Pasir Mas, 23 Jun 2025 – Kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Pasir Mas telah menghadiri sesi semakan Buku Perkhidmatan di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan yang telah diselaraskan oleh Unit Pentadbiran jabatan pada 22 Jun 2025.
Langkah ini bertujuan memastikan segala data berkaitan perkhidmatan kakitangan direkod dengan tepat, dikemas kini, dan disahkan selaras dengan prosedur perkhidmatan awam. Semakan ini turut meliputi maklumat asas, rekod kenaikan pangkat, pertukaran jawatan, kursus yang dihadiri serta pengesahan-pengesahan rasmi yang berkaitan.
Usaha proaktif ini menunjukkan komitmen pihak pengurusan dalam memastikan integriti dan kecekapan rekod perkhidmatan sentiasa terjaga demi kelancaran urusan pentadbiran dan kemajuan kerjaya kakitangan.
Pasir Mas, 23 Jun 2025 – Program KLAS Renang Fasa 1 Sesi 2 yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun 2025 menyaksikan perkembangan memberangsangkan dalam kalangan peserta cilik dari daerah Pasir Mas. Latihan intensif selama dua hari ini berlangsung dengan penuh semangat dan kerjasama padu, khususnya daripada ibu bapa yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan penyertaan anak-anak mereka.
Rata-rata peserta menunjukkan peningkatan ketara berbanding Sesi 1 yang dijalankan minggu sebelumnya. Ramai peserta kini tampil lebih yakin dan berani untuk berenang secara sendiri, mencerminkan keberkesanan modul latihan yang digunakan serta semangat ingin belajar yang tinggi.
Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran asas renang dalam kalangan anak-anak, malah turut memupuk keyakinan diri, disiplin dan semangat kesukanan sejak usia muda.
MACHANG, 22 JUN 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang (PBSD) Machang telah mengadakan Program Rakan Mahir: Skills For Life Siri 2 @Daerah Machang 2025 – Canva Editing Skills pada 20 Jun 2025 bertempat di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Bukit Tiu, Machang dan telah disertai seramai 20 orang peserta.
Dalam program ini, para peserta akan mempelajari kemahiran reka bentuk grafik, menguasai alat dan ciri-ciri Canva, memahami prinsip reka bentuk, dan mencipta kandungan digital yang menarik. Program ini juga dapat membantu peserta mencipta grafik untuk media sosial secara bebas, merancang persembahan, mengembangkan bahan-bahan identiti jenama dan bekerjasama dengan berkesan menggunakan Canva.
Puan Siti Azura binti Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang hadir merasmikan dan menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta. Turut hadir Encik Shahril bin Aziz, Pegawai Pembangunan Rakan Muda PBSD Machang dan Puan Noor Shanizam binti Mohd Remeli, Pembantu Tadbir PBSD Machang.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang.
MACHANG, 22 JUN 2025 - Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Machang dengan kerjasama Persatuan Kecergasan Daerah Machang dan Pondok Hidayah 2 Machang telah mengadakan Program Malaysia Aktif @ Komuniti Daerah Machang Siri 1/2025 bertempat di Bukit Kepang, Machang pada 20 Jun 2025.
Seramai 69 orang peserta yang terdiri daripada 40 orang peserta lelaki dan 29 orang peserta perempuan telah menyertai program ini yang merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti mendaki gunung dan bukit. Program ini bertujuan untuk mempromosikan kesihatan fizikal dan mental, serta memperkenalkan keindahan alam semula jadi negara kepada rakyat Malaysia.
Program ini telah dirasmikan oleh Puan Siti Azura binti Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang. Turut hadir sama Encik Mohd Zul Izudin bin Samat, Pegawai Pembangunan Belia PBSD Machang dan Encik Zaharuddin bin Zainal, Pegawai Pembangunan Sukan PBSD Machang.
Terima kasih juga diucapkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Daerah Machang dan Persatuan Kecergasan Daerah Machang atas kerjasama yang diberikan sepanjang program ini berlangsung.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
Kota Bharu, 19 Jun 2025 – Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad Ke IV menjadi tumpuan warga Kelantan sempena Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang berlangsung penuh meriah dan bermakna. Program tahunan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah serta memperkukuh solidariti dalam usaha membanteras gejala ini.
Antara yang hadir memberikan sokongan padu ialah Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas, Puan Nur Aliaa binti Wan Johan, yang turut serta dalam pelbagai aktiviti sepanjang hari sambutan sebagai tanda komitmen agensinya terhadap usaha pencegahan dadah.
Majlis dimulakan dengan acara senam cergas yang dipimpin oleh pasukan Wellness Kelantan, diikuti dengan pelbagai pengisian menarik seperti pameran oleh agensi-agensi kerajaan dan NGO, jualan makanan tempatan, serta aktiviti mewarna dan sukan yang memberi peluang kepada pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat untuk turut serta secara aktif.
Sambutan ini diharap dapat terus memberi impak positif dalam menyebarkan mesej anti dadah kepada seluruh komuniti, sejajar dengan aspirasi Kelantan sebagai negeri bebas dadah.
Pasir Mas, 19 Jun – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas yang diwakili oleh En. Mohd Sarimat bin Salleh dan En. Mohd Faidhi bin Mat Noor hari ini telah dijemput hadir ke satu perbincangan tidak rasmi bersama Pegawai Pembangunan Sosio - Ekonomi Pejabat Tanah Dan Jajahan Pasir Mas iaitu En. Afif Irfan Bin Mohd Adnan.
Perbincangan tersebut adalah bagi berkongsi pandangan dan idea dalam merangka cadangan untuk melaksanakan satu karnival sukan di peringkat Jajahan Pasir Mas yang akan disertai oleh semua agensi kerajaan dan 10 Daerah Penggawa iaitu terdiri daripada daerah Alor Pasir, Bunut Susu, Chetok, Gual Periuk, Kangkong, Kubang Gadong, Kubang Sepat, Lemal, Pasir Mas dan Rantau Panjang.
En. Irfan turut berkongsi hasrat Ketua Jajahan untuk mengaktifkan Majlis Sukan Jajahan agar pembangunan dan program – program sukan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan rancak di Daerah Pasir Mas dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas.
MACHANG, 19 JUN 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Machang telah mengadakan satu lawatan kebajikan ke rumah Timbalan Pengerusi Kelab Belia Bandar Machang, Saudara Ahmad Nazif bin Samsuddin di Kampung Lalang Luas, Joh, Labok.
Beliau telah mengalami patah tulang di pergelangan kaki kiri pada 16 Jun 2025 akibat daripada bermain bola sepak dan kini beliau masih berehat di rumah beliau.
Puan Siti Azura binti Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang bersama Encik Zaharuddin bin Zainal, Pegawai Unit Sukan PBSD Machang dan Encik Shahril bin Aziz, Pegawai Unit Rakan Muda PBSD Machang telah hadir dalam lawatan ini
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
GUA MUSANG, 18 Jun 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang terus melaksanakan usaha memperkasakan pembangunan belia melalui penganjuran Kem Belia Peringkat Daerah Gua Musang 2025, yang bakal diadakan di Paksu Chalet & Camp Site, Pasir Puteh, Kelantan.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program ini, satu sesi perbincangan dan penyelarasan telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bendahara, melibatkan kehadiran En. Muhammad Norfikri bin Norzaki, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Gua Musang dan Puan Nurul Syifa binti Husni, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Gua Musang.
Sesi ini bertujuan menyelaraskan kerjasama dan komitmen pihak sekolah dalam penyertaan pelajar serta peranan sebagai rakan strategik program. Beberapa aspek utama turut dibincangkan termasuk pemilihan peserta, persiapan logistik, penglibatan fasilitator dan pelaksanaan modul yang merangkumi elemen pembinaan sahsiah, kepimpinan, ketahanan diri dan semangat kerjasama.
Penganjuran Kem Belia ini diharap dapat memberi impak positif kepada generasi muda khususnya pelajar sekolah menengah, dalam membentuk belia yang berdaya tahan, berdisiplin dan berwawasan. Pihak sekolah menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan serta kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan program yang dijadualkan berlangsung pada suku ketiga tahun ini.
Kem Belia Daerah Gua Musang merupakan salah satu inisiatif pembangunan sahsiah kendalian Pejabat Belia dan Sukan Daerah yang memberi tumpuan kepada pelajar sekolah sebagai kumpulan sasar utama, dengan objektif membina belia berilmu, berkarakter dan proaktif terhadap pembangunan masyarakat.
Disediakan oleh: Urus Setia Media Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang
PASIR PUTEH, 19 JUN 2025 – Kelab Rakan Muda Bandar Pasir Putih telah mengadakan satu sesi perbincangan bersama ahli jawatankuasa bagi merancang aktiviti demi mencapai sasaran penyertaan remaja dan meningkatkan impak kemenjadian peserta yang unggul.
Perbincangan yang dipengerusikan oleh Encik Sazli bin Mahmood, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh, turut dihadiri oleh Saudara Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman, Pengerusi Kelab Rakan Muda Bandar Pasir Putih serta barisan ahli jawatankuasa. Fokus utama perbincangan adalah merangka inisiatif yang dapat menarik lebih ramai remaja menyertai kelab melalui pelaksanaan program-program menarik, dan inklusif.
Antara perkara yang dibincangkan termasuklah pelaksanaan program bersama agensi-agensi luar, penekanan kepada pembangunan sahsiah dan jati diri belia, serta usaha memperkasakan visi dan misi kelab untuk menjadi platform kepada golongan muda.
Menurut Encik Sazli bin Mahmood "Peranan Kelab Rakan Muda bukan sekadar menganjurkan aktiviti, tetapi sebagai pemangkin yang mampu membentuk kepimpinan, keterampilan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan remaja."
Perbincangan ini diharapkan menjadi titik tolak kepada pengukuhan gerak kerja kelab secara lebih tersusun dan progresif dalam mendepani cabaran serta keperluan belia masa kini.