- JBS Kelantan
- Hits: 24
DANA SUKAN KOMUNITI PERKASAKAN MOTOCROSS: PENGARAH JBS KELANTAN RASMI TRACK-DAYS TELUK KERENGGA
- JBS Kelantan
- Hits: 24
PASIR MAS, 24 April 2026 – Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, telah menyempurnakan upacara perlepasan rasmi program Motocross Track-Days Teluk Kerengga 2026 yang berlangsung hari ini.
Kehadiran beliau bukan sekadar simbolik, malah turut membawa berita baik kepada komuniti sukan bermotor tempatan melalui penyerahan cek cura Dana Sukan Komuniti kepada Presiden Kelab Sukan Bermotor Eksplorasi, Mohd Haizul bin Omar. Sumbangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dalam memperkasakan pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas, Encik Mazlan bin Mohd Ariffin, serta Presiden Kelab Motocross Teluk Kerengga, Encik Azmi bin Ariffin. Turut hadir ialah Puan Nur Aliaa binti Wan Johan dan Encik Mohd Sarimat bin Salleh dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas.
Penganjuran acara selama tiga hari, dari 24 hingga 26 April 2026, membuktikan keupayaan penganjur di bawah seliaan JBS apabila berjaya menarik penyertaan seramai 300 pelumba. Lebih membanggakan, acara ini turut disertai peserta antarabangsa dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.
Pelbagai kategori dipertandingkan termasuk Cubcross, MX Open, MX VIP 40 dan MX Singapore. Selepas aksi sengit di litar pada hari Sabtu, acara akan diteruskan dengan disiplin Enduro sebelum melabuhkan tirai dengan majlis penyampaian hadiah.
Inisiatif proaktif Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan diikuti Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas dalam menyokong penganjuran acara seumpama ini dilihat sebagai strategi serampang dua mata. Selain memartabatkan sukan lasak, ia turut menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan sukan di Jajahan Pasir Mas, sekali gus meningkatkan profil negeri Kelantan di peringkat serantau.
#TeamJBSN #TeamKBS #JBSNKomited #JBSNKelantan #MalaysiaMadani #MalaysiaAktif #rakanmuda #RakanAktif
#TaufiqJohari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
#KBSMalaysia
JBSNegara
belia.my
