3 Ogos 2025, Pasir Mas — Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas yang baharu, Encik Mazlan bin Mohd Ariffin, telah meluangkan masa untuk mengadakan lawatan ringkas ke ruang pejabat baharu Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Pasir Mas.
Ruang pejabat baharu tersebut dijangka akan mula diduduki sepenuhnya oleh PBSD Pasir Mas pada tahun hadapan. Lawatan ini bertujuan meninjau kemudahan dan persediaan awal bagi memastikan kelancaran operasi apabila pejabat mula berfungsi secara rasmi.
Kehadiran Encik Mazlan mencerminkan komitmen beliau dalam memastikan infrastruktur yang bakal digunakan berada dalam keadaan baik dan sesuai untuk mendukung pelaksanaan program-program belia dan sukan di peringkat daerah.
3 Ogos 2025, Pasir Mas — Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Pasir Mas mengalu-alukan kehadiran Pegawai Belia dan Sukan yang baharu, Encik Mazlan bin Mohd Ariffin, yang memulakan tugas rasmi beliau pada hari ini.
Encik Mazlan sebelum ini berkhidmat di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, khusus dalam bahagian Pembangunan Rakan Muda. Pengalaman luas beliau dijangka mampu memberikan nafas segar dan memperkukuh usaha PBSD Pasir Mas dalam memperkasakan aktiviti belia di peringkat daerah.
Kehadiran beliau dilihat sebagai satu suntikan semangat baharu yang akan menjadikan PBSD Pasir Mas lebih cemerlang dan aktif dalam menganjurkan program-program pembangunan belia dan sukan.
2 Ogos 2025, Pasir Mas — Program Malaysia Aktif @ Komuniti Pasir Mas 2025 siri ke-4 telah mencatat kejayaan luar biasa apabila aktiviti pendakian ke Bukit Kwong berjaya menarik penyertaan seramai 150 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
Turut serta dalam acara yang penuh semangat itu ialah Ketua Jajahan Pasir Mas, Tuan Haji Shamsul bin Abu Bakar, bersama Ketua Penolong Ketua Jajahan Pasir Mas, Tuan Mohd Azwan bin Ab Rahman @ Che Dolah, serta kakitangan Pejabat Tanah Jajahan Pasir Mas. Mereka berjaya menawan puncak Bukit Kwong, sekali gus menyemarakkan semangat kesukanan dan perpaduan komuniti setempat.
Hadir sama memberikan sokongan ialah Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas, Puan Nur Aliaa binti Wan Johan, En. Mohd Sarimat bin Salleh, dan Encik Mohd Faidhi bin Mat Noor. Program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal tetapi juga menjadi medan jalinan ukhuwah antara agensi kerajaan dan masyarakat.
Kota Bharu, 10 Ogos 2025 – Program Madani Rakyat Negeri Kelantan terus mencuri tumpuan dengan pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan di bawah inisiatif Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan termasuk aktiviti MaRak Fun Run, Pertandingan Slingshot, Pertandingan Bola Keranjang 3-on-3, dan sesi Mari Mencuba Esport yang terbuka kepada orang ramai.
Sebelum acara utama MaRak Fun Run bermula, para peserta disegarkan dengan sesi senam cergas yang dikendalikan oleh Kelab Aerobik Panji. Sesi ini turut disertai oleh barisan kepimpinan utama termasuk: - YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri MOSTI - YB Dato' Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri MOSTI - YBrs En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan - YBrs En. Richard Barahim, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KBS - YBrs En. Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan, Jabatan Belia dan Sukan
Majlis pelepasan peserta MaRak Fun Run telah disempurnakan dengan penuh semangat oleh YB Menteri MOSTI, YB Dato' Timbalan Menteri MOSTI, YBrs Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KBS, YBrs Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan YBrs Pengarah Urusan iMedikel. Menariknya, YB Menteri MOSTI turut menyertai larian bersama peserta, menunjukkan sokongan padu terhadap gaya hidup sihat dan semangat komuniti.
Selain larian, pengunjung berpeluang mencuba aktiviti Slingshot, menyaksikan aksi sengit dalam Pertandingan Bola Keranjang 3-on-3, dan merasai pengalaman dunia digital melalui sesi Mari Mencuba Esport yang direka khas untuk memperkenalkan sukan elektronik kepada masyarakat umum.
Program ini bukan sahaja memupuk gaya hidup aktif, tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dan keterangkuman selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. Kehadiran pemimpin negara dalam aktiviti bersama rakyat membuktikan komitmen kerajaan dalam mendekati masyarakat melalui pendekatan yang inklusif dan mesra belia.
Disediakan oleh : Urus setia Portal Bahagian Sukan JBSNK
Tumpat, 10 Ogos 2025 – TKSU (P) Kementerian Belia & Sukan, Encik Abdullah bin Hasan, turun padang melawat gelanggang futsal baharu siap di Teluk Rejuna – sebuah kawasan pedalaman yang kini memiliki fasiliti sukan moden untuk belia setempat.
Turut hadir, Encik Sazli bin Mahmood (Ketua Unit Rakan Muda JBSN Kelantan) dan Encik Wan Mohd Erfan bin Wan Nassir (Pegawai Belia & Sukan Daerah Tumpat). “Kemudahan ini bukti KBS komited membangunkan sukan di semua peringkat – tanpa mengira lokasi!” – TKSU (P) KBS.
-Permukaan permainan berkualiti -Pencahayaan LED moden -Tempat duduk penonton selesa
Pasir Puteh, 9 Ogos 2025 – Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Encik Abdullah bin Hasan, telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh bagi meninjau perkembangan pembinaan yang sedang giat dijalankan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 dimana Negeri Kelantan akan menjadi tuan rumah.
Lawatan ini bertujuan memastikan projek pembinaan stadium tersebut berjalan mengikut jadual, menepati spesifikasi teknikal, dan memenuhi piawaian keselamatan serta keselesaan untuk kegunaan atlet dan penonton pada masa akan datang.
Sepanjang lawatan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyampaikan taklimat kemajuan projek yang merangkumi status terkini kerja-kerja pembinaan, fasa-fasa utama yang sedang dilaksanakan, serta langkah-langkah mempercepatkan penyempurnaan fasiliti seperti trek balapan, padang, pencahayaan, tempat duduk penonton dan bilik persalinan. Turut hadir ialah YB. Zamakhshari bin Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan; Encik Sazli Mahmood, Ketua Unit Rakan Muda mewakili Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan; wakil pihak JKR; serta kontraktor pelaksana projek.
Dalam ucapannya, Encik Abdullah menegaskan bahawa stadium ini merupakan mercu tanda baharu pembangunan sukan di Kelantan dan perlu disiapkan mengikut perancangan agar SUKMA dapat dilaksanakan dengan lancar. Beliau turut menyeru semua pihak terlibat agar terus memberi komitmen penuh bagi memastikan projek ini siap tepat pada masanya.
Pihak JBSN Kelantan merakamkan penghargaan atas sokongan padu KBS, pemantauan rapi oleh pihak JKR, serta kerjasama erat Kerajaan Negeri Kelantan dalam memastikan kelancaran projek ini demi kejayaan penganjuran SUKMA.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
Kota Bharu, 8 Ogos 2025 – Perlawanan persahabatan antara JBS Vanguard FC dan Yaya Empire FC di Padang Kombes, Panji berlangsung penuh semangat dengan aksi menarik daripada kedua-dua pasukan semalam.
Pertemuan seimbang ini menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri pada masa penuh. Bagi menentukan pemenang, perlawanan diteruskan dengan penentuan sepakan penalti yang menyaksikan JBS Vanguard FC muncul juara selepas menewaskan Yaya Empire FC dengan jaringan tipis dalam penentuan tersebut. Perlawanan ini diadakan bersempena Majlis Penyerahan Jersi Rasmi oleh penaja utama, PUC Sport, kepada kedua-dua pasukan – JBS Vanguard FC dan Yaya Empire FC. Penyerahan jersi tersebut menjadi simbol sokongan penaja terhadap pembangunan bola sepak setempat dan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan pemain.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan; Encik Mohd Fauzi bin Ismail, Pengarah Urusan PUC Sport; Puan Nadia binti Mat Isa, Pengarah Urusan Yaya Empire; serta artis terkenal tanah air, Ara Johari dan Afieq Shazwan, yang turut turun padang memberi sokongan kepada pasukan.
Turut sama memberi sumbangan penajaan ialah Extra Joss selaku penaja minuman rasmi, yang membekalkan minuman bertenaga kepada para pemain dan pegawai sepanjang perlawanan bagi memastikan tahap stamina kekal optimum. Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan yang diketuai oleh Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan, JBSNK selaku Pengerusi, bersama barisan Jawatankuasa yang hadir memberi sokongan padu sepanjang program berlangsung.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dalam kenyataannya menegaskan komitmen untuk terus menyokong penganjuran program persahabatan bola sepak sebagai usaha memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan perpaduan komuniti. Jabatan itu turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada PUC Sport, Yaya Empire, Extra Joss, serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Kehadiran para VIP, penaja, kelab sukan, dan selebriti ini menyemarakkan lagi suasana, sekali gus mengeratkan hubungan antara pemain, penyokong, dan komuniti setempat.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
Kota Bharu, 5 Ogos 2025 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK) telah membuat pelantikan baharu Bahagian Pembangunan Rakan Muda (BPRM) Negeri Kelantan 2025 yang akan memacu pelaksanaan inisiatif dan program rakan muda selaras dengan Dasar Belia Malaysia dan hala tuju Rakan Muda.
BPRM ini akan memainkan peranan penting dalam memperkasa 10 Gaya Hidup Rakan Muda, termasuk aspek kesukarelawanan, keusahawanan, kesenian, sukan, dan kepimpinan belia, serta memperkukuh jaringan komuniti dan pembangunan modal insan belia negeri.
Antara objektif utama team BPRM ini adalah: -Menyelaras program-program Rakan Muda di peringkat daerah dan negeri -Menjadi pemacu utama kepada pelaksanaan kempen dan aktiviti Rakan Muda -Membangunkan potensi belia tempatan secara menyeluruh -Melahirkan lebih ramai Peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda
Berikut adalah Senarai nama penuh Ketua Bahagian dan Pegawai- pegawai BPRM yang baharu:- -Encik Sazli bin Mahmood Ketua Bahagian Rakan Muda JBSN Kelantan Pegawai:- -Encik Mohd Khairul Asraf Hafizi bin Mohamad Noor -Encik Mhd Sulayman bin Subrun -Puan Asnita binti Azmi
Pelantikan ini dijangka memberi nafas baharu dan memperkukuh lagi peranan Rakan Muda dalam membentuk generasi muda yang proaktif, berdaya saing, dan berjati diri tinggi.
Disediakan oleh : Urus Setia Rakan Muda Portal Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
JELI, 4 Ogos 2025 – Seramai 50 orang belia telah menyertai Kem Belia@ Rakan Prihatin Peringkat Jeli 2025 yang telah berlangsung selama tiga hari, bermula 29 hingga 31 Julai 2025, bertempat di Putera Valley Resort & Traning Center, Tanah Merah, Kelantan.
Program ini bertujuan membentuk semangat kepimpinan, disiplin serta memperkukuh semangat kerja berpasukan dalam kalangan belia melalui pendekatan majlis ilmu, aktiviti berkumpulan dan pengisian kerohanian. Kem ini turut memberi ruang kepada peserta untuk mengenali potensi diri serta mendalami erti tanggungjawab sebagai agen perubahan dalam komuniti.
Sepanjang program, para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti menarik seperti modul kepimpinan, latihan dalam kumpulan (LDK), ceramah motivasi, dan riadah fizikal. Setiap aktiviti dirangka untuk membina keyakinan diri dan memperkukuhkan nilai-nilai murni dalam kalangan peserta.
Penganjuran kem ini adalah selaras dengan usaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam memperkasa pembangunan modal insan belia setempat, sejajar dengan agenda nasional ke arah belia berwawasan, aktif dan berdaya saing.
Program ini telah berlangsung dengan jayanya melalui penganjuran bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli, Pejabat Pendidikan Daerah Jeli dan Majlis Belia Jajahan Jeli. Program ini telah menerima maklum balas positif daripada peserta yang rata-rata menyifatkannya sebagai pengalaman yang menyeronokkan, memberi inspirasi baru serta dorongan untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBrs Tuan Hj Mohamad Adnan bin Mohamad Kasim, Pegawai Pendidikan Daerah Jeli. Turut hadir YBrs Puan Hazmanita binti Che Hamid, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jeli.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli.