KURSUS PEMBUATAN SIMEN FERO, BINA ILMU CIPTA PELUANG
LAHAD DATU, 29 Julai 2025 – Seramai 24 peserta terdiri daripada belia tempatan berumur 15 hingga 30 tahun telah menyertai Program Skills For Life@Parlimen Lahad Datu Tahun 2025 (Kursus Pembuatan Simen Fero) di Kolej Vokasional Lahad Datu.
Kursus anjuran bersama Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Tawau, Kolej Vokasional Lahad Datu dan Gabungan Belia Persatuan Bahagian Tawau (GABETA) bertujuan untuk memperkenalkan teknik pembuatan simen fero yang semakin mendapat perhatian dan mempunyai potensi menjana pendapatan lumayan dengan menghasilkan produk simen fero seterusnya menarik minat belia untuk menceburi bidang keusahawan secara kreatif.
Sepanjang kursus, peserta diberi latihan teori dan pratikal termasuk teknik pembentukan rangka besi, bancuhan simen, mengecat serta kemasan akhir oleh tenaga pengajar yang bertauliah dan berpengalaman iaitu Encik Muhammad Adib Mohd Yassin dan Puan Pamela Petrus Dolinting, Pensyarah Bahagian Seni Bina Landskap, Kolej Vokasional Lahad Datu. Peserta juga diberi tugasan projek mini iaitu membuat kerusi simen fero secara berkumpulan.
Majlis perasmian dan penutup telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Encik Ahmad Fakhrurazi bin Haji Hamzah, Pengarah Kolej Vokasional Lahad Datu. Turut hadir Encik Mohd Faiz Ridwan bin Mohd Noor, Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Tawau, Puan Che Siti Yusnany binti Abdullah, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Segama dan Encik Darmansa bin Samsuddin, Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Tawau.
- JBS Sabah
- Hits: 122
