PROGRAM SATRIA CARE IN ACTION! PERINGKAT BAHAGIAN TAWAU 2025
TAWAU, 22 November 2025 - Program Rakan Prihatin: Satria Care, In Action! Peringkat Bahagian Tawau Tahun 2025 telah berjaya dilaksanakan di Rumah Warga Tua Air Panas. Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Tawau telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Tawau, Rumah Warga Tua Air Panas serta Kelab Rakan Muda Tawau dalam pelaksanaan program ini.
Para belia dan sukarelawan yang menyertai program ini terlibat dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan luar dan dalam wad penghuni, sesi ramah mesra serta penyampaian goodies kepada 44 orang warga emas.
Objektif program ini adalah untuk merealisasikan usaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam menggalakkan penglibatan belia sebagai sukarelawan yang berpengetahuan, berkemahiran, prihatin, bertanggungjawab serta mempunyai nilai-nilai kesukarelawanan yang tinggi. Program ini juga menekankan semangat bantu-membantu dan kepekaan terhadap keadaan sekeliling.
Program Satria Care, In Action! turut menjadi platform penting bagi membolehkan belia melaksanakan aktiviti kesukarelawanan secara sistematik dan teratur tanpa mengira bangsa dan agama. Ia memberi pendedahan melalui pembelajaran dan pengalaman secara hands-on, di samping menggalakkan inisiatif dan kreativiti dalam melaksanakan aktiviti pada peringkat akar umbi dan komuniti setempat.Secara tidak langsung, program ini berperanan mendidik dan memupuk minat belia untuk menceburi dunia kesukarelawanan secara lebih profesional pada masa hadapan.
Sesi program turut diserikan dengan kehadiran Puan Senerti binti Abdul Nasa, Penguasa Rumah Warga Tua Air Panas; Encik Darmansa bin Samsuddin, Pengerusi Gabungan Belia Bahagian Tawau merangkap Ketua Penerangan Majlis Belia Sabah, encik Alex Dennis, Pemimpin Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dan Pengerusi Kelab Rakan Muda Tawau; Cik Nursayfaesyah Foo binti Mohd Sayful.
