- JBS Sarawak
- Hits: 39
Parkir Perkarangan Stadium Negeri Bakal Menjadi Medan Perlumbaan Moto Gymkhana Borneo Pada 20-21 Disember 2025
- JBS Sarawak
- Hits: 39
Disediakan oleh JC, JBSN Sarawak
Kuching, 10 Disember 2025 — Mesyuarat Penyelarasan Perlumbaan Moto Gymkhana Borneo 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Puan Fatimah binti Abdul Rahman, Penolong Pengarah Kanan (Sukan), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Perlumbaan Moto Gymkhana Borneo 2025 yang julung kalinya dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak adalah bertujuan untuk mempromosikan sukan Moto Gymkhana dalam kalangan golongan muda, khususnya belia berisiko, sebagai platform positif untuk mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan bermotor yang selamat dan terarah. Dalam masa yang sama juga dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan permotoran dua roda, sebagai usaha melahirkan lebih ramai pelumba berpotensi di peringkat negeri dan kebangsaan.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil daripada pelbagai agensi penting, termasuk Sarawak Sports Corporation (SSC), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), TVS Sarawak, Sarawak Motorsports Association (SMA) serta Speed Chasers Motorsports Club.
Kehadiran pelbagai jabatan dan agensi ini menunjukkan komitmen bersama dalam memastikan perlumbaan berjalan dengan lancar, selamat dan lebih tersusun. Melalui mesyuarat ini, semua pihak telah berbincang mengenai aspek keselamatan, persiapan teknikal, promosi serta penyelarasan logistik bagi memastikan acara berprestij ini mencapai matlamat yang digariskan.
Perlumbaan Moto Gymkhana Borneo 2025 dijangka menjadi salah satu acara permotoran paling dinanti-nantikan di Sarawak, sekaligus menyokong pembangunan sukan bermotor tanah air dan memperkukuh penglibatan belia dalam aktiviti sihat serta bermanfaat.
