BAHRAIN, 23 April 2025 - Saudari Avrinda Anis telah memenangi Pingat Perak dalam acara Individu BC2 di Manama World Boccia Challenge di Bahrain semalam. Atlet ini yang kini sedang menjalani Latihan Pusat di bawah Majlis Sukan Negara sebagai atlet pelapis telah menyertai Kejohanan Bahrain 2025 World Boccia Challenge dan telah memenangi pingat Perak. Tahniah Saudari Avrinda, semoga semakin berkilauan membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
LABUAN, 18 April 2025 – Rombongan JBS WP Labuan yang diketuai oleh Puan Mahanum binti Fauzi, Pengarah JBS WP Labuan mengadakan kunjungan hormat kepada YBrs. Encik Shahrul Effendy Ahmad Tajudin, Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Shipyard and Engineering Sdn Bhd (LSE) pada hari ini. Antara intipati perbincangan adalah berkenaan perancangan kerjasama strategik antara agensi dalam usaha melestarikan pembangunan belia dan sukan secara bersama di WP Labuan. Selain itu, pihak LSE turut menerangkan berkenaan latar belakang dan 'core business' LSE. Turut hadir ialah Puan Zyee F. Dullie Marie, Ketua Komunikasi Korporat LSE dan para pegawai JBS WP Labuan
LABUAN, 18 April 2025 - Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat WP Labuan Bil. 1/2025 telah dilaksanakan pada 17 April 2025, bertempat di Bilik Mesyuarat Cemerlang, Wisma Perbadanan Labuan. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Puan Mahanum binti Fauzi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan mewakili Encik Mohd Sukuran bin Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HBN Peringkat WP Labuan Tahun 2025. Sambutan HBN Peringkat WP Labuan Tahun 2025 akan diadakan pada 17 dan 18 Mei 2025, bertempat di Ujana Kewangan Labuan.
LABUAN, 17 April 2025 – Perhimpunan Bulanan JBS WP Labuan bagi bulan Januari hingga Mac telah dilaksanakan pada pagi semalam, bertempat di Gelanggang Futsal Hassan Sani, Kompleks Belia dan Sukan WP Labuan. Hadir ke perhimpunan tersebut ialah Puan Mahanum binti Fauzi, Pengarah JBS WP Labuan, pegawai dan kakitangan Jabatan serta para pekerja kontrak perkhidmatan di JBS WP Labuan. Pengarah berharap agar semua pegawai dan kakitangan sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti kerja dari semasa ke semasa serta memberikan perkhidmatan dengan penuh amanah demi kesejahteraan bersama. Sekalung tahniah dan penghargaan kepada penerima Anugerah Khas Pekerja Terbaik Bulanan JBS WP Labuan bagi bulan Disember 2024 hingga Mac 2025 dan Selamat Hari Lahir kepada pegawai dan kakitangan bagi bulan Januari hingga April 2025.
LABUAN, 14 April 2025 – Pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan (JBS WP Labuan) telah menyertai Kursus Asas Pertahanan Awam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung di Pusat Kawalan Operasi (PKO) APM WP Labuan pada 12 dan 13 April 2025. Antara objektif kursus yang telah dikendalikan sepenuhnya oleh Pegawai dan jurulatih terlatih daripada APM W.P Labuan ini adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan asas kepada para pegawai dan kakitangan JBS WP Labuan dalam aspek-aspek penting berkaitan pertahanan awam serta persediaan menghadapi kecemasan. Antara modul yang dijalankan termasuk Kawad Kaki, Pengenalan kepada Pertahanan Awam, Asas Pertolongan Cemas (termasuk CPR dan teknik menangani 'choking'), Asas Memadam Kebakaran, Asas Simpulan dan Ikatan serta Asas Menyelamat. Puan Mahanum binti Fauzi, Pengarah JBS WP Labuan turut hadir menyertai kursus tersebut dan menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak APM WP Labuan atas kerjasama serta perkongsian sepanjang kursus berlangsung.
LABUAN, 10 April 2025 - Mesyuarat Penyelarasan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat W.P. Labuan Bersama Majlis Belia Labuan (MBL) Bil. 1/2025 telah dilaksanakan bertempat di Bilik Mesyuarat JBS W.P. Labuan. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Puan Mahanum binti Fauzi, Pengarah JBS W.P. Labuan. Turut hadir Cik Nazera binti Roslan, Presiden MBL, barisan EXCO MBL dan pegawai-pegawai Bahagian Pembangunan Belia JBS W.P. Labuan. Antara intipati mesyuarat adalah untuk membincangkan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat W.P. Labuan Tahun 2025. Semoga semua aktiviti yang telah dirancang akan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Tahniah Pasukan Harimau Malaya memenangi Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F Malaysia menentang Nepal malam ini dengan jaringan 2-0. Terima kasih juga kepada para pengunjung yang menzahirkan tahap sokongan pada pasukan harimau malaya.
LABUAN, 25 Mac 2025 - Pada hari ini, genap sebulan pelaksanaan Program Tadarus Al-Quran yang diadakan khas untuk seluruh warga JBS WP Labuan yang beragama Islam. Program yang diadakan khusus sepanjang Bulan Ramadan bagi Tahun 1446H/2025M ini telah berlangsung pada setiap hari Selasa dan Khamis, pada setiap minggu. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Ustazah Azliena binti Md Nor dan Al Hafiz Ustaz Nazmi atas bimbingan dan dorongan sepanjang program ini. Sesungguhnya, bulan Ramadan adalah sebaik-baik bulan untuk kita terus saling mempelajari dan menghayati ajaran Al-Quran. Semoga setiap ibadah dan amal kebaikan kita diterima oleh Allah SWT.
LABUAN, 24 Mac 2025 - Puan Mahanum binti Fauzi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan W.P. Labuan menerima kunjung hormat daripada Persatuan Sukan Touch Labuan (LaTA) petang tadi yang diketuai sendiri oleh Presidennya, Encik Johann Junior Ong. Turut hadir ialah 3 orang lagi jawatankuasa tertingginya iaitu Encik Gabriel Tan (Timbalan Presiden), Encik Mohd Kharizal Firdauz B Zainal (Setiausaha) dan Puan Siti Nurmaairah bte Mastor (Timbalan Setiausaha). Persatuan ini telah mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada tahun lalu dan antara pengisian sesi kunjung hormat tersebut adalah memperkenalkan latar belakang permainan sukan tersebut dan seterusnya menerangkan hala tuju pembangunan tersebut untuk dibangunkan di W.P. Labuan selaras dengan tujuan penubuhan LaTA iaitu untuk mempromosikan sukan ragbi sentuh khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan, serta pendedahan awal bermain ragbi sentuh dari peringkat sekolah rendah di pulau ini.