari bahagian ini.
KUCHING, 15 Julai – Pasukan Ketua-Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) muncul juara dalam perlawanan persahabatan bowling menentang pasukan Ketua-Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam Persekutuan Sarawak (SUPS) yang berlangsung penuh meriah di Megalanes Sarawak.
SCS yang diketuai Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, berjaya mencatat jumlah jatuhan pin tertinggi iaitu 3,277, mengatasi SUPS yang diketuai Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan dengan 3,131 pin.
Acara diserikan dengan kehadiran pegawai kanan kedua-dua peringkat kerajaan dan dimulakan dengan sesi bergambar sebelum perlawanan bermula pada jam 8.30 malam.
Kategori lelaki terbuka dimenangi oleh Richard Lon (Unit Imigresen dan Buruh) dengan 340 jatuhan pin. Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Encik Lamat Nyalau, turut menyerlah apabila meraih tempat ketiga dalam kategori tersebut.
Kategori wanita pula dimenangi oleh Sharifah Rohana Datu Wan Alwi (Unit Pembangunan Sumber Manusia) dengan 194 pin.
Program ini bertujuan mengeratkan hubungan kerja serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah dan sesi bergambar kenangan.
KAPIT, 16 Julai 2025 – Karnival Sukan Komuniti Kapit 2025 telah berlangsung meriah pada 10 Julai yang lalu yang bermula dari jam 5.30 petang hingga 10 malam bertempat di Dewan Masyarakat Melayu Kampung Muhibbah dan Gelanggang Bola Keranjang Bleteh, dengan penyertaan melebihi 200 orang dari pelbagai lapisan masyarakat. Karnival ini turut dihadiri oleh Tuan Lamat Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, yang turut memeriahkan suasana dan menyatakan sokongan terhadap inisiatif komuniti aktif dan inklusif melalui sukan.
Antara aktiviti utama yang diadakan ialah senamrobik perdana, Fun Run 5KM, pertandingan dart, pertandingan bola keranjang 3v3, perlawanan badminton, serta cabutan bertuah yang menjadi tarikan utama kepada para peserta dan pengunjung. Program ini telah dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit dengan kerjasama strategik daripada Panda Athletic Club, 96800 Darters, Kelab Bola Keranjang Bleteh, Persatuan Kapit Tari dan Persatuan Badminton Bahagian Kapit yang memainkan peranan penting dalam menjayakan acara ini. Karnival ini bukan sahaja berjaya menggalakkan gaya hidup sihat, malah turut memperkukuh hubungan komuniti melalui penglibatan pelbagai peringkat umur termasuk belia, kanak-kanak, warga emas dan OKU. Penganjuran ini menjadi bukti komitmen berterusan PBSB Kapit serta KBS khususnya dalam menjadikan sukan sebagai medium perpaduan dan kesejahteraan sosial.
BETONG, 15 Julai 2025 – Satu Perbincangan Program Rakan Muda dan Belia antara Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong bersama Politeknik METrO Betong telah di adakan pada 10 Julai 2025 yang lalu bertempat di Bilik Mesyuarat Politeknik METrO Betong. Perbincangan dipengerusikan oleh Cik Nurulzamzam binti Hj. Shafiíe turut dihadiri oleh Puan Winne anak Chengai, Ketua Jabatan Sokongan Akademik dan Cik Juliette Emah anak Jali, Pegawai Belia dan Sukan, Unit Sukan, Ko-kurikulum dan Kebudayaan. Perbincangan bertujuan untuk menjalinkan kerjasama strategik untuk pelaksanaan program dan aktiviti Rakan Muda dan Belia yang akan diadakan.
Hadir sama semasa perbincangan tersebut, Encik Erwan Dzulfadli bin Pasah dan Cik Jojo anak Tehan dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong. Pejabat ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Politeknik METrO Betong yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama dalam pelaksanaan program yang melibatkan institusi tersebut.
BETONG, 15 Julai 2025 – Satu sesi perbincangan program Kem Belia @Rakan Prihatin antara PBSB Betong bersama pihak SMK Saribas, Debak telah di adakan pada 10 Julai 2025 yang lalu bertempat di Bilik Pengetua SMK Saribas, Debak. Perbincangan dipengerusikan oleh Cik Nurulzamzam binti Hj. Shafiíe dan turut dihadiri oleh Puan Pengetua Nur Liana Lim Abdullah, Encik Azmi bin Abdullah, PKKK SMK Saribas, Debak.
Kem Belia ini akan melibatkan 4 buah sekolah menengah iaitu, Sekolah Menengah Kebangsaan Saribas sebagai tuan rumah, Sekolah Menengah Kebangsaan Pusa, Sekolah Menengah Kebangsaan Spaoh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Beladin.
Objektif program ini bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia berhubung matlamat hidup dan tanggungjawab diri dan komuniti serta memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan belia selaras matlamat pembangunan belia positif.
BETONG, 15 Julai 2025 - Kejohanan Sepak Takraw Lelaki Terbuka Betong (Edisi Hari Sarawak) telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini bertempat di Dewan Sukan SJK(C) Chung Hua Betong. Kejohanan bermula dari 12 hingga 13 Julai 2025 ini melibatkan penyertaan sebanyak 16 pasukan. Pelaksananaan kejohanan ini telah disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak di bawah Dana Sukan Komuniti (DSK).
Kejohanan yang dianjurkan oleh Layar Hills Sepak Takraw Club ini bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan dalam kalangan belia dan komuniti serta memperkasakan sukan sepak takraw di peringkat akar umbi. Sepanjang kejohanan, para peserta telah menunjukkan semangat juang yang tinggi serta mempamerkan kemahiran permainan yang membanggakan.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Abang Ahmad Bin Abg Suhailie, Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Betong. Turut hadir ialah Cik Azira binti A.Manan, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Pejabat Belia dan sukan Bahagian Betong.
Keputusan akhir pertandingan adalah seperti berikut : Johan : Pasukan Evavior Naib johan : Pasukan SABERKAS Batang Ai Ketiga bersama : Pasukan Twist & KESTAP
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Layar Hills Sepak Takraw Club atas Kejohanan Sepak Takraw Lelaki Terbuka Betong (Edisi Hari Sarawak). Tidak dilupakan juga tahniah dan penghargaan ditujukan kepada semua peserta dan pemenang atas penyertaan serta kerjasama yang baik sepanjang pertandingan itu berlangsung.
BETONG, 16 JULAI 2025 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSNS) telah mengadakan perhimpunan bulanan bil.3/2025 pada 7 Julai 2025 bertempat di Auditorium, Kompleks Belia dan Sukan Sarawak (KOMBES). Perhimpunan pada kali ini telah dikelolakan oleh Bahagian Pembangunan Sukan dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Rantau Sarawak (PJS).
Semasa perhimpunan tersebut, Yang Berusaha Encik Lamat anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak telah menyampaikan kata-kata amanat beliau kepada semua pegawai dan kakitangan. Beliau amat menggalakkan semua pegawai dan kakitangan sentiasa menerapkan semangat kerjasama berpasukan dalam melaksanakan tugasan. Ia melibatkan perkongsian idea, pembahagian tugas, sokongan antara ahli pasukan untuk mencapai prestasi optimum kerana ia merupakan tonggak utama kejayaan sesebuah organisasi.
Beliau turut mengingatkan agar semua pegawai dan kakitangan sentiasa menjaga etika perkhidmatan awam, menjalankan tugas dengan berintegriti dan prihatin menjaga kesihatan masing-masing dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Acara yang turut diadakan semasa perhimpunan ialah penyampaian sijil Pencapaian 100% Prestasi Pembayaran Bil dan Tuntutan Tahun 2024, Anugerah Khas Pekerja Terbaik Bulanan bagi bulan April sehingga Jun 2025 serta meraikan ulang tahun hari kelahiran warga kerja JBSNS, PJS dan ROY pada bulan Mei sehingga Julai 2025 .
Perhimpunan pada kali ini telah diadakan secara hibrid iaitu bersemuka di ibu pejabat dan juga dalam talian untuk warga kerja di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian. Semua Ketua Pejabat Belia dan Sukan Bahagian turut hadir ke perhimpunan ini secara bersemuka.
Kemahiran Latihan Asas Sukan (Klas) : Renang 2025 Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 15 JULAI 2025 – PBSB Kuching telah berjaya mengadakan Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang 2025 kategori orang kurang upaya (OKU) di Pusat Kecemerlangan Akuatik, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Latihan diadakan diadakan di hujung minggu yang melibatkan 40 orang kanak-kanak OKU pada 28-29 Jun 2025 dan 5-6 Julai 2025 yang lalu. Kelab Renang Power Aquatic Kota Samarahan selaku rakan strategik telah menyediakan jurulatih renang yang bertauliah sebagai tenaga pengajar.
KAPIT, 14 JULAI 2025 – Puan Olivia Anak Kaminis, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit telah mengadakan lawatan Tapak ke Pusat Lighthouse Kapit bagi pelaksanaan program Kem Belia 2025 Peringkat Bahagian Kapit yang akan dilaksanakan pada 8 – 10 Ogos 2025. Encik Walter Samat, Pengurus Lighthouse Kapit telah memberi taklimat berkenaan kemudahan yang disediakan oleh pihak Pusat Lighthouse Kapit. Fasiliti yang ada di pusat tersebut adalah seperti asrama yang dapat memuatkan seramai 60 orang , dewan dan bilik mesyuarat dan sesuai untuk melaksanakan program ini. Program ini bertujuan melahirkan belia yang mempunyai kesedaran terhadap matlamat hidup dan tanggungjawab diri, keluarga, bangsa dan negara. Selain itu juga dapat meningkatkan kesedaran serta pengetahuan mengenai kepada golongan belia mengenai bahaya sekiranya terjebak dalam gejala sosial dan aktiviti tidak sihat.