- JBS Sarawak
- Hits: 130
HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT BAHAGIAN KAPIT 2024 TARIK SAMBUTAN MERIAH MASYARAKAT LUAR BANDAR
Disediakan oleh: M. Sherman, JBSN Sarawak.
KAPIT, 30 Oktober 2024 - SMK Katibas gegak-gempita dengan sorakan dan semangat kesukanan pada 19 Oktober lalu, apabila warga Song dari segenap lapisan usia hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Program Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Kapit 2024.
Program yang dianjurkan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit, dengan kerjasama SMK Katibas dan Kelab Sukan Rekreasi Gagasan Pekan Song, dirasmikan oleh YB Tuan Lidam Assan, ADUN N.62 Katibas. Kehadiran beliau menyuntik semangat kepada peserta, yang seolah-olah berlumba-lumba menunjukkan kehebatan masing-masing dalam pelbagai acara menarik yang diadakan sepanjang program.
Suasana bertambah hangat dengan acara utama iaitu Larian Untuk Rakyat, senamrobik, sukan rakyat, dan perlawanan futsal serta bola jaring yang bukan sahaja menggamit para peserta tetapi turut disaksikan oleh penonton yang hadir untuk bersorak dan memberi sokongan padu. Bagi yang mahu menjaga kesihatan, pemeriksaan kesihatan turut disediakan sepanjang program.
Dengan sambutan luar biasa daripada masyarakat Kapit, Program Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Kapit 2024 membuktikan bahawa sukan adalah elemen penting dalam membentuk kesepaduan dan kebugaran fizikal serta mental bagi komuniti setempat.
- JBS Sarawak
- Hits: 130