PUTATAN , 29 JANUARI 2026- Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada En. Fedrius bin Jumi, Pesuruhjaya Sukan Rantau Sabah, atas segala sumbangan, dedikasi serta komitmen yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah.
Pihak jabatan amat menghargai jasa dan bakti beliau serta mendoakan agar terus cemerlang dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan.
PUTATAN, 29 JANUARI 2026- Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Pn. Sempini binti Langiton , Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, JBS(P) Negeri Sabah atas pelantikan dan amanah yang diberikan.
Semoga terus cemerlang, berintegriti serta berjaya memacu pembangunan sukan negeri Sabah ke tahap yang lebih gemilang. Sekalung tahniah dan selamat menjalankan tugas di Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah berkuatkuasa hari ini.
SESI BACAAN IKRAR AKTA RAHSIA RASMI 1972 (AKTA 88)
28 Januari 2026, PUTATAN - Sesi Bacaan Ikrar Berkaitan Perakuan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) bagi Tahun 2026 telah diadakan pada 28 Januari 2026 (Rabu), jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat Utama Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah.
Sesi ini telah diketuai oleh En. Noorman bin Ramlan, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, manakala bacaan ikrar telah dipimpin oleh En. Rizuan Abd Majib, Pegawai Integriti Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah.
Turut hadir dalam talian ialah pegawai dan kakitangan dari Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Pantai Barat, Kudat, Sandakan, Tawau, Pedalaman Bawah dan Pedalaman Atas.
KEPENTINGAN PEMATUHAN DASAR DAN ETIKA PEJABAT FOKUS WARGA PBSB PANTAI BARAT
KOTA KINABALU, 16 JANUARI 2026 – Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Pantai Barat telah mengadakan satu Mesyuarat Pengurusan Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Puan Dayangku Rahimah binti Pg.Hassan.
Pengerusi menegaskan kepentingan pematuhan terhadap dasar dan peraturan organisasi bagi memastikan kelancaran tadbir urus serta integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.
Menurut beliau, setiap warga kerja perlu memahami dan mematuhi dasar yang telah ditetapkan agar semua urusan dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan berkesan. Selain itu, kemudahan serta fasiliti yang disediakan perlu digunakan secara berhemah bagi memastikan keselesaan bersama dan program jabatan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Beliau turut menyentuh aspek pengurusan aset dengan menekankan bahawa aset organisasi adalah amanah yang perlu dijaga, diselenggara dan digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan. Kegagalan mematuhi garis panduan boleh memberi kesan kepada kecekapan perkhidmatan serta imej organisasi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar semua kakitangan sentiasa mematuhi kod etika dan garis panduan pemakaian pakaian pejabat yang telah ditetapkan. Penampilan yang kemas dan profesional, katanya, mencerminkan disiplin serta kredibiliti organisasi di mata masyarakat.
Beliau juga mengingatkan agar semua pegawai dan kakitangan sentiasa bersedia untuk melaksanakan program dan aktiviti sepanjang tahun 2026 ini agar aspek pembangunan belia, sukan dan rakan muda di Bahagian Pantai Barat dapat diteruskan dan dijayakan bersama. Sebagai penutup, beliau menyeru seluruh warga kerja agar terus bekerja dengan bersungguh-sungguh, berintegriti dan penuh tanggungjawab, demi mencapai kecemerlangan organisasi serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
20 PESERTA AKADEMI MYCORPS SABAH BERLEPAS KE SEMENANJUNG
KOTA KINABALU , 15 JANUARI 2026 - Seramai 20 orang peserta Akademi MyCorps dari Sabah telah berlepas ke Semenanjung Malaysia pada 15 Januari 2026 yang lalu yang berkampung di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sehingga 28 Januari 2026.
MyCorps merupakan program sukarelawan belia antarabangsa di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang melibatkan penyertaan belia berumur 18 hingga 30 tahun. Program ini bertujuan melahirkan belia berdaya saing, berjiwa sukarelawan serta mampu menyumbang dalam misi kemanusiaan dan pembangunan komuniti di peringkat antarabangsa.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2013 hingga 2025, MyCorps telah berjaya melaksanakan 9 misi di 15 buah negara. Seramai 418 orang belia Malaysia telah menyertai misi ini dan berjaya membawa perubahan positif kepada komuniti setempat di luar negara serta memberi impak berterusan kepada pembangunan belia di Malaysia.
Penyertaan peserta dari Sabah ini mencerminkan komitmen berterusan MyCorps dalam memastikan penglibatan belia dari seluruh negara bagi memperkukuh semangat kesukarelawanan dan perpaduan nasional.
SESI MORNING PRAYER BERSAMA TIMBALAN PENGARAH JBS SABAH
PUTATAN, 12 Januari 2026 (Isnin) - Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah, En. Noorman Bin Ramlan, dalam Perjumpaan antara kakitangan (Morning Prayer) telah mengucapkan selamat tahun baharu kepada semua pegawai dan kakitangan. Dalam amanat beliau untuk pembukaan tahun 2026, beliau mengharapkan agar semua sasaran kerja pada tahun ini dapat diselesaikan dengan sempurna seperti tahun sebelumnya.
Beliau turut tegas mengatakan segala tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada pegawai dan kakitangan harus diselesaikan segera agar jabatan dapat mencapai visi dan misi serta hala tuju pada tahun 2026.
Turut hadir, En.Fedrius bin Jumi , Penolong Pengarah (Sukan) dan Pn. Metchella Febrynna Metha (Penolong Pengarah Rakan Muda ) dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah.
SAMBUTAN HARI KESUKARELAWANAN BELIA MALAYSIA PERINGKAT NEGERI SABAH 2025
Putatan, 6 Disember 2025 – Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2025 berlangsung meriah di Kompleks Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah, melibatkan penyertaan aktif belia, komuniti serta rakan strategik sukarelawan.Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah ini bertujuan mengangkat nilai kesukarelawanan dalam kalangan belia serta mengiktiraf sumbangan mereka sepanjang tahun.
Antara pengisian semasa sambutan tersebut ialah Pocket Talk Kesukarelawanan .Sesi perkongsian santai tersebut disampaikan oleh Kelab Rakan Muda Keningau dan Kelab Rakan Muda Tawau menjadi antara tumpuan, dengan pengisian mengenai semangat kesukarelawanan , tanggungjawab sosial dan peluang penyertaan dalam aktiviti komuniti. Interaksi dua hala antara peserta dan panel menjadikan sesi ini lebih hidup dan bermanfaat.
Hospital Kudat turut menjalankan Kempen Derma Darah bagi menyokong keperluan bekalan darah negeri. Sambutan yang sangat menggalakkan daripada para belia menunjukkan komitmen mereka dalam usaha membantu nyawa.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik sukarelawan Rakan Muda sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan dan kerjasama sepanjang 2025.
Program ini secara keseluruhan berjaya menyemarakkan semangat kesukarelawanan,mengukuhkan jaringan komuniti dan menggalakkan penyertaan belia dalam agenda sosial negara
PROGRAM DERMA DARAH SEMPENA HARI KESUKARELAWANAN BELIA MALAYSIA PERINGKAT NEGERI SABAH 2025
Kota Kinabalu, 6 Disember 2025 – Program Derma Darah sempena Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2025 telah berjaya dianjurkan hari ini bertempat di Kompleks Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah. Program ini dikendalikan oleh pasukan perubatan dari Hospital Kudat.
Program derma darah ini menerima sambutan menggalakkan daripada para belia, kakitangan dan komuniti setempat. Para peserta menjalani proses pendaftaran, pemeriksaan kesihatan dan sesi pendermaan secara teratur dengan pemantauan rapi oleh petugas kesihatan. Suasana turut dimeriahkan dengan kehadiran sukarelawan Rakan Muda yang membantu melancarkan perjalanan program. Penganjuran program ini bertujuan menyuburkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia serta meningkatkan kesedaran mengenai keperluan bekalan darah yang berterusan di hospital-hospital sekitar negeri.
Pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sabah merakamkan setinggi penghargaan kepada Hospital Kudat dan semua belia yang menjayakan program derma darah ini sempena dengan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia.
SAMBUTAN HARI KESUKARELAWANAN BELIA MALAYSIA 2025 PERINGKAT NEGERI SABAH
Tarikh : 6 Disember 2025 (Sabtu) Tempat : Kompleks Belia & Sukan (P) Negeri Sabah
Hai Belia Sabah! Jom hadir memeriahkan sambutan ini dan sertai aktiviti menarik yang disediakan: i) Program Derma Darah ii) Pocket Talk Kesukarelawanan bersama Kelab Rakan Muda iii) Cabutan Bertuah untuk peserta!
Daftar di sini: https://forms.gle/tmZEcwzj6pZpsegM6
Jom kita semarakkan semangat kesukarelawanan demi komuniti dan negara!
Kompleks Belia Dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah
Jalan Taman Pasir Putih, Putatan
Mel Beg 81, 88998 Kota Kinabalu Sabah
Tel : 088-765777 / 088-761777 | Fax : 088-765262