KOTA BHARU, 28 September 2025 – Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Kelantan Sidang 1 bagi Penggal ke-35 sesi 2025–2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Sri Makmur 1, H Elite Design Hotel, Kota Bharu.
Persidangan dipengerusikan bersama oleh YB Zamakhshari bin Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, serta YBrs. En. Jasri bin Kasim, Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan. Persidangan ini julung kali dipengerusikan bersama oleh wakil Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, melambangkan semangat kerjasama antara kedua-dua pihak dalam memperkasa agenda belia di Negeri Kelantan. Turut hadir ialah YBrs. En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, dan Sdr. Khairul Azhar bin Kamaruzaman, Presiden Majlis Gabungan Belia Kelantan (MGBK).
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Selamat Sultan diikuti bacaan Ikrar Rukun Negara sebagai simbolik semangat patriotisme dan perpaduan. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Presiden MGBK dan disusuli ucaptama oleh Pengerusi Bersama MPBN.
Sebagai pengisian utama, dua kertas kerja telah dibentangkan iaitu “Industri Kelulut : Impak Pembangunan Sosial Ekonomi Belia” membincangkan potensi industri kelulut sebagai pemangkin ekonomi belia luar bandar dan “Gerakan Evolusi Ekonomi Anak Muda Kelantan (GERAK)” iaitu satu inisiatif strategik untuk memperkasa belia melalui inovasi dan keusahawanan.
Persidangan ini menjadi platform penting bagi memperkukuh suara belia dalam pembangunan negeri, selain merapatkan hubungan antara agensi kerajaan, NGO dan komuniti belia. Ia turut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dalam menjayakan agenda Malaysia MADANI melalui pendekatan inklusif dan progresif.
Kajang, 28 September 2025 – Kejohanan Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah dan semangat kesukanan di Sports Arena @ UNITEN, Kampus Putrajaya. Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 September 2025 ini menghimpunkan kontinjen dari seluruh negara dalam empat acara utama iaitu bola jaring, sepak takraw, ping pong berpasukan dan bola baling.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh YBrs. Pn. Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, yang menekankan kepentingan sukan komuniti sebagai pemangkin perpaduan dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan turut menghantar kontinjen yang menyertai tiga acara sukan utama, iaitu bola jaring, sepak takraw dan ping pong berpasukan. Prestasi kontinjen Kelantan membanggakan apabila berjaya meraih Naib Johan acara Sepak Takraw dan Tempat Ketiga acara Ping Pong Berpasukan, manakala Bola Jaring penyertaan peringkat kumpulan.
Turut hadir memberikan sokongan kepada kontinjen Kelantan ialah YBrs En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, YBrs. En. Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah (Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan serta En. Mohamad Fadzil bin Che Daud, Pegawai Penggalakkan dan Pembangunan Sukan JBSNK.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, tetapi juga platform memperkukuh jaringan komuniti, mencungkil bakat baharu dan menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan belia. Penganjurannya selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030, yang menekankan pembangunan sukan secara inklusif dan berteraskan masyarakat.
Kota Bharu, 27 September 2025 - Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Cheerleading Peringkat Negeri Kelantan telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan dalam satu usaha bersepadu untuk memperkenalkan dan mempromosikan sukan cheerleading kepada masyarakat setempat. Program ini adalah anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama Kelab Aerobik Panji.
Seramai 70 peserta telah mengambil bahagian dalam program tersebut, melibatkan dua kategori umur iaitu bawah 12 tahun dan bawah 18 tahun. Seramai 15 orang bagi setiap kategori akan mewakili Negeri Kelantan ke peringkat Kebangsaan yang dijangka akan diadakan pada bulan Disember nanti. Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada latihan asas cheerleading yang merangkumi teknik sorakan, gerakan asas, serta pembentukan formasi kumpulan. Latihan ini dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman daripada Cheerleading Association And Register Of Malaysia (CHARM) yang turut menekankan aspek disiplin, semangat berpasukan dan keyakinan diri.
Objektif utama program ini adalah untuk membuka ruang kepada generasi muda mengenali sukan cheerleading sebagai satu bentuk aktiviti fizikal yang menyeronokkan, dinamik dan membina karakter. Di samping itu, ia juga bertujuan mencungkil bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, termasuk pertandingan dan persembahan rasmi.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YBrs En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Program KLAS Cheerleading ini turut mendapat sambutan positif daripada ibu bapa dan komuniti setempat yang hadir memberikan sokongan. Kejayaan program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan cheerleading di Negeri Kelantan serta memperkukuh peranan sukan dalam pembangunan belia secara menyeluruh.
KELANTAN, 28 SEPTEMBER 2025 – Persatuan Institut Memandu Kelantan (PIMK) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan telah menganjurkan Karnival Sukan Merdeka di KOMBES Kelantan dengan sungguh meriah. Karnival tersebut telah dihadiri seramai 700 orang pekerja keseluruhannya dari institut memandu di seluruh Negeri Kelantan. Karnival telah dirasmikan oleh Tuan Mohd Misuari bin Abdullah, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Kelantan. Karnival tersebut telah berlangsung pada 13 Septmber 2025 yang lalu dan bermula pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Pelbagai aktiviti yang telah dipertandingkan di karnival tersebut antaranya ialah Perarakan Merdeka, tarik tali, bola jaring, lari dalam guni dan banyak lagi.
Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan sentiasa mengalu-alukan pelaksanaan program dari setiap agensi sama ada dari agensi kerajaan, swasta, persatuan, kelab, mahupun perseorangan bagi pelaksanaan aktiviti sukan, kecergasan, pertandingan dan kejohanan di Kombes Kelantan. Sebarang tempahan penggunaan kemudahan fasiliti di KOMBES Negeri Kelantan boleh layari laman web stf.kbs.gov.my .
#TeamKBS #TeamJBSN #SukanUntukSemua #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #RakanMuda #YakinBoleh @hannahyeoh @adamadli Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Rakan Muda belia.my
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Kota Bharu, 24 September 2025 - Mesyuarat Pengurusan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan Bil.9 Tahun 2025 telah diadakan hari ini yang dipengerusikan oleh YBrs. En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan bertempat di Bilik Mesyuarat Aras 2, JBSNK. Mesyuarat ini menjadi platform penting bagi menyelaras hala tuju strategik jabatan menjelang suku akhir tahun.
Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah barisan pegawai pengurusan tertinggi jabatan iaitu Pn. Nurdalila binti Mohamad Khali, Timbalan Pengarah (Belia), En. Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah (Sukan), En. Sazli bin Mahmood, Ketua Bahagian Rakan Muda, En. Wan Mohd Erffan bin Wan Nasir, Pengurus KOMBES, Pegawai-pegawai Belia dan Sukan Daerah serta pegawai-pegawai unit dari pelbagai bahagian jabatan.
Mesyuarat ini membincangkan pelbagai laporan semasa serta perancangan program yang bakal dilaksanakan, termasuk penilaian keberkesanan program belia dan sukan yang telah dijalankan sepanjang tahun, perancangan aktiviti dan pembangunan komuniti belia serta inisiatif kolaborasi antara jabatan dan agensi luar bagi memperluaskan lagi impak pelaksanaan program.
Dengan semangat kolaboratif dan komitmen tinggi daripada semua pihak, JBSNK terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa belia dan memperkukuh pembangunan sukan di Negeri Kelantan. Mesyuarat turut menekankan kepentingan penyelarasan antara unit serta pengukuhan komunikasi dalaman bagi memastikan setiap program mencapai objektif yang digariskan dalam Pelan Strategik JBSNK. Dengan semangat kolaboratif dan komitmen tinggi daripada semua pihak, JBSNK terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa belia dan memperkukuh pembangunan sukan di Negeri Kelantan.
PASIR PUTEH, 22 SEPTEMBER 2025 - Program Pengurusan Organisasai (PPO) Peringkat Negeri Kelantan 2025 baru-baru ini telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Raja Dagang Resort, Cherang Ruku, Pasir Puteh. Program PPO ini disertai oleh seramai 50 orang peserta belia dari seluruh negeri Kelantan yang bermula pada 18 September 2025 dan telah berakhir pada 20 September 2025 merupakan anjuran Cawangan Pembangunan Kepimpinan, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Program PPO ini diadakan adalah bertujuan untuk membangun dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran kepimpinan belia dalam pengurusan organisasi melalui latihan dan pengalaman praktikal. Ianya juga untuk memberi pendedahan berkaitan cara pengurusan dan kepimpinan organisasi yang berkesan dan membina dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam pengurusan, kepimpinan di kalangan belia serta memberikan pendedahan kepada belia tentang pengurusan sumber manusia, kewangan, aktiviti dan program. Selain itu, objektif PPO ini juga untuk mendorong dan menggalakkan belia untuk berkongsi idea, pengalaman dan pengetahuan dalam melaksanakan program bersama masyarakat serta menyediakan platform kepada belia memahami dasar-dasar dan polisi berkaitan belia.
Majlis Perasmian Penutup Program PPO telah disempurnakan oleh Puan Nurdalila binti Mohamad Khali, Timbalan Pengarah (Belia), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Turut hadir, Encik Mohd Hafiz bin Abdul Hamid, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Putrajaya dan Saudara Wan Muhammad Hanif bin Wan Mustapa, Timbalan Presiden Majlis Gabungan Belia Kelantan (MGBK).
Pasir Mas, 23 September 2025 – Telah berlangsung Majlis Perasmian Program Mukhayyam Remaja Pasir Mas yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Kelantan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas. Program ini telah diadakan selama dua hari satu malam bermula 22 hingga 23 September 2025 bertempat di Pusat Latihan Kenegaraan Pasir Mas.
Seramai 40 orang pelajar dari sekitar daerah Pasir Mas telah menyertai program ini yang bertujuan untuk membentuk sahsiah remaja berlandaskan nilai-nilai Islam serta memperkukuh jati diri dan semangat kepimpinan dalam kalangan generasi muda.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini dengan mengendalikan aktiviti “Explorace” pada 22 September 2025, yang bertujuan mengasah kemahiran berpasukan dan ketahanan fizikal peserta.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YABrs. Ustaz Naim bin Md. Ghazali, Pegawai Agama Jajahan Pasir Mas. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Mazlan bin Mohd Ariffin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas, serta wakil-wakil dari agensi yang terlibat.
Program ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta serta sokongan padu daripada agensi-agensi yang terlibat. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform pembangunan remaja yang bersepadu dan berkesan.
Pasir Mas, 23 September 2025- Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jajahan Pasir Mas bertempat di Masjid Jamek Sultan Muhammad III, Bandar Pasir Mas. Majlis ini dianjurkan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas dengan penglibatan pelbagai agensi dari Daerah Pasir Mas telah diadakan pada 20 September 2025 (Sabtu).
Majlis telah dirasmikan oleh YABrs Tuan Haji Shamsul bin Abu Bakar, Ketua Jajahan Pasir Mas. Turut hadir wakil-wakil agensi termasuk Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas yang diketuai oleh Encik Mazlan bin Mohd Ariffin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah.
Acara dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul yang bermula pada jam 8.30 pagi mengelilingi Bandar Pasir Mas. Seterusnya, majlis diteruskan dengan pelbagai pengisian rohani dan aktiviti komuniti seperti: - Persembahan Berzanji dan Qasidah - Penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Masjid - Pertandingan Kuiz Maulidur Rasul - Demonstrasi Memanah oleh pihak masjid Majlis ini bertujuan memperingati perjuangan dan pengorbanan Rasulullah S.A.W serta memperkukuh semangat keimanan dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat. Sambutan yang diberikan amat memberangsangkan, dengan kehadiran masyarakat setempat dan sokongan padu daripada semua agensi yang terlibat.
Majlis telah berjalan dengan lancar dan penuh keberkatan, mencerminkan semangat perpaduan serta kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.