KEM BELIA@RAKAN PRIHATIN PERINGKAT DAERAH BACHOK 2025 BAKAL LAHIRKAN PEMIMPIN SERBA BOLEH

Bachok, 26 Ogos 2025 – Seramai 50 orang peserta berumur antara 13 hingga 16 tahun dari seluruh Daerah Bachok telah menyertai Program Kem Belia@Rakan Prihatin Peringkat Daerah Bachok Tahun 2025 yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Ogos 2025 bertempat di Permai Beach Resort, Bachok.

Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok dengan kerjasama Majlis belia Jajahan Bachok dan Pejabat Pendidikan Daerah Bachok ini bertujuan untuk membentuk jati diri, memupuk semangat kerjasama serta menyemai nilai-nilai kepimpinan dalam kalangan remaja. Pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat telah dilaksanakan sepanjang program termasuk latihan dalam kumpulan, ceramah motivasi, aktiviti luar, dan sesi pembangunan sahsiah diri.

Menurut Puan Azma binti Yahya, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bachok, program ini merupakan salah satu inisiatif bagi mendekatkan golongan remaja dengan agensi kerajaan selain memberi pendedahan awal kepada kepimpinan dan tanggungjawab sosial. “Melalui program seperti ini, kita berharap para peserta dapat membina keyakinan diri, meningkatkan disiplin serta memperluaskan jaringan persahabatan antara satu sama lain. Kem ini juga menjadi platform untuk menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia,” katanya ketika ditemui semasa majlis penutup kem.

Para peserta turut meluahkan rasa gembira dan teruja kerana berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti yang bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi manfaat dalam pembentukan sahsiah dan kepimpinan diri. Majlis penutup program disempurnakan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta dan penghargaan kepada para fasilitator serta urus setia yang menjayakan program ini.

Program ini diharap agar dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai salah satu platform pembangunan belia di peringkat akar umbi.

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 02-10-2025, 15:43:48

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search