MACHANG, 17 OGOS 2025 – Dua pasukan sepak takraw dari Daerah Machang telah mencipta kejayaan membanggakan dalam Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Negeri Kelantan yang telah berlangsung pada 15 Ogos 2025 (Jumaat) bertempat di Dewan Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Kota Bharu.
Dalam kejohanan yang menghimpunkan pasukan terbaik dari seluruh negeri itu, pasukan Machang B muncul sebagai johan, manakala pasukan Machang A berjaya menduduki tempat ketiga bersama. Dengan kejayaan ini, Machang B telah melayakkan diri untuk mewakili Negeri Kelantan ke LSK Peringkat Kebangsaan, yang dijadualkan berlangsung pada bulan September 2025.
Liga Sukan Komuniti (LSK) merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi merakyatkan sukan serta mengukuhkan perpaduan komuniti melalui penyertaan aktif dalam pelbagai acara sukan di seluruh negara.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
MACHANG, 17 OGOS 2025 – Dua pasukan bola jaring dari daerah Machang, iaitu Machang A dan Machang B, telah melakar langkah positif apabila menyertai Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang berlangsung di Dewan Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan, Kota Bharu pada 15 Ogos 2025.
Kedua-dua pasukan tampil dengan semangat juang tinggi, mempamerkan aksi mantap serta keserasian berpasukan yang terpuji walaupun hanya bermain dalam peringkat kumpulan sahaja. Kedua-dua pasukan mengetengahkan bakat-bakat baharu yang menunjukkan potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang mengucapkan tahniah dan syabas kepada kedua-dua pasukan atas penyertaan cemerlang serta berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan yang lebih gemilang di daerah Machang.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
TUMPAT, 13 OGOS 2025 - Bukit Salor di daerah Jeli telah dipilih sebagai lokasi Program Malaysia Aktif @ Komuniti Siri 9 Peringkat Daerah Tumpat pada 6 Ogos 2025. Program ini merupakan satu program kesihatan dan kecergasan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Tumpat. Seramai 52 orang peserta telah menyertai program ini.
Ketinggian bukit ini adalah sekitar 300 meter dari paras laut. Laluan mendaki yang bermula seawal jam 7.00 pagi ini telah mengambil masa antara 30 hingga 45 minit bergantung kepada kelajuan individu. Laluan pertama sekitar 20 minit merupakan jalan berturap. Manakala laluan ke puncak kedua memerlukan tambahan masa 15 hingga 20 minit melalui tanah tidak berturap yang memberi pemandangan awan, laut dan panorama Gunung Reng.
Mendaki Bukit Salor merupakan satu aktiviti rekreasi yang semakin popular dalam kalangan penduduk tempatan dan penggemar aktiviti lasak. Antara tarikan menarik ialah pemandangan yang menakjubkan di puncak bukit menawarkan panorama indah kawasan kampung, sawah padi dan hutan sekeliling.
Aktiviti rekreasi sihat begini juga sesuai untuk program komuniti, sekolah atau keluarga. Selain itu, terdapat beberapa lokasi menarik untuk bergambar terutamanya semasa matahari terbit. Pegawai dan kakitangan PBSD Tumpat turut hadir menyertai program ini.
MACHANG, 13 OGOS 2025 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK) telah mengadakan satu perlawanan persahabatan bola tampar antara pasukan bola tampar lelaki dan wanita JBSNK menentang pasukan dari Penjara Pengkalan Chepa pada 12 Ogos 2025 bertempat di Dewan Terbuka Kompleks Belia dan Sukan Panji.
Perlawanan persahabatan sukan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan strategik antara agensi kerajaan melalui aktiviti sukan, selain menjadi platform untuk menyemai nilai kerjasama, disiplin, dan gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan serta komuniti yang terlibat.
Puan Siti Azura binti Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang, dan Encik Mohd Zul Izudin bin Samat, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang turut serta sebagai pemain dalam perlawanan ini.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
Tanah Merah, 10 Ogos 2025 – Gelanggang Petanque Meera Huni Tanah Merah bergema dengan sorakan dan semangat kesukanan apabila Kejohanan Petanque 1000 Liga Antara Agensi Tanah Merah berlangsung dengan penuh meriah dan mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai agensi tempatan.Kejohanan ini telah berlangsung pada 07 Ogos 2025 ( Khamis ).
Sebanyak 68 peserta mewakili agensi-agensi sekitar Tanah Merah telah menyertai kejohanan ini. Pertandingan yang berlangsung sepanjang hari itu menyaksikan aksi sengit dan penuh strategi daripada setiap pasukan yang bertanding.
Wakil Agensi Parol berjaya menampilkan prestasi cemerlang dan dinobatkan sebagai juara, manakala Pasukan Jemputan meraih gelaran naib juara. Tempat ketiga pula menjadi milik Angkatan Pertahanan Awam, yang turut menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang kejohanan.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBrs. En. Wan Abdul Rahman Bin Hj Wan Ismail, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah, yang turut memuji penganjuran kejohanan ini sebagai platform memperkukuh hubungan antara agensi serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan penjawat awam. “Kejohanan seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam sukan petanque, malah menjadi medan untuk mempererat silaturahim dan kerjasama antara agensi,” ujar beliau dalam ucapan penutup.
Dengan sambutan hangat dan penyertaan yang memberangsangkan, Kejohanan Petanque 1000 Liga ini membuktikan bahawa sukan mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan dan semangat komuniti yang utuh. Diharapkan kejohanan ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar dan penyertaan yang lebih meluas.
Disediakan oleh : Urus setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
Tanah Merah, 10 Ogos 2025 – Strategi, fokus dan ketenangan menjadi kunci utama dalam Kejohanan Catur 1000 Liga Peringkat Daerah Tanah Merah yang berlangsung dengan penuh semangat di SMK Belimbing, Tanah Merah, Kelantan pada 06 Ogos 2025 (Rabu).
Kejohanan ini berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan umur peserta, menjadikannya medan terbaik untuk mencungkil bakat baharu dalam arena catur daerah. Sepanjang pertandingan, para peserta menunjukkan kemahiran taktikal yang mengagumkan, sekali gus membuktikan bahawa sukan minda ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Dengan suasana yang kondusif dan pengurusan yang teratur, kejohanan ini bukan sahaja menjadi pentas persaingan sihat, malah membuka peluang kepada pemain muda untuk menonjolkan potensi mereka. Beberapa peserta baharu berjaya mencuri perhatian dengan gaya permainan yang matang dan berani.
Dengan kejayaan penganjuran kali ini, Kejohanan Catur 1000 Liga dijangka akan diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja mencabar minda, tetapi juga memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Tanah Merah. Turut hadir pada Program ini Adalah En wan Abdul Rahman Bin Hj Wan Ismail ( Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah ).
Disediakan oleh : Urus setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
TUMPAT, 10 OGOS 2025 – Program Belia Hebat, Gagah Perangi Rasuah telah diadakan pada 31 Julai 2025 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Geting dengan penglibatan seramai 200 orang termasuk guru dan pelajar-pelajar sekolah tersebut. Program ini adalah kolaborasi antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kelantan dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Geting.
Program ini adalah bertujuan untuk membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab dalam memerangi rasuah dari kalangan masyarakat kerana mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab semua pihak dan menyemai nilai integriti dan anti rasuah dalam setiap individu masyarakat supaya rasuah tidak dijadikan budaya dalam kehidupan seharian.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YABrs.Tuan Azmin bin Yusoff, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj) Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kelantan.
Turut hadir ke program ini ialah Tuan Haji Hisham bin Mohamad, Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Tumpat, Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Encik Muhammad Irham bin Mazlan yang bertindak sebagai Key Communicator, pegawai-pegawai SPRM Negeri Kelantan, Encik Sazli bin Mahmood Ketua Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan pegawai-pegawai dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat.
KOTA BHARU, 31 Julai 2025 – Keindahan Pantai Tapang, Bachok pagi tadi diserikan dengan kemeriahan Program MyAktif @ Komuniti anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dengan kerjasama Kelab Belia Tunjong, menghimpunkan lebih 100 peserta daripada pelbagai agensi, institusi pendidikan dan kumpulan belia.
Program yang menampilkan sesi senamrobik santai tetapi bertenaga itu dikendalikan oleh instruktor berpengalaman, Encik Ahmad Mardzuan bin Mohamed, yang berjaya menceriakan suasana dengan rutin senaman yang mudah diikuti serta sesuai untuk semua peringkat umur. Aktiviti fizikal di kawasan pantai ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memberikan pendekatan yang segar kepada usaha memupuk kesedaran terhadap gaya hidup sihat.
Sasaran penyertaan merangkumi pelbagai kumpulan, antaranya SMK Kubang Kerian (20 peserta), SMK Pangkal Kalong (20), Maahad Muhammadi Lelaki (15), Maahad Muhammadi Perempuan (15), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) (15), serta Kelab Belia Tunjong (15). Kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang ini jelas memperlihatkan kekuatan program sebagai pemangkin perpaduan, kecergasan dan keterlibatan belia di peringkat akar umbi.
Menurut Puan Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu, penganjuran program ini adalah sebahagian daripada kempen MyAktif @ Komuniti dan Fit Malaysia, yang menyasarkan komuniti tempatan melalui pendekatan mesra rakyat serta lokasi terbuka seperti pantai. “Melalui kerjasama strategik seperti ini, kita dapat mendekatkan belia kepada gaya hidup sihat dalam suasana yang santai dan menyeronokkan,” ujarnya dalam ucapan sempena program tersebut.
Program diteruskan dengan aktiviti sukaneka, jamuan ringan, gotong-royong, cabutan bertuah, serta sesi bergambar kenangan yang berlatarbelakangkan keindahan semula jadi Pantai Tapang – memberikan pengalaman menyeluruh yang bukan sahaja menyihatkan, tetapi juga merapatkan hubungan antara belia, institusi dan komuniti.
Kelab Belia Tunjong selaku rakan kerjasama utama turut menyatakan komitmen mereka untuk terus berganding bahu bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dalam menjayakan lebih banyak program pembangunan belia dan kesukanan komuniti pada masa hadapan.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal PBSD Kota Bharu
MACHANG, 10 OGOS 2025 - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Machang telah mengadakan Program Malaysia Aktif @ Komuniti Daerah Machang Siri 6/2025 pada 6 Ogos 2025 bertempat di Taman Eco Rimba Bukit Bakar, Machang.
Seramai 44 orang peserta telah menyertai program ini, terdiri daripada 37 orang lelaki dan 7 orang perempuan. Antara pengisian utama program ini adalah aktiviti senamrobik yang bertujuan untuk memupuk gaya hidup sihat. Selain itu, acara cabutan bertuah turut diadakan sebagai tarikan tambahan yang telah menceriakan lagi suasana program.
Puan Siti Azura binti Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang telah hadir merasmikan program ini.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang