Tumpat, 6 Julai 2025 – Program Mobilisasi Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Siri 1 Peringkat Daerah Tumpat anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat telah berlangsung dengan jayanya pada 4 Julai 2025 di kawasan Pantai Geting, Tumpat.
Program ini bertujuan memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan belia dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat, Kelab Belia Wira Berjaya dan Kelab SAHABAT Kelantan.
Seramai 126 orang sukarelawan kebanyakannya pelajar dari sekolah yang menetap di asrama, turut serta dalam program yang diadakan di sepanjang Pantai Geting. Antara aktiviti utama termasuk ceramah berkenaan dengan sahsiah, gotong-royong membersihkan kawasan, senam cergas serta menyantuni para pengunjung yang datang beriadah di pantai tersebut.
Program ini bukan sahaja berfokus kepada kebajikan, tetapi juga mengeratkan hubungan antara generasi muda dan komuniti setempat. Diharapkan inisiatif ini akan mencetuskan lebih banyak aktiviti kesukarelawan pada masa hadapan.
TUMPAT, 3 JULAI 2025 - Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Tumpat Tahun 2025 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat dan Majlis Belia Daerah Tumpat telah berlangsung pada 29 Jun 2025 bertempat di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.
Persidangan telah dipengerusikan oleh YABrs. Encik Mohamad Nazwan bin Ismail, Ketua Jajahan Tumpat merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Tumpat. Mewakili Pejabat Belia Sukan Daerah Tumpat ialah Encik Wan Mohd Erffan bin Wan Mohd Nasir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tumpat manakala Majlis Belia Daerah Tumpat diwakili oleh Encik Anuar bin Azmin, Pengerusi Majlis Belia Daerah Tumpat bersama semua ahli majlis telah membincangkan isu dan usul untuk dibentangkan pada Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri nanti.
Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) merupakan satu platform golongan belia untuk menyalurkan idea, membincangkan isu dan dasar pembangunan kepimpinan dan pengurusan organisasi belia. Pengisian utama majlis ialah pembentangan kertas kerja bertajuk “TVET2CAREER” oleh Puan Kang Foo Liew, Pegawai Latihan dari Institut Kemahiran Belia Negara Tanah Merah. Pengerusi MBD Tumpat turut membentang kertas kerja yang bertajuk “Pembentukan Sahsiah dan Modal Insan Belia Masa Kini”.
Diharapkan pelaksanaan MPBN Peringkat Daerah Tumpat bersama rakan strategik Majlis Belia Daerah, pertubuhan belia dan agensi-agensi kerajaan dapat meneruskan dan memperkasa agenda pembangunan belia negara.
GUA MUSANG, 3 Julai 2025 – Majlis Belia Jajahan (MBJ) Gua Musang terus menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha memperkasa pembangunan belia apabila Yang Dipertua MBJ Gua Musang, Encik Mohd Azmawi Fikri bin Abd Ghani, hadir ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang bagi sesi perbincangan rasmi dan penyelarasan pengurusan Kem Belia Peringkat Daerah Gua Musang 2025, semalam.
Ketibaan beliau disambut oleh Muhammad Norfikri bin Norzaki, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Gua Musang, dalam suasana mesra dan penuh semangat kerjasama. Sesi perbincangan ini memberi tumpuan kepada pelbagai aspek pelaksanaan kem termasuk struktur program, modul latihan, pemilihan peserta, penyediaan fasiliti, tarikh pelaksanaan, serta penglibatan strategik pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, NGO dan pertubuhan belia tempatan.
Menurut Encik Mohd Azmawi Fikri, MBJ Gua Musang menyambut baik usaha Pejabat Belia dan Sukan dalam penganjuran kem ini dan bersedia untuk bekerjasama rapat dalam menjayakan program tersebut sebagai platform membentuk sahsiah, jati diri dan kepimpinan anak muda. “MBJ akan terus menjadi rakan strategik yang aktif dalam memperluas penyertaan belia, memperkukuh jaringan kerjasama dan memastikan impak positif kepada komuniti belia daerah Gua Musang,” ujar beliau. Sementara itu, Muhammad Norfikri bin Norzaki menyatakan bahawa peranan MBJ sangat penting dalam memastikan program-program seperti Kem Belia ini mencapai sasarannya dan memberi kesan langsung kepada golongan belia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MBJ atas keterlibatan aktif dalam perancangan dan berharap momentum ini dapat diteruskan dalam pelaksanaan program-program belia lain sepanjang tahun 2025. Perbincangan ini ditutup dengan kesepakatan untuk membentuk pelan tindakan awal dan penyelarasan tugasan sebagai langkah persediaan menjelang Kem Belia Peringkat Daerah Gua Musang 2025, yang dijangka menghimpunkan penyertaan belia dari pelbagai latar belakang di seluruh jajahan.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang kekal komited untuk terus menjadi pemudah cara utama kepada belia dan pertubuhan belia bagi merangka dan melaksanakan program pembangunan anak muda yang berimpak tinggi dan bersifat menyeluruh.
Disediakan oleh: Urus Setia Media Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang
GUA MUSANG, 3 Julai 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang menerima satu lawatan rasmi daripada wakil pertubuhan belia Young Malaysians Movement (YMM) sempena penyelarasan maklumat pertubuhan dalam sistem Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) dan bagi menerima Sijil Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025, Semalam.
Pertemuan ini telah diadakan dalam suasana mesra dan konstruktif, bertujuan menyemak dan menyusun semula data rasmi pertubuhan di bawah sistem MYKD agar sentiasa relevan, terkini dan selaras dengan keperluan pemantauan pihak kementerian dan Majlis Belia Malaysia (MBM). Usaha ini turut menunjukkan komitmen tinggi YMM dalam memperkukuh pentadbiran dan pengurusan organisasi belia yang cekap dan berdaya saing.
Young Malaysians Movement, sebuah pertubuhan belia aktif yang giat melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan anak muda, telah berjaya meraih tempat ketiga bagi Kategori Pertubuhan dalam Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025. Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan berprestij yang diberikan oleh kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan Malaysia kepada individu dan pertubuhan belia yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang kepimpinan, kesukarelawanan, serta sumbangan kepada pembangunan masyarakat.
Sijil penghargaan APBN telah disampaikan oleh Encik Shahabudin bin Haji Deraman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Gua Musang, kepada wakil YMM dalam satu sesi penyerahan ringkas tetapi penuh bermakna. Dalam ucapan ringkas beliau, Encik Shahabudin menzahirkan ucapan tahniah kepada YMM atas pencapaian yang membanggakan, serta menekankan pentingnya kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan pertubuhan belia bagi memperkasa pembangunan anak muda di peringkat akar umbi. “Pencapaian ini adalah hasil usaha kolektif, disiplin organisasi dan semangat sukarelawan yang tinggi dalam kalangan ahli-ahli pertubuhan. Kami berharap ia menjadi pembakar semangat kepada pertubuhan-pertubuhan lain untuk terus aktif dan menyumbang kepada masyarakat,” ujar beliau.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang komited untuk terus menyokong pertubuhan-pertubuhan belia yang aktif dan progresif di daerah ini melalui pelbagai bentuk bantuan teknikal, khidmat nasihat, serta peluang latihan dan pengiktirafan. Lawatan seperti ini diharap dapat menjadi medan untuk memperkukuhkan jaringan sokongan antara institusi kerajaan dan komuniti belia yang sentiasa berkembang dinamik.
GUA MUSANG, 2 Julai 2025 – Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Gua Musang bagi Sidang 1 Sesi 2025/2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Persidangan Dato’ Haji Ismail dan Hassan, Majlis Daerah Gua Musang pada 30 Jun 2025.
Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Budie Dharma bin Azman, Ketua Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan) Gua Musang, yang dalam ucapannya menekankan pentingnya keterlibatan belia dalam pembangunan daerah secara menyeluruh dan berkesan. Kehadiran tokoh-tokoh utama daerah turut menyerikan majlis, termasuk Yang Berhormat Mohd Azmawi Fikri bin Haji Abdul Ghani, Pengerusi Majlis Belia Jajahan Gua Musang dan Encik Shahbuddin bin Haji Deraman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Gua Musang, selain ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.
Persidangan ini menjadi medan penting bagi wakil-wakil belia menyuarakan isu, cadangan dan harapan yang melibatkan kehidupan anak muda di peringkat akar umbi. Antara isu utama yang dibangkitkan ialah minat belia dalam bidang keusahawanan yang memerlukan sokongan latihan dan akses pembiayaan, keciciran akses terhadap teknologi digital dalam kalangan belia luar bandar, cabaran pemilikan rumah pertama oleh golongan muda, serta kebimbangan berterusan terhadap penyalahgunaan dadah di kawasan pedalaman. Turut diberi perhatian serius ialah ketiadaan pusat sukan berpusat di Gua Musang yang dilihat sebagai kekangan kepada pembangunan bakat dan gaya hidup sihat belia daerah. Para peserta mencadangkan agar sebuah kemudahan sukan yang lengkap diwujudkan sebagai usaha jangka panjang.
Persidangan ini membuktikan bahawa MPBN kekal sebagai platform penting penyatuan suara belia dengan dasar dan pelaksanaan pihak kerajaan, sekaligus mencerminkan komitmen generasi muda dalam membina masa depan negara yang lebih inklusif dan progresif.
Disediakan oleh: Urus Setia Media Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang
PASIR PUTEH, 3 JULAI 2025 – Siapa sangka penemuan satu sarang kelulut di habitat liar sekitar tahun 2016 menjadi titik permulaan kepada tertubuhnya ABENICK Trigona Farm, sebuah ladang ternakan kelulut yang kini semakin dikenali di peringkat negeri dan luar Kelantan.
Diasaskan oleh anak muda Nik Khairul Anuar bin Almuai, atau lebih mesra dikenali sebagai AbeNick, beliau memulakan penternakan kelulut secara kecil-kecilan dengan hanya mensasarkan pengeluaran madu untuk jualan biasa. Namun, semangat dan minat yang mendalam terhadap dunia kelulut mendorong beliau untuk terus belajar dan menjalankan penyelidikan (R&D) sendiri secara berterusan.
Beliau turut berkongsi pengalamannya membezakan pelbagai spesies kelulut yang boleh dan tidak boleh diternak, bergantung kepada kesesuaian kawasan dan iklim setempat. “Saya banyak belajar melalui pemerhatian dan pengalaman sendiri. Ini bidang terjun yang akhirnya menjadi minat dan sumber rezeki saya,” ujar beliau. Kemuncak permintaan terhadap madu kelulut yang diusahakannya berlaku semasa pandemik COVID-19, apabila ramai masyarakat mula mencari produk asli berasaskan semula jadi untuk kesihatan. Madu ABENICK Trigona Farm mendapat sambutan tinggi kerana kualitinya yang tulen.
Menjelang tahun 2022, Abenick melangkah lebih jauh dengan mula membekalkan sarang kelulut kepada agensi kerajaan, FELDA dan individu di pelbagai negeri yang berminat memulakan ladang kelulut sendiri. Langkah ini membuka dimensi baharu kepada perniagaannya selain daripada pengeluaran madu. Kini pada tahun 2025, perjalanan beliau dalam dunia kelulut semakin matang. ABENICK Trigona Farm bukan sahaja menjadi pengeluar madu, malah pembekal sarang dan pusat rujukan kepada penternak baharu yang ingin menceburi bidang ini.
Abenick berharap kejayaannya ini dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk menceburi bidang agro-ternakan moden, khususnya dalam sektor ternakan lebah kelulut yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan dan luar negara.
PASIR PUTEH, 3 JULAI 2025 – Lawatan tapak bagi pelaksanaan Program Rakan Bumi : Plogging Komuniti anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh dengan kerjasama Kelab Rakan Muda Bandar Pasir Putih telah diadakan di sekitar kawasan ladang kelulut ABENICK Trigona Farm, Kampung Telipot iaitu milik Encik Nik Khairul Anuar bin Almuai yang dijangka akan dilaksanakan pada bulan Julai 2025.
Program ini bertujuan menggabungkan aktiviti kesedaran alam sekitar seperti pembersihan anak sungai sambil berjalan dengan elemen agro-pelancongan yang semakin mendapat perhatian, khususnya melalui penternakan lebah kelulut.
Program yang dirancang ini dijangka melibatkan penyertaan belia tempatan, pelajar dan komuniti setempat dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar sambil mengenali peranan kelulut dalam ekosistem.
Puan Masyitah Fadillah binti Mohd Rosdi @ Rosdi, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh hadir ke lawatan tersebut. Lawatan tapak ini turut memberi peluang kepada kami menyelaras laluan plogging serta melihat potensi kawasan sekitar untuk dimanfaatkan dalam aktiviti komuniti yang bersifat lestari.
PASIR MAS, 30 Jun 2025 - Program Agrobelia Lestari 2025 merupakan salah satu program KBS bagi membantu golongan belia dengan inisiatif pemerkasaan ekonomi agro. Ini sejajar dengan dasar kerajaan yang mementingkan isu sekuriti makanan dan kos sara hidup rakyat. Lima objektif Agrobelia Lestari adalah seperti berikut :
1. Meningkatkan kesedaran dan keterlibatan belia dalam bidang pertanian. 2. Menyerlahkan potensi belia dalam bidang pertanian melalui perkumpulan belia 3. Membantu belia menjana pendapatan melalui bidang pertanian 4. Meningkatkan keyakinan belia dalam mengurus projek-projek pertanian 5. Mempromosi dan mengembangkan perusahaan produk pertanian.
Persatuan Kelab-Kelab Belia (MAYC) Pasir Mas merupakan salah satu daripada sepuluh pertubuhan yang berdaftar telah terpilih setelah melalui sesi pitching untuk menyertai Program Agrobelia Lestari 2025. Mereka akan melalui fasa seterusnya iaitu :
- mengikuti sesi latihan berkemahiran bagi meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam bidang yang dipilih - diberi dana bantuan bagi menjalankan projek Ternakan Lebah Kelulut - dibimbing dan dipantau dalam tempoh minimum enam bulan
Satu sesi perbincangan dan lawatan awal oleh Puan Nazatul Asma binti Ariffin, Pegawai Pembangunan Ekonomi (I), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan bersama Puan Siti Shalwani binti Zakaria, Pembantu Belia dan Sukan (Belia) ke tiga tapak projek akan dilaksanakan oleh Persatuan Kelab-Kelab Belia (MAYC) Pasir di Kg Tendong, Kampung Banggol Che Wan, Meranti dan Kampung Repek, Pasir Mas yang Mas pada sabtu lalu.
Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia (MAYC) Pasir Mas, Saudara Asroy bin Azmi berkata “Projek Ternakan Madu Kelulut dilaksanakan ini adalah untuk membantu ahli-ahli yang bernaung di bawah Kelab ini iaitu Kelab Belia Inspirasi Tendong, Kelab Belia Meranti dan Kelab Belia Bandar Pasir Mas. Penternakan Kelulut bukan sekadar hobi ianya adalah sumber pendapatan yang mampan dan berpotensi besar untuk masa depan negara”. Projek ini turut menjadi ruang untuk mengeratkan perpaduan dan membina jaringan ekonomi komuniti. Belia tidak lagi hanya menunggu peluang, sebaliknya mencipta peluang. Penternakan kelulut menjadi simbol ketekunan, kreativiti dan keupayaan belia untuk menerajui perubahan.
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Belia JBSNK
MACHANG, 30 Jun 2025 - Program Agrobelia Lestari 2025 merupakan salah satu program KBS bagi membantu golongan belia dengan inisiatif pemerkasaan ekonomi agro. Ini sejajar dengan dasar kerajaan yang mementingkan isu sekuriti makanan dan kos sara hidup rakyat. Lima objektif Agrobelia Lestari adalah seperti berikut :
1. Meningkatkan kesedaran dan keterlibatan belia dalam bidang pertanian. 2. Menyerlahkan potensi belia dalam bidang pertanian melalui perkumpulan belia 3. Membantu belia menjana pendapatan melalui bidang pertanian 4. Meningkatkan keyakinan belia dalam mengurus projek-projek pertanian 5. Mempromosi dan mengembangkan perusahaan produk pertanian.
Kelab Belia Seri Warisan Pusaka Kemunchup, Machang merupakan salah satu daripada sepuluh pertubuhan yang berdaftar telah terpilih setelah melalui sesi pitching untuk menyertai Program Agrobelia Lestari 2025 (Projek Penanaman Cendawan Kukur). Mereka akan melalui fasa seterusnya iaitu : - mengikuti sesi latihan berkemahiran bagi meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam bidang yang dipilih - diberi dana bantuan bagi menjalankan projek Penanaman Cendawan Kukur - dibimbing dan dipantau dalam tempoh minimum enam bulan
Satu sesi perbincangan dan lawatan awal oleh Puan Nazatul Asma binti Ariffin, Pegawai Pembangunan Ekonomi (I), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan bersama Puan Siti Shalwani binti Zakaria, Pembantu Belia dan Sukan (Belia) ke tapak projek penanaman cendawan kukur atau kulat sisir akan dilaksanakan oleh Kelab Belia Seri Warisan Pusaka Kemunchup, Machang di Kampung Kemunchup, Machang pada jumaat lalu.
Saudara Mohd Khairul Azran bin Kamil, Pengerusi Kelab Belia Seri Warisan Pusaka Kemunchup, Machang berkata “Projek Penanaman Cendawan Kukur memberi peluang kepada ahli-ahli kelab belia meneroka bidang agro pertanian yang mendapat permintaan yang tinggi sekarang. Cendawan kukur boleh mencapai harga RM100 sekilo gram. Fasa pertama ini kami akan menggunakan bongkah yang dibeli dari usahawan cendawan kukur sedia ada bagi mendapatkan hasil tuaian yang cepat sehingga 200 gram bagi satu bongkah”
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Belia JBSNK