MACHANG, 16 FEBRUARI 2025 – Satu sesi verifikasi Pegawai Penilai Luaran bersama calon Persijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) bagi Pelaksanaan Kerja Belia Tahap 3 telah diadakan secara atas talian.
Pada sesi ini calon perlu mengemukakan bukti-bukti pelaksanaan kerja belia yang telah dilaksanakan untuk melayakkan calon memperoleh sijil Pelaksanaan Kerja Belia Tahap 3. Puan Siti Azura binti Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang telah dicalonkan bagi memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 Pelaksanaan Kerja Belia.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
PASIR MAS, 23 FEBRUARI 2025– Pertandingan Slingshot Terbuka Kelantan anjuran Kelab Belia Pak Hussin Kbkph, Pasir Mas pada 22 Februari 2025 (Sabtu) bertempat di Kampung Baru Pak Hussin telah berjaya menarik ramai Juara-juara dari seluruh Negeri Kelantan. Pertandingan ini telah mendapat suntikan dana dari Dana Sukan Komuniti (DSK) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Pertandingan Slingshot ataupun lebih dikenali ‘Bidas’ ini telah menjadi satu trend terkini di Negeri Kelantan. Rata-rata setiap kampung di Kelantan akan mempunyai 1 pasukan Slingshot kerana setiap minggu pasti ada pertandingan dilaksanakan yang menawarkan hadiah yang cukup lumayan. Pertandingan Slingshot Terbuka Kelantan ini sendiri menawarkan hadiah Johan sebanyak RM 1,000.00.
Dengan adanya Dana Sukan Komuniti (DSK) ini telah membantu banyak kelab-kelab sukan dan belia di kampung dan daerah dalam melaksanakan penganjuran sukan bagi semua peringkat umur. Encik Aris bin Awang, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas telah mewakili Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan untuk merasmikan pertandingan tersebut. Tahniah Kelab Belia Kampung Baru Pak Hussin di atas kejayaan dalam menganjurkan Pertandingan Slingshot Terbuka Kelantan. TAHNIAH ANAK MUDA PASIR MAS!!!!!
Disediakan oleh : Urus setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas
PASIR MAS, 23 FEBRUARI 2025– Skuad Ihsan Madani Satria JBS Kelantah telah dilaksanakan pada 22 Februari 2025 (Sabtu) bertempat di Madrasah Abe Man Kampung Jakar, Pasir Mas pada jam 8.30 pagi.
Sempena bulan Ramadhan yang akan tiba nanti gotong-royong mengecat dan membersihkan kawasan Madrasah Abe Man telah memberikan sinar dan senyuman kepada masyarakat Kampung Jakar yang rata-rata berasa gembira dan teruja dengan wajah baru Madrasah kampung mereka.
Seramai 10 orang sukarelawan belia bersama masyarakat kampung telah bersama-sama menjayakan program ini dan turut hadir adalah Encik Mohd Faidhi bin Mat Noor, Pembantu Belia dan Sukan (Rakan Muda), Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas dan Encik Mohd Fadzwan bin Zainun, Setiausaha Majlis Belia Jajahan Pasir Mas. Pihak PBSD Pasir Mas juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Kampung Jakar kerana bersama-sama menjayakan program ini.
Semoga Ramadan dan Syawal tahun ini memberikan keselasaan dan senyum kepada pengguna Madrasah Abe Man, Kampung Jakar, Pasir Mas.
Disediakan oleh : Urus setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas
Pasir Mas, 21 Februari 2025 - Perasmian Pembukaan Kejohanan Bola Keranjang 3 On 3 Piala Thiong Thuar 2025 telah berlangsung dengan jayanya hari ini di Dewan Serbaguna Kg Pasir Parit, Chekok, Pasir Mas, Kelantan. Penganjuran program ini bukan hanya kepada seluruh rakyat Kelantan malah terbuka kepada suluruh Rakyat Malaysia.
Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk membentuk semangat kenegaraan, kebudayaan dan kesenian melalui pelbagai mekanisme seperti interaksi dan jalinan hubungan sosial secara berterusan pada peringkat “inter” dan “intra” etnik dengan penuh berhemah. Justeru ianya dapat menggalakkan persefahaman, toleransi, hormat-menghormati antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya. Melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti yang sihat ini akan dapat membantu mengurangkan masalah sosial yang berlaku di sekeliling kita biasanya melibatkan para remaja seperti masalah dadah, remaja hamil luar nikah, merokok, lepak, lumba haram, kecurian dan sebagainya.
Kejohanan 3 on 3 ini melibatkan 8 kategori umur iaitu : i) Lelaki Bawah 12 Tahun Ii) Perempuan Bawah 12 Tahun Iii) Lelaki Bawah 15 Tahun Iv) Perempuan Bawah 15 Tahun V) Lelaki Bawah 18 Tahun Vi) Terbuka Wanita Vii) Terbuka Lelaki Viii) Terbuka Lelaki Bukan Cina
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK). Memetik ucapan beliau pihak JBSNK senantiasa menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua agensi dan komuniti yang ingin menganjurkan dan melaksanakan program-program sukan. Namum begitu, perlulah mematuhi prosedur dan garis panduan pelaksanaan aktiviti sukan bagi megelakkan masalah yang akan timbul dalam penganjuran sesuatu aktiviti sukan. Hadir sama menyokong program tersebut Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah (Sukan) JBSNK dan Encik Mohd Fadzil Bin Che Daud Pegawai Penggalakan dan Pembangunan Sukan JBSNK.
TUMPAT, 20 Februari 2025 - Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada individu dan pertubuhan belia yang telah memberikan sumbangan terhadap pembangunan belia. Anugerah ini juga adalah untuk meraikan dan menghargai belia yang memperoleh pencapaian yang membanggakan negara dalam pelbagai bidang. Pengiktirafan ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menyuntik semangat dan motivasi kepada belia yang lain.
Justeru itu, Pejabat Belia dan Belia dan Sukan Daerah Tumpat telah mengadakan mesyuarat penyelarasan pencalonan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025 pada 19 Februari 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh wakil-wakil dari pertubuhan belia dan calon individu lelaki dan wanita. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat bercadang untuk menghantar pencalonan APBN bagi Kategori Pertubuhan sekurang-kurangnya dua pencalonan. Manakala bagi Kategori Individu Lelaki dan Wanita ialah sekurang-kurangnya satu pencalonan.
Taklimat kriteria penilaian dan syarat-syarat pencalonan APBN bagi Kategori Pertubuhan dan Kategori Individu Lelaki dan Wanita telah disampaikan oleh Puan Mimi Marini binti Mahmood selaku pegawai bertanggungjawab untuk program pembangunan belia. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Encik Wan Mohd Erffan bin Wan Mohd Nasir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tumpat dan hadir sama Encik Mohamad Saupi bin Ibrahim, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tumpat (Bahagian Pembangunan Sukan) serta Encik Nik Ahmad Saifullah bin Ahmad Husni, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Tumpat (Bahagian Pembangunan Rakan Muda).
KELANTAN, 19 FEBRUARI 2025 – Akviti Kecergasan kepada Warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK) diteruskan pada minggu ini dengan pengisian di Gimnasium Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Aktiviti ini dilaksanakan setiap hari Selasa. Warga JBSNK meluangkan masa selama 1 jam melakukan aktiviti kecergasan di Gimnasium Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan yang diketuai oleh Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan JBSNK.
Aktiviti ini dilaksanakan bagi memastikan setiap warga JBSN Kelantan sentiasa kekal aktif dan cergas dalam menjalankn tugasan harian.
KOTA BHARU, 20 Februari 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu telah dikunjungi oleh Syarikat Adabi Kota Bharu yang diwakili oleh Puan Atiqah binti Samsuddin. Kehadiran Syarikat Adabi ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu sangat dialu-alukan bagi merancakkan lagi jalinan mesra dan kerjasama antara pejabat ini dan Non Goverment Organization (NGO) dalam pelaksanaan sponsorship bagi Program Belia, Sukan dan Rakan Muda di Daerah Kota Bharu. Puan Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran Syarikat Adabi ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu.
Dalam pertemuan ini, Puan Nurul Asmad binti Che Harun mengucapkan ribuan terima kasih kepada Syarikat Adabi kerana telah menjadi Rakan Kongsi dan menaja hamper barangan Adabi dalam memeriahkan dan merancakkan lagi Program Belia, Sukan dan Rakan Muda di Daerah Kota Bharu amnya sejak tahun 2022 lagi. Pada tahun ini, Syarikat Adabi berbesar hati untuk membantu dan bekerjasama dengan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu bagi program-program yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu mengucapkan terima kasih kepada Puan Atiqah binti Samsuddin, wakil Syarikat Adabi atas peluang dan ruang yang telah diberikan kepada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dalam bekerjasama bagi memeriahkan Program Belia, Sukan dan Rakan Muda, Semoga ikatan ukhwah ini berkekalan selamanya.
Disediakan oleh : Urus setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu
KOTA BHARU, 26 Januari 2025 – Presiden AZM Rovers Football Club, Encik Amin Zubair bin Muhamad bersama Ahli Jawatankuasa telah hadir ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu bagi membincangkan hubungan usahasama dua Hala Join Venture untuk tahun ini dan tahun seterusnya. Puan Nurul Asmad bt Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu menyambut baik kehadiran kelab ini ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dan sangat mengalu-alukan bagi merancakkan lagi jalinan mesra dan kerjasama antara pejabat ini dan Non Goverment Organization (NGO) dalam pelaksanaan program Belia, Sukan dan Rakan Muda di Daerah Kota Bharu.
Pada pertemuan kali ini turut membincangkan pelaksanaan program bagi suku tahun pertama iaitu Program Belia, Sukan dan Rakan Muda bagi Peringkat Daerah Kota Bharu yang akan dilaksanakan pada Mac 2025 tahun ini. Dalam pada itu, Encik Amin Zubair juga turut memaklumkan perancangan Program Kelab AZM Rovers Football Club pada tahun ini. Kelab ini juga berhasrat untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam permainan bola sepak seawal 5 tahun untuk mempelajari teknik dan cara yang betul dalam permainan bola sepak ini supaya pemain-pemain dapat menerajui sukan bola sepak ini ke peringkat yang lebih berprestij.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu sentiasa menyokong aspirasi persatuan dalam pelaksanaan program dan kursus berkaitan belia dan sukan terutamanya di bawah pentadbiran Daerah Kota Bharu.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu
Kota Bharu, 26 Januari 2025 - Selamat bersara diucapkan kepada Puan Wan Roslinda bt Wan Ibrahim, Pembantu Belia dan Sukan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu. Beliau yang telah mula berkhidmat di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu pada 9 Julai 2024 sehingga 1 Januari 2025.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu mengucapkan selamat bersara dan mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen dan jasa yang telah dicurahkan semasa berkhidmat di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu. Semoga Puan Wan Roslinda bt Wan Ibrahim sihat dan ceria sepanjang tempoh persaraan.
Disediakan oleh : Urus Setia Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu