WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN, 6 JANUARI 2025 ~ Kunjungan hormat dari Majlis Belia Wilayah yang hadir bersama pasukan bersama Pengarah, Puan Mahanum Binti Fauzi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan pada hari ini.
Rombongan Majlis Belia Wilayah bersama Majlis Belia Wilayah Labuan membuat lawatan di Wilayah Persekutuan Labuan bermula 4 Januari lepas dengan beberapa pengisian untuk mengenal sendiri belia Labuan dan membuat beberapa perancangan dalam perlaksanaan program kolaborasi dari semua belia seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur & Labuan.
LABUAN, 26 November - Satu perlawanan persahabatan bola sepak di antara pasukan pilihan Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan menentang pasukan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung malam tadi di Padang Sintetik, Kompleks Belia dan Sukan W.P. Labuan.
Turut beraksi dalam perlawanan tersebut adalah Encik Felix Den Anthony Paru, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan.
Perlawanan yang dibarisi pemain muda dan veteran tersebut berlangsung dengan aksi berbalas serangan dengan kemenangan berpihak kepada pasukan pilihan JBS WP Labuan dengan keputusan 4-1.
PERSAHABATAN AGENSI JABATAN BELIA DAN SUKAN W.P. LABUAN DAN LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG W.P.LABUAN TERUS DIKUKUHKAN DENGAN PERLAWANAN PERSAHABATAN WALKING FOOTBALL ANTARA PASUKAN WANITA DAN LELAKI DARI AGENSI MASING- MASING.
JABATAN BELIA DAN SUKAN W.P.LABUAN YANG DIKETUAI PENGARAH SENDIRI, PUAN HAJAH MAHANUM BINTI FAUZI BAGI PASUKAN DAN SETERUSNYA MEWAKILI PASUKAN WANITA JABATAN TURUT SERTA MENJAYAKAN PERLAWANAN PERSAHABATAN INI.
DISAMPING ITU JUGA, PERSAHABATAN DIKALANGAN KAKITANGAN JBS DAN LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG DAPAT DILIHAT KETIKA PERLAWANAN BERLANGSUNG.
LABUAN, 19 November 2024 - Mesyuarat Penubuhan Kelab Belia Kampung Durian Tunjong telah diadakan pada 18 November 2024, bertempat di Balai Raya Kampung Durian Tunjong.
Mesyuarat ini dihadiri oleh Encik Ramdan bin Abidin, Ketua Kampung Durian Tunjong, Encik Rody Erik Anajery dari Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan, Cik Nazera Roslan, Presiden Majlis Belia Labuan, Encik Yusrie bin Mohd Daud, Ahli Parlimen Belia WP Labuan, EXCO Majlis Belia Labuan serta para belia kampung tersebut.
Mesyuarat ini bertujuan untuk menubuhkan Kelab Belia Kampung Durian Tunjong serta melantik ahli jawatankuasa untuk merealisasikan penubuhan kelab ini. Inisiatif dan langkah ini diharapkan dapat memperkasakan belia setempat dalam aktiviti komuniti dan pembangunan diri.
LABUAN, 16 November - Satu perlawanan persahabatan bola sepak telah berlangsung di Padang Sintetik Kompleks Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan melibatkan pasukan Gabungan Jabatan Belia Dan Sukan W.P.Labuan dan Sprm WP Labuan menentang pasukan Graftbuster FC dari Kota Kinabalu.
Perlawanan ini adalah salah satu agenda dalam memantapkan kerjasama strategik antara agensi di samping dapat bertukar buah fikiran dan pendapat mengenai isu-isu semasa.
Turut hadir dalam perlawanan tersebut adalah Encik Abang Syamsulzainuri bin Abang Sapini, Pengurus Kompleks Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan.
Labuan, 10 November 2024 - Jabatan Belia dan Sukan W.P. Labuan dengan kerjasama JPKK Durian Tunjong dan JPKK Bukit Kuda telah menganjurkan Fit Komuniti @ Labuan (Siri 3 dan 4) pada hari ini.
Objektif utama pelaksanaan program ini adalah sebagai asas untuk menyatupadu serta menggalakkan masyarakat bergiat aktif dalam aktiviti kecergasan.
Program dengan konsep senamrobik itu telah menghimpunkan peserta di kalangan kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Kampung Durian Tunjong dan Ketua Kampung Bukit Kuda.
LABUAN, 9 November – Seramai hampir 3,000 peserta telah menyertai acara Fun Ride 30km, Fun Run 5km dan Fun Walk 3km Jom Gegar Labuan sempena Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pengangkutan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan pagi Sabtu lepas.
Pelepasan peserta telah dilakukan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan bersama YB Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan yang turut berkesempatan menyertai Senamrobik Perdana bersama 3,000 peserta seawal jam 6.30 pagi.
Aktiviti Sukan Rakyat, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak dan Cabutan Bertuah turut diadakan pada program tersebut dan mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan masyarakat setempat.
Labuan, 11 November 2024 – Program Sukan Perpaduan Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan dari 8 hingga 10 November 2024 telah berjaya mengumpulkan pelbagai penyertaan daripada kakitangan Kementerian Belia dan Sukan (Persekutuan), Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan, Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Labuan, Perbadanan Labuan, agensi kerajaan WP Labuan, serta NGO Sukan.
Acara sukan yang meliputi sukan rakyat, bola jaring, petanque, bola sepak 9 sebelah, badminton, dan golf ini dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan dengan kerjasama Perbadanan Labuan, Majlis Belia Malaysia, Persatuan Pegawai Perkhidmatan Belia dan Sukan Malaysia, serta Kesatuan Penolong Pegawai Belia dan Sukan Semenanjung Malaysia.
Majlis pelancaran program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Program ini bertujuan menjadikan sukan sebagai elemen perpaduan, serta membudayakan sukan sebagai gaya hidup sihat. Selain itu, program ini juga bertindak sebagai platform untuk memperkukuh persefahaman dan menghormati antara masyarakat berbeza budaya, serta membina hubungan sosial dan persaudaraan di kalangan pegawai Kementerian Belia dan Sukan (Persekutuan) dan pegawai negeri Wilayah Persekutuan Labuan.
Program ini turut menyediakan persekitaran sokongan yang kukuh antara pelbagai pihak, menjadikan ia satu inisiatif penting dalam memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat Labuan.
Labuan, 11 November 2024 – Sebanyak 24 orang peserta daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Perbadanan Labuan menyertai acara Sukan Golf yang diadakan sempena Program Sukan Perpaduan Wilayah Persekutuan Labuan. Acara ini berlangsung pada 10 November 2024 (Ahad) bermula pada pukul 7.30 pagi.
Program ini bertujuan untuk menjadikan sukan sebagai elemen perpaduan dan membudayakan sukan sebagai gaya hidup sihat. Para peserta berpeluang untuk berinteraksi dalam suasana santai sambil memupuk semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan pegawai dari pelbagai agensi.
Dengan penganjuran acara seperti ini, diharap dapat memperkukuh hubungan antara kakitangan Kementerian Belia dan Sukan serta Perbadanan Labuan, seterusnya mempromosikan sukan sebagai platform untuk perpaduan di kalangan masyarakat.