KAPIT, 14 Mei 2025 – Tinggal beberapa jam lagi menjelang esok tanggal 15 Mei 2025 sambutan Semarak Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Kapit yang bakal berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit.
Persiapan pada sebelah petang tadi telah dibantu oleh warga kerja SMK Kapit dan ahli Kelab Belia Pekan Kapit. Raptai penuh juga diadakan bagi memastikan kelancaran program.
Diantara pengisian aktiviti adalah pameran kerjaya, jualan makanan, permainan, aktiviti kecergasan,pemeriksaan kesihatan dan banyak lagi.
KAPIT, 13 MEI 2025 – Tinggal 2 hari lagi menjelang Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Kapit 2025 yang akan dilaksanakan bertempat di SMK Kapit. Satu perbincangan telah diadakan bersama dengan Encik Jeffry Lias, Pengetua SMK Kapit bersama Encik Suliman Paulus Jujong, Penolong Kanan Ko-Kurikulum dan Puan Qistina Amirah, Setiausaha Ko-Kurikulum SMK Kapit . Puan Olivia Kaminis, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit dan Encik Lanting Mala selaku Pegawai Penyelaras SHBN turut hadir ke sesi perbincangan tersebut.
Perbincangan adalah meliputi persiapan bagi Majlis Perasmian, pengisian pelbagai aktiviti yang melibatkan semua pelajar sesi pagi dan sesi petang SMK Kapit. Lima (5) segmen belia akan dilaksanakan iaitu Port Fit Malaysia, Port Healing, Port Santai Janji Sampai, Port Makan-Makan dan Port Jana Duit. Aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan adalah Pertandingan Aerobic Dance, Perkhidmatan Menukar Minyak Hitam Motosikal secara percuma, gerai jualan makanan dan minuman dan aktiviti Mari Mencuba. Diantara agensi dan NGO’s yang akan terlibat ialah Giat Mara Kapit, Pejabat Mara Bahagian Kapit, Kelab Belia Gagasan Pekan Song dan Kelab Belia Pekan Kapit.
Melalui HBN Peringkat Bahagian Kapit 2025 berharap akan dapat menggalakkan para belia terutama di kawasan luar bandar untuk sentiasa aktif dalam melibatkan aktiviti belia, sukan dan Rakan Muda.
BETONG, 13 Mei 2025 - Mixter Netball Club membuktikan komitmennya dalam memartabatkan sukan bola jaring apabila menganjurkan Pertandingan Bola Jaring Tertutup Tahun 2025 Peringkat Bahagian Betong dengan jayanya. Pelaksananaan kejohanan ini telah disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak di bawah Dana Sukan Komuniti (DSK).
Program yang berlangsung selama 2 hari itu dipercayai memberi impak positif kepada semua pemain mahupun penganjur. Pertandingan tersebut mampu memupuk sikap bekerjasama dan semangat berpasukan kerana setiap pasukan pastinya akan mengatur strategi untuk mencapai kemenangan yang disasarkan dalam suasana persaingan yang sihat.
Majlis simbolik serta perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Mohamad Razi bin Sitam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Adun N.35 Saribas. Turut hadir pada majlis perasmian ialah Yang Berusaha Encik Lamat anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Cik Nurulzamzam bt Hj Shafi'ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong, Encik Mohammad Khairurani bin Mohammad Ibrahim, Pegawai Pentadbir Menguasa, Pejabat Daerah Kecil Debak, Puan Dayang Madinah bt Abang Yaman, wakil MAKSAK Bahagian Betong, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kecil Debak serta komuniti setempat.
Keputusan akhir pertandingan menyaksikan pasukan The Bees dinobatkan sebagai Juara dengan membawa pulang piala beserta medal dan wang tunai sebanyak tunai RM800.00, manakala pasukan Dynamitez berada di kedudukan naib johan dengan menerima medal serta wang tunai sebanyak RM600.00, tempat ketiga bersama disandang oleh JKR Betong dan Skuad AADK Saribas dengan membawa medal dan wang tunai berjumlah RM400.00.
Anugerah khas turut diberikan kepada individu yang menunjukkan kecemerlangan sepanjang kejohanan tersebut:
Pengurus Terbaik : Florina bt Junus
Pemain Terbaik : Ena Azimah bt Majid
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Mixter Netball Club atas kejayaan penganjuran Pertandingan Bola Jaring Tertutup Tahun 2025 Peringkat Bahagian Betong kali ini. Tidak dilupakan juga tahniah dan penghargaan ditujukan kepada semua peserta dan pemenang atas penyertaan serta kerjasama yang baik sepanjang pertandingan itu berlangsung.
BETONG, 13 Mei 2025 - Satu sesi perbincangan mengenai pelaksanaan Program 1000 Liga Peringkat Bahagian Betong Tahun 2025 telah diadakan pada 11 Mei 2025 bertempat di Riveria Sport Centre Debak.
Perbincangan tersebut dipengerusikan oleh Cik Nurulzamzam bt Hj Shafi'ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong dan dihadiri oleh Kelab Sukan Rekreasi Laser Light Debak sebagai rakan kerjasama strategik dalam pelaksanaan program tersebut.
Program 1000 Liga merupakan program sukan individu berbentuk pertandingan dan terbuka kepada semua peringkat komuniti setempat bertujuan memupuk minat serta menarik penyertaan ramai ke arah melahirkan masyarakat berbudaya sukan. Program tersebut dijangka dilaksanakan pada bulan Julai 2025 bertempat di Daerah Kecil Debak.
KAPIT, 13 Mei 2025 – Satu perbincangan telah diadakan pada 8 Mei yag lalu bagi membincangkan pelaksanaan Program Malaysia Aktif @ Komuniti 2025 peringkat Bahagian Kapit yang akan dianjurkan dengan kerjasama Panda Athletic Club (PAC). Program ini dijangka berlangsung dalam 12 siri pelaksanaan bermula bulan Jun sehingga Oktober 2025.
Perbincangan ini melibatkan pihak Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit, wakil PAC serta beberapa pemimpin komuniti tempatan. Fokus utama perbincangan adalah bagi menyelaras lokasi pelaksanaan, bentuk aktiviti serta penglibatan masyarakat secara menyeluruh bagi memastikan kejayaan program tersebut.
Malaysia Aktif @ Komuniti merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan rakyat Malaysia melalui aktiviti kecergasan yang mudah diakses oleh komuniti setempat. Antara aktiviti yang akan dijalankan termasuklah senamrobik, larian santai, aktiviti trekking, senaman kecergasan berkumpulan serta pelbagai aktiviti fizikal lain yang menyeronokkan dan sesuai untuk semua peringkat umur.
PAC selaku rakan strategik turut akan menyumbang tenaga pengajar, fasilitator serta kepakaran dalam bidang kecergasan bagi menjayakan setiap siri program. Penganjur turut menyasarkan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, warga emas, penjawat awam, komuniti luar bandar serta golongan OKU.
KAPIT, 13 Mei 2025 – Satu perbincangan telah diadakan pada 8 Mei lalu bersama badan sukan yang dilantik sebagai rakan strategik atau pengelola pertandingan bagi penganjuran Program Liga Sukan Komuniti (LSK) 2025 Peringkat Bahagian Kapit yang dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 15 Jun 2025.
Program ini dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Bahagian Kapit serta Kelab Sepak Takraw Sri Balleh. Perbincangan ini bertujuan menyelaras perjalanan pertandingan, pengurusan teknikal serta penglibatan komuniti dalam penganjuran acara sukan di peringkat akar umbi.
Tiga acara sukan utama yang akan dipertandingkan ialah bola jaring (kategori wanita), sepak takraw (regu lelaki), dan ping pong berpasukan campuran. Setiap acara akan dikendalikan oleh penyelaras yang berpengalaman bagi memastikan kelancaran pertandingan dan pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan.
Melalui LSK 2025, pihak penganjur menyasarkan penglibatan aktif belia dan masyarakat setempat dalam aktiviti sukan sebagai medium untuk memupuk gaya hidup sihat, semangat kesukanan dan perpaduan komuniti. Program ini turut menjadi platform pembangunan bakat sukan peringkat akar umbi serta galakan kepada penyertaan inklusif tanpa mengira latar belakang.
KAPIT, 13 Mei 2025 – Kelab Muaythai Matak Kayau secara rasminya telah menerima sijil pendaftaran badan sukan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit, Puan Olivia Kaminis telah menyerahkan sijil tersebut bagi mewakili PJS Malaysia dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada 8 Mei lalu.
Kelab Muaythai Matak Kayau ditubuhkan dengan matlamat untuk mengembangkan sukan seni bela diri Muaythai dalam kalangan belia setempat, serta menyediakan platform latihan, pertandingan dan pembangunan bakat secara lebih tersusun dan bertauliah.
Menurut Presiden kelab, penubuhan kelab ini juga merupakan satu langkah positif ke arah memperkasa belia melalui disiplin sukan dan aktiviti sihat, selain membuka peluang kepada atlet tempatan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Pejabat Belia dan Sukan Kapit menyambut baik penubuhan kelab tersebut dan berharap ia dapat bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam menganjurkan program pembangunan sukan dan belia di kawasan pedalaman.
SARIKEI, 9 Mei 2025 : Rombongan Pejabat Belia dan Sukan yang diketuai oleh Encik Mohd Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei telah mengadakan kunjungan hormat kepada YBhg. Datu Michael Ronnie anak Langong, Residen Bahagian Sarikei. Kunjungan hormat ini diadakan bagi mempersilakan YBhg Datu Residen untuk mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara peringkat Bahagian Sarikei yang akan diadakan pada 28 Jun 2025 di Sarikei Innovation Center. Berbagai perkara termasuk kalendar program pembangunan Belia, Sukan dan Rakan Muda turut dibincangkan dalam pertemuan ini. Hadir bersama ialah Puan Jamaika binti Marciano, Cawangan Pembangunan Belia dan Haji Abdul Rani bin Hj. Jemi, Cawangan Pembangunan Sukan di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei. Semoga segala perancangan MPBN bahagian Sarikei akan berjalan dengan lancar.
KUCHING, 05 MEI 2025 – Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak telah mengadakan perbincangan bersama Pusat Latihan Kemahiran Zurainas bertempat di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Tujuan perbincangan ini adalah untuk mendapatkan kerjasama bersama Pusat Latihan Kemahiran Zurainas untuk menjayakan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2025. Pusat Latihan Kemahiran Zurainas antara rakan strategik yang akan menganjurkan aktiviti di Port Jana Duit berbentuk pengisian seperti Pengambilan Pelatih Latihan Kemahiran, Lukisan Inai, Manicure dan Face Painting. Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Sarawak akan berlangsung pada 16-17 Mei 2025 bertempat di Serian Conference Centre, Serian.
Pihak Jabatan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2025 dan semoga dengan kerjasama yang telah dijalankan ini dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada golongan-golongan belia di Negeri Sarawak khususnya.