Kejohanan Ping Pong Bergu Novis dan Beginner Tertutup dan Jemputan Kuala Krai 2026 telah berlangsung dengan jayanya serta mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta tempatan dan jemputan.
Kejohanan ini merupakan anjuran Kelab Ping Pong Gu Krey dengan pelaksanaan menggunakan peruntukan Dana Sukan Komuniti (DSK) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Penganjuran yang bertujuan menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti sukan yang sihat dan kompetitif.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Mohd Azam Wahidi, Pegawai Pembangunan Sukan Daerah Kuala Krai, kepada para pemenang sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
PASIR MAS, 24 April 2026 – Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, telah menyempurnakan upacara perlepasan rasmi program Motocross Track-Days Teluk Kerengga 2026 yang berlangsung hari ini.
Kehadiran beliau bukan sekadar simbolik, malah turut membawa berita baik kepada komuniti sukan bermotor tempatan melalui penyerahan cek cura Dana Sukan Komuniti kepada Presiden Kelab Sukan Bermotor Eksplorasi, Mohd Haizul bin Omar. Sumbangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dalam memperkasakan pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas, Encik Mazlan bin Mohd Ariffin, serta Presiden Kelab Motocross Teluk Kerengga, Encik Azmi bin Ariffin. Turut hadir ialah Puan Nur Aliaa binti Wan Johan dan Encik Mohd Sarimat bin Salleh dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas.
Penganjuran acara selama tiga hari, dari 24 hingga 26 April 2026, membuktikan keupayaan penganjur di bawah seliaan JBS apabila berjaya menarik penyertaan seramai 300 pelumba. Lebih membanggakan, acara ini turut disertai peserta antarabangsa dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.
Pelbagai kategori dipertandingkan termasuk Cubcross, MX Open, MX VIP 40 dan MX Singapore. Selepas aksi sengit di litar pada hari Sabtu, acara akan diteruskan dengan disiplin Enduro sebelum melabuhkan tirai dengan majlis penyampaian hadiah.
Inisiatif proaktif Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan diikuti Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas dalam menyokong penganjuran acara seumpama ini dilihat sebagai strategi serampang dua mata. Selain memartabatkan sukan lasak, ia turut menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan sukan di Jajahan Pasir Mas, sekali gus meningkatkan profil negeri Kelantan di peringkat serantau.
KOTA BHARU, 29 April 2026 – Sekumpulan anak muda pada hari ini gigih berusaha dan menyediakan kelengkapan “senjata” yang sewajarnya bagi memastikan pertubuhan masing-masing cukup bersedia untuk berentap di pentas Anugerah Perdana Belia Negara (APBN2026) Peringkat Negeri Kelantan bagi Tahun 2026.
Hal itu seyogia diketahui oleh semua pihak bahawa Sesi Penilaian (Saringan Awal) Kategori Pertubuhan Belia APBN2026 melalui profil dan video montaj telah selesai dilaksanakan pada 20 April 2026 yang lalu. Maka, keputusan saringan awal penilaian menyaksikan keberadaan pertubuhan yang layak dan telah tersenarai di kedudukan lima teratas (Top 5) ialah pertubuhan Majlis Belia Jajahan Pasir Mas, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Pasir Mas, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Kota Bharu dan Kelab Beliawanis Halwanis Kuala Krai serta Kelab Belia Generasi Penggerak Ummah Bandar Tanah Merah.
Pertubuhan yang berada di Top 5 ini perlu bersedia bagi menerima lawatan panel penilai ke premis pertubuhan masing-masing. Sesi lawatan ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 April 2026. Sesi lawatan penilaian ke premis pertubuhan ini bertujuan untuk menilai sistem atau kaedah dokumentasi pertubuhan secara sistematik, melihat sejauh mana penglibatan ahli-ahli pertubuhan dengan komuniti setempat dan pelbagai lagi faktor utama yang dinilai bagi menentukan siapa yang layak menyandang gelaran Johan APBN2026 bagi negeri Kelantan.
Johan bagi Kategori Pertubuhan Belia ini bakal menggalas tanggungjawab besar dengan mewakili Negeri Kelantan ke peringkat Kebangsaan kelak. Manakala pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi yang akan diumumkan secara rasmi bersempena Sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara (FB@HBN 2026) Peringkat Negeri Kelantan pada 23 Mei ini.
KOTA BHARU, 30 April 2026 – Program Bengkel Training of Trainers (TOT) Program Pengurusan Organisasi (PPO) bagi Zon Timur Tahun 2026 melabuhkan tirainya hari ini dengan majlis penutup yang disempurnakan oleh En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Program yang berlangsung di H Elite Design Hotel itu turut dihadiri oleh Pengarah Cawangan Pembangunan Kepimpinan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Pn. Laila Nazura binti Nawi, bersama para pegawai dan peserta bengkel bagi Zon Timur.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran program tersebut, khususnya dalam usaha memperkasa kapasiti kepimpinan dan pengurusan organisasi dalam kalangan pegawai belia dan sukan. Beliau menekankan bahawa latihan seperti ini penting dalam melahirkan fasilitator dan penceramah yang berkualiti di peringkat negeri dan daerah.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah memberikan komitmen yang tinggi dan diharapkan agar segala ilmu serta kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuh pembangunan belia di peringkat akar umbi.
Bengkel selama tiga hari bermula 28-30 April 2026 ini melibatkan penyertaan seramai 55 orang peserta dengan pelbagai pengisian berbentuk latihan, perkongsian ilmu dan simulasi pengurusan organisasi.
KOTA BHARU, 30 April 2026 – Dalam usaha memastikan kelancaran pelaksanaan program The Biggest Loser Peringkat Negeri Kelantan 2026 pada 2 Mei 2026 nanti, satu sesi lawatan tapak dan taklimat strategik telah diadakan hari ini bertempat di Dewan Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Sesi tersebut telah diketuai oleh En. Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah (Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan yang telah menyampaikan taklimat menyeluruh berkaitan perancangan, pelaksanaan serta aspek teknikal program kepada semua rakan strategik yang terlibat.
Program ini menghimpunkan pelbagai agensi dan rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif berimpak tinggi ini, khususnya dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kecergasan fizikal.
Selain itu, sesi lawatan tapak ini bertujuan memberi gambaran awal mengenai susun atur lokasi serta keperluan logistik gerak kerja sepanjang program berlangsung kelak. Ia juga menjadi platform penting untuk menyelaras peranan setiap rakan strategik agar pelaksanaan program dapat berjalan secara tersusun dan efektif.
Program The Biggest Loser Kelantan 2026 dijangka menjadi antara inisiatif utama negeri dalam memperkasakan agenda kesihatan komuniti, sejajar dengan usaha melahirkan masyarakat yang lebih aktif, sihat dan berdaya saing. Sesi ini diharapkan dapat memperkukuh kerjasama strategik antara semua pihak terlibat.
KOTA BHARU, 27 April- Seramai 22 anak muda berbakat besar dari seluruh pelosok negeri telah berkumpul bagi menjayakan sesi penilaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan bagi kategori individu tahun 2026.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 26 dan 27 April itu menyaksikan persaingan sengit melibatkan 15 peserta lelaki dan 7 peserta wanita. Kesemua calon merupakan pemimpin belia dan ikon masyarakat yang telah menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam pelbagai bidang termasuk kesukarelawanan, keusahawanan dan inovasi.
Sesi penilaian ini bertujuan untuk mengenal pasti tokoh belia yang bukan sahaja mempunyai pencapaian peribadi yang hebat, malah memberi impak signifikan kepada pembangunan komuniti setempat di Kelantan. Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi kategori Individu Lelaki dan Wanita ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai beserta trofi, selain itu, Johan akan menggalas tanggungjawab besar mewakili Negeri Kelantan ke peringkat Kebangsaan kelak.
Keputusan rasmi dijangka akan diumumkan dalam satu majlis penyampaian anugerah bersempena sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri tidak lama lagi. Pengiktirafan ini diharapkan dapat menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga belia Kelantan untuk terus berbakti dan mengharumkan nama negeri di persada negara.
KOTA BHARU, 28 April 2026— Program Ride It Right @ Sukan Selasa anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK) telah berlangsung dengan jayanya hari ini di Perkarangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Program siri kedua ini melibatkan penyertaan dalam kalangan warga jabatan yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap gaya hidup sihat dan aktiviti berbasikal secara selamat.
Sebelum aktiviti kayuhan dimulakan, Timbalan Pengarah Sukan JBSNK, En. Hazri Nizam bin Zakaria telah menyampaikan taklimat keselamatan kepada semua peserta. Dalam taklimat tersebut, beliau menekankan kepentingan pematuhan peraturan jalan raya, penggunaan peralatan keselamatan seperti topi keledar, serta disiplin berkumpulan sepanjang program berlangsung.
Aspek keselamatan perlu sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan aktiviti berbasikal dapat dijalankan dengan selamat dan menyeronokkan.
Program ini merupakan inisiatif berterusan JBSNK dalam menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti kecergasan di samping memupuk kesedaran tentang keselamatan ketika berbasikal.
28 April 2026 Pejabat Urusan Kelab Beliawanis Halwanis KUALA KRAI — Kelab Beliawanis Halwanis Kuala Krai telah menyertai Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan 2026 bagi Kategori Pertubuhan Belia, sekali gus menampilkan komitmen berterusan dalam memperkasa penglibatan belia wanita di peringkat komuniti.
Penyertaan ini mengetengahkan pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kelab, khususnya dalam bidang kesukarelawanan, pembangunan sahsiah serta aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Penglibatan aktif kelab ini membuktikan peranan signifikan pertubuhan belia sebagai agen penggerak masyarakat, selain menjadi platform dalam melahirkan belia yang berdaya saing, progresif dan berjiwa komuniti.
TUMPAT, 28 April 2026 – Sesi penilaian calon bagi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 Kategori Lelaki dan Wanita telah berlangsung pada 26 hingga 27 April 2026 bertempat di Dewan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan sebagai usaha mengiktiraf sumbangan serta pencapaian cemerlang golongan belia di negeri Kelantan.
Anugerah Perdana Belia Negara merupakan platform penting dalam menghargai peranan dan sumbangan belia yang aktif serta berimpak tinggi dalam masyarakat. Ia juga bertujuan menjadi pemangkin kepada lebih ramai belia untuk terus cemerlang dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat telah menghantar dua orang calon iaitu untuk Kategori Individu Lelaki dan Kategori Individu Wanita. Kategori Individu Lelaki diwakili oleh Encik Muhammad Irham bin Mazlan, manakala Kategori Individu Wanita diwakili oleh NurFasha Farhana binti Ramizan.
Penilaian ini melibatkan calon-calon yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan, sukan serta pembangunan komuniti. Proses penilaian dijalankan secara menyeluruh merangkumi semakan dokumen, pembentangan serta sesi temuduga oleh panel penilai yang dilantik.
Selain itu, penilaian ini turut menekankan aspek sahsiah, kepimpinan, inovasi serta keupayaan calon dalam memberi impak positif kepada komuniti setempat. Diharapkan melalui penganjuran anugerah ini, lebih ramai belia akan tampil sebagai ikon dan contoh teladan kepada generasi muda lain dalam pelbagai bidang.