Disediakan oleh: M. Sherman, JBSN Sarawak.
Kapit, 8 Januari 2025 - Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dengan sukacitanya mengucapkan tahniah diatas kenaikan pangkat Encik Lanting Mala dari jawatan Pembantu Belia dan Sukan S2 ke Pembantu Belia dan Sukan S3, berkuat kuasa pada 6 Januari 2025. Beliau kini berkhidmat di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian (PBSB) Kapit. Encik Lanting Mala memulakan perkhidmatan beliau di Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pada tahun 2001 di PBSB Sarikei, di mana beliau memainkan peranan penting dalam menjayakan program-program belia dan sukan di peringkat bahagian. Kemahiran beliau dalam merancang dan melaksanakan aktiviti sukan telah berjaya menarik penyertaan aktif belia dari pelbagai komuniti setempat.
Pada tahun 2008, beliau dipindahkan ke PBSB Samarahan dan seterusnya ke PBSB Mukah pada tahun yang sama. Encik Lanting terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan belia melalui program-program pembangunan kapasiti dan inisiatif sukan. Pada tahun 2018, beliau memulakan perkhidmatan di PBSB Kapit. Sepanjang tempoh perkhidmatan di Kapit, usaha beliau tidak hanya memberi impak kepada pembangunan belia tetapi turut memperkukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di kawasan tersebut.
Kenaikan pangkat ini merupakan satu pengiktirafan kepada dedikasi, komitmen, dan pencapaian Encik Lanting Mala sepanjang perkhidmatan beliau. Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak yakin beliau akan terus memberi sumbangan yang cemerlang dalam pembangunan belia dan sukan, khususnya di Bahagian Kapit. Tahniah diucapkan kepada Encik Lanting Mala atas pencapaian ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan dalam perkhidmatan beliau!
- JBS Sarawak
- Hits: 79