Sedang berlangsung Pertandingan Mewarna sempena Sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 dengan penyertaan adik-adik cilik yang penuh kreativiti, warna-warni dan semangat ceria! Pertandingan ini melibatkan 3 kategori umur: 4 – 6 Tahun 7 – 9 Tahun 10 – 12 Tahun
Pelbagai hasil karya menarik berjaya dihasilkan oleh para peserta yang begitu berbakat! Terima kasih kepada ibu bapa dan semua yang hadir memeriahkan program ini
Ayuh teruskan memeriahkan Festival Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2026 dengan pelbagai aktiviti menarik menanti anda!
PASIR PUTEH, 20 MEI 2026 – Barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) baharu Kelab Rakan Muda Bandar Pasir Putih telah mengadakan kunjungan hormat keatas Encik Amreezal bin Abdul Kadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh bagi memperkenalkan kepimpinan baharu kelab serta mengukuhkan hubungan strategik bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh.
Delegasi tersebut diketuai oleh pengerusi baharu kelab, Saudara Nik Amier Azfahsyaz Humaidy bin Nik Ahmad Zuraimi bersama barisan AJK yang baru dilantik bagi sesi pengenalan 2026/2028 serta perbincangan hala tuju program belia yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2026.
Dalam sesi tersebut, pelbagai cadangan aktiviti dan program pembangunan belia telah dibincangkan termasuk penglibatan belia dalam program kesukarelawanan, sukan komuniti, kepimpinan belia, aktiviti rekreasi serta pengukuhan jaringan Rakan Muda di peringkat akar umbi.
Encik Amreezal bin Abdul Kadir turut menyambut baik komitmen kepimpinan baharu Kelab Rakan Muda Bandar Pasir Putih dalam usaha mengaktifkan semula gerakan belia secara lebih progresif dan dekat dengan komuniti setempat.
Beliau berharap kerjasama erat antara Kelab Rakan Muda dan PBSD Pasir Puteh dapat melahirkan lebih banyak program berimpak tinggi yang mampu menarik penyertaan golongan muda serta memperkasakan pembangunan belia di daerah Pasir Puteh.
Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat kerjasama sebagai langkah awal memperkukuhkan agenda pembangunan belia secara berterusan.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI
Taufiq Johari Mordi Bimol Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara KBSMalaysia Rakan Muda
PASIR PUTEH, 20 MEI 2026 – Satu sesi perbincangan berkaitan pelaksanaan Program Inspire iTalent Daerah Pasir Puteh telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh pada 18 Mei 2026 yang lalu melibatkan Encik Mohd Yusri bin Yusoff, Pegawai Unit Pendidikan Khas PPD Pasir Puteh bersama Encik Amreezal bin Abdul Kadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh.
Program Inspire iTalent dijadualkan berlangsung pada 16 Jun 2026 bertempat di SMK Sri Aman, Pasir Puteh dengan penglibatan pelajar-pelajar pendidikan khas serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dari sekitar daerah Pasir Puteh.
Perbincangan tersebut memberi fokus kepada aspek pelaksanaan program termasuk penyediaan logistik, prasarana, pengurusan peserta serta penyelarasan perjalanan program bagi memastikan kelancaran sepanjang program berlangsung.
Antara objektif utama program ini adalah untuk mengenalpasti bakat asas dan keupayaan sukan dalam kalangan OKU di samping mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai pelapis atlet para negara pada masa hadapan.
Selain itu, program ini turut menjadi platform penting dalam memperkasa pembangunan sukan inklusif serta memberi peluang kepada golongan OKU untuk menonjolkan potensi dan kebolehan mereka dalam bidang sukan. Kerjasama strategik antara Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh diharap dapat memastikan Program Inspire iTalent 2026 mencapai objektif yang telah ditetapkan serta memberi impak positif kepada pembangunan atlet para di peringkat akar umbi.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI
Taufiq Johari Mordi Bimol Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara KBSMalaysia Rakan Muda
PASIR PUTEH, 20 MEI 2026 – Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Tok Bali 2026 yang dilaksanakan di bawah Dana Sukan Komuniti telah berlangsung dengan meriah apabila mendapat sambutan daripada komuniti setempat. Sebanyak dua belas (12) pasukan telah menyertai kejohanan tersebut pada 16 Mei 2026 lalu yang berlangsung di Padang Bola Sepak Tepi Sungai Kampung Kulim, Pasir Puteh. Kejohanan ini menjadi platform terbaik dalam memperkukuhkan semangat kesukanan, perpaduan komuniti serta mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Encik Amreezal bin Abdul Kadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyerahkan cek cura Dana Sukan Komuniti kepada Tok Bali Football Club sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran program pembangunan sukan di peringkat komuniti.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas komitmen dalam menganjurkan kejohanan berskala besar yang mampu menarik penyertaan pelbagai peringkat umur serta menghidupkan budaya sukan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut berharap agar kejohanan seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai medium pembangunan belia, pengukuhan hubungan komuniti serta melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Kejohanan tersebut berlangsung dalam suasana penuh semangat dan kompetitif dengan sokongan padu daripada para penyokong serta penduduk setempat yang hadir memeriahkan acara.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI
Taufik Johari Mordi Bimol Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara KBSMalaysia Rakan Muda
KOTA BHARU, 19 Mei 2026 – Program Sukan @ Selasa dengan tema “Let’s Get Fit” telah berlangsung dengan jayanya di Gym Rakyat, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, melibatkan penyertaan pegawai dan kakitangan yang aktif menjalani aktiviti riadah serta kecergasan di gym.
Program ini bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat di samping menjadikan aktiviti kecergasan sebagai rutin harian bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan diri. Sesi dimulakan dengan penerangan berkaitan penggunaan alatan gym yang betul dan selamat oleh En. Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah (Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Beliau turut berkongsi panduan asas senaman yang efektif bagi membantu mencapai tahap kecergasan optimum serta mengelakkan risiko kecederaan ketika bersenam.
Sepanjang program berlangsung, peserta dilihat bersemangat mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan dalam suasana santai, ceria dan penuh motivasi. Program seperti ini menjadi platform terbaik dalam membudayakan amalan hidup aktif dan sihat dalam kalangan pegawai dan kakitangan Ibupejabat Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
JELI, 18 MEI 2026 – Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Daerah Jeli 2026 telah berlangsung dengan penuh meriah pada 14 Mei 2026 lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia serta warga sekolah bertempat di SMK Ayer Lanas.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli, dan Majlis Belia Jajahan Jeli dengan kerjasama SMK Ayer Lanas ini bertujuan memperkasa pembangunan belia melalui penglibatan aktif dalam bidang kepimpinan, sukan, inovasi, kesukarelawanan serta pembangunan kemahiran selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk melahirkan generasi belia yang berdaya saing, kreatif, berkemahiran dan mempunyai jati diri tinggi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. En Mohamad Sabri bin Ismail, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Jeli. Turut hadir bersama ialah YBrs. En Supian bin Hassan, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jeli serta YBrs. En Norhisham bin Awang Noh, Pengetua SMK Ayer Lanas.
Pelaksanaan program kali ini menampilkan dua segmen utama Hari Belia Negara iaitu Segmen Malaysia Aktif dan Segmen Kebudayaan, Kesenian & Muzik.Antara aktiviti menarik yang berjaya mencuri perhatian peserta ialah Pertandingan Deklmasi Puisi Rakan Muda dan Acara Nyanyian oleh penyanyi jemputan.
Program turut dimeriahkan dengan acara Senamrobik, acara Sukan Lompat Tinggi, Lompat Jauh, Lontar Peluru dan Larian 20M.Penganjuran program ini jelas membuktikan komitmen berterusan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli dalam memperkasakan belia sebagai aset penting pembangunan negara, di samping mengukuhkan hubungan strategik antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti belia di daerah ini. Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli.
BACHOK, 18 Mei – Seramai 4 orang pemimpin daerah Bachok telah terpilih menyertai Bengkel Refresher Pemimpin Bertauliah Anugerah Perdana Rakan Muda (ARPRM) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026. Program telah berlangsung dari 7 hingga 9 Mei lalu bertempat di Suria Permata Houseboat, Tasik Kenyir, Terengganu berjaya menghimpunkan pemimpin dari seluruh negeri Kelantan.
Antara peserta yang membawa nama daerah Bachok ke program berkenaan ialah Cikgu Siti Marshila binti Mohd Daud dan Cikgu Siti Noorhakimah binti Muhammad. Mereka merupakan guru dan penggerak utama program ARPRM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gunung, Bachok.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memantapkan semula kemahiran, pengetahuan, dan pemahaman para pemimpin bertauliah sebagai persediaan membimbing belia. Peserta telah didedahkan dengan 11 modul pengurusan yang komprehensif dan intensif. Antara pengisian utama sepanjang bengkel tersebut termasuklah fasa pengurusan organisasi, pengenalan sistem digital, dan simulasi lapangan.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Beliau berkata, peranan pemimpin bertauliah sangat kritikal dalam melahirkan generasi Rakan Muda yang mempunyai jati diri yang tinggi serta berdaya saing. "Melalui pengukuhan modul yang dinamik di Tasik Kenyir ini, saya percaya para peserta mampu membawa pulang ilmu terbaik untuk diimplimentasikan di daerah masing-masing demi melahirkan generasi Rakan Muda yang berdaya saing dan berintegriti," katanya.
BACHOK, 18 MEI 2026 – Seramai 30 murid bertuah terpilih untuk menyertai program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang Peringkat Daerah Bachok Fasa 1 Tahun 2026 yang bakal membuka tirai tidak lama lagi. Satu sesi taklimat khas telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Kandis baru-baru ini khusus buat ibu bapa dan penjaga peserta yang terlibat. Sesi ini bertujuan memberikan pencerahan terperinci mengenai modul latihan, aspek keselamatan, dan jadual pelaksanaan sepanjang fasa pertama ini berlangsung.
Taklimat telah disampaikan oleh wakil daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Bachok. Turut hadir memberikan sokongan padu dalam melancarkan program ini ialah Penolong Kanan Kokurikulum (PKKO) bersama Setiausaha Kokurikulum (SU PKKO) sekolah berkenaan.
Program KLAS Renang ini dilaksanakan bertujuan untuk membimbing peserta menguasai teknik renang yang betul di samping meningkatkan kesedaran keselamatan air bagi mengurangkan risiko tragedi lemas.
BACHOK, 18 Mei 2026 – Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara (SB@HBN) Peringkat Daerah Bachok Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Seri Bentara, Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor baru-baru ini.
Program ini dianjurkan secara kolaboratif bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor dan Majlis Belia Jajahan Bachok. Matlamat utama program ini adalah untuk menyemarakkan sambutan SB@HBN 2026, memperluas pelibatan belia, serta menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara di peringkat akar umbi.
Acara bermula seawal jam 7.30 pagi dengan pendaftaran peserta, diikuti pengisian pelbagai segmen menarik bermula jam 8.00 pagi. Antaranya termasuklah acara senamrobik di bawah Segmen Malaysia Aktif, pendaftaran Kelab Rakan Muda serta bacaan ikrar oleh Majlis Belia Jajahan Bachok.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Masliza binti Mohammad, Ketua Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan) Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok. Turut bersama memeriahkan majlis adalah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor, Encik Zulkifli bin Ismail serta Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bachok, Puan Azma binti Yahya. Melalui platform strategik ini, semua pemegang taruh dapat terus menyumbang secara aktif kepada pembangunan belia dan masyarakat setempat.