LABUAN, 2 September - Satu operasi pemusnahan sarang tebuan di kawasan Kompleks Belia dan Sukan WP Labuan telah dilakukan oleh pasukan APM W.P Labuan setelah menerima aduan daripada pengawal keselamatan yang bertugas. Tindakan pantas APM WP Labuan bergegas ke lokasi bagi memantau dan meninjau keberadaan sarang tebuan dan disusuli dengan operasi pemusnahan pada sebelah malam. Pihak Jabatan merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih atas tindakan pantas APM WP Labuan demi memastikan keselamatan kakitangan dan pengguna di Kompleks Belia dan Sukan WP Labuan terjaga setiap masa.
LABUAN, 27 Ogos 2025 - Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan W.P. Labuan dan Bahagian Pembangunan Sukan menerima Kunjung Hormat daripada Ahli Jawatankuasa baru Persatuan Kanu Labuan pagi ini. Kunjung hormat itu antara intipatinya adalah memperkenalkan Ahli Jawatankuasa Sesi 2025 - 2027 dan memaklumkan kesediaan persatuan untuk memberi kerjasama dalam sebarang bentuk program. Selain itu, persatuan juga turut memaklumkan perancangan dan hala tuju persatuan dalam usaha menggalakkan pembangunan sukan kayak dalam kalangan masyarakat.
PAPAR, 27 Ogos 2025 – Program Kem Belia @ Rakan Prihatin Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025 melabuhkan tirainya pada 24 Ogos 2025 yang lalu dengan pengisian terakhir yang sarat dengan ilmu dan mesej penting buat para peserta. Slot pertama dimulakan dengan taklimat “Jangan Ambik!” oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Papar yang disampaikan oleh Encik Yusley Mining, Ketua Unit Pendidikan Pencegahan & Publisiti. Beliau menekankan bahaya penyalahgunaan dadah serta peranan belia sebagai agen pencegahan di peringkat komuniti. Pengisian diteruskan dengan “Pit Stop Minda Sihat” oleh Pejabat Kesihatan Daerah Papar melalui Puan Dg Syahrizan binti Awang Ahmad, Pegawai Psikologi (Kaunseling). Sesi ini memberi tumpuan kepada aspek kesihatan mental, kaedah pengurusan stres serta kepentingan keseimbangan emosi dalam kehidupan belia masa kini. Kemuncak program adalah Majlis Penutupan yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Mahanum binti Fauzi. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat serta menggesa belia terus mengamalkan nilai peduli, kreatif dan progresif sebagai tonggak kecemerlangan masa depan. Dengan penyertaan yang aktif sepanjang tiga hari program, Kem Belia ini berjaya mencapai objektif untuk membentuk belia berdaya tahan, berfikiran positif dan mampu menjadi pemimpin masyarakat pada masa akan datang. KBSMalaysia JBSNegara Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara #TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #JBSWPL
LABUAN, 27 Ogos – Puan Mahanum binti Fauzi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan bersama pegawai dan kakitangan telah membuat lawatan kebajikan menziarahi Encik Mohd. Shaiful Rezwan bin Mustapha Welldone yang mengalami komplikasi akibat sakit buah pinggang dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Nukleus Labuan dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Lawatan ini dijalankan sebagai tanda keprihatinan Pengarah dan warga Jabatan dalam memberi sokongan moral selain memastikan aspek kebajikan pegawai dan kakitangan terus terpelihara. Seluruh warga Jabatan mendoakan semoga En. Mohd. Shaifful Rezwan mendapat kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.
LABUAN, 26 Ogos - Mesyuarat Jawatankuasa Induk 2025 ASEAN Sports Integrity & Anti-Doping Symposium dan Ekspo Industri Sukan (Borneo) telah berlangsung hari ini di Bilik Mesyuarat Cemerlang, Wisma Perbadanan Labuan. 2025 ASEAN Sports Integrity & Anti-Doping Symposium akan dilaksanakan pada 29 hingga 30 Oktober 2025 di Grand Dorsett Labuan dan akan dihadiri oleh wakil organisasi anti-doping, integriti sukan dan penggiat sukan di rantau ASEAN dan Asia/Oceania. Selain itu, Ekspo Industri Sukan (Borneo) 2025 akan dianjurkan pada 30-31 Oktober 2025 bertempat di Kompleks Ujana Kewangan. Mesyuarat dipengerusikan oleh Encik Fadzilah bin Mahmud, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan dan dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada agensi, ketua komuniti dan kepimpinan belia. Taklimat disampaikan oleh Cik Nageswary a/p Thiagarajan daripada Agensi Anti-Doping Malaysia dan Encik Azizi Azran Abdullah daripada Sekretariat Industri Sukan KBS Malaysia. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Encik Zurihanmi bin Zakariya, Ketua Sekretariat AMCYS2025 dan Puan Mahanum binti Fauzi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan. KBSMalaysia JBSNegara Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara #TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #JBSWPL #ADAMAS #CleanSport
LABUAN, 26 Ogos 2025 - Kelab Belia Kampung Lubok Temiang (KBKLT) yang dipengerusikan oleh Encik Mohd Hafiz bin Hamzah telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-8 kelab tersebut, bertempat di Ramsey Point Sea Sports Labuan. Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) adalah perkara yang perlu dipatuhi oleh semua persatuan atau kelab seperti syarat yang ditetap oleh Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY). Selain itu, MAT adalah wadah dalam menilai kembali keberkesanan program dan juga mengukur pencapaian sesebuah persatuan atau kelab sepanjang tahun tersebut. Oleh itu, KBKLT sebagai salah satu kelab yang aktif di Labuan telah menyahut tanggungjawab tersebut dengan melaksanakan MAT Kelab KBKLT pada 24 Ogos 2025 dan juga mengeratkan semangat kekeluargaan dikalangan ahli mereka dengan mengadakan hari keluarga KBKLT. Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-8 KBKLT ini turut dihadiri oleh Cik Nazera binti Roslan, Presiden Majlis Belia Labuan (MBL), Encik Ts. Ahmad Nazri bin Jamal, Timbalan Presiden MBL, Pegawai Jabatan Belia dan Sukan W.P. Labuan, Exco MBL dan ahli-ahli KBKLT. #TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #JBSWPL #BeliaKitani
PASAKON BEACH CAMP SITE, BERINGGIS, SABAH, 23 Ogos 2025 – Program Kem Belia @ Rakan Prihatin Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan hari ini berlangsung meriah dengan empat pengisian utama yang sarat dengan ilmu, pengalaman serta nilai murni buat para peserta belia. Antara pengisian yang mendapat perhatian ialah Rakan Ekspresi: “Dari Idea ke Aksi” yang memberi peluang kepada belia meluahkan pandangan serta menterjemahkan idea menjadi tindakan nyata. Slot Kisah Kita pula mengetengahkan perkongsian inspirasi dan pengalaman hidup yang mampu menyuntik semangat serta motivasi baharu dalam kalangan peserta. Lebih menarik, slot “Belia Tolak Ekstremisme” disampaikan oleh pegawai dari E8 PDRM Sabah, Insp. Hazli bin Kamaruzaman, yang menekankan tentang bahaya ekstremisme serta peranan belia sebagai benteng utama menolak pengaruh negatif termasuk isu buli. Seterusnya, pengisian Rakan Prihatin: “Belia Ambil Peduli” berbentuk program CSR turut mengangkat semangat kesukarelawan dan kepedulian sosial dalam kalangan generasi muda. Program ini turut diperkukuh dengan sesi Belia kepada Belia: “Inovasi Belia Positif” yang mendorong peserta mengembangkan kreativiti serta memperkasa inovasi ke arah membina komuniti belia yang progresif dan berdaya saing. Secara keseluruhan, pengisian pada hari ini bukan sahaja menyerlahkan semangat kebersamaan, malah membuktikan belia Wilayah Persekutuan mampu menjadi agen perubahan yang positif serta berimpak tinggi. #TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #JBSWPL
BERINGGIS, 22 Ogos 2025 – Kem Belia @ Rakan Prihatin Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bermula dengan perjalanan peserta dari Labuan ke Pasakon Beach Camp Site, Beringgis, Sabah. Hari pertama dimulakan dengan taklimat pembukaan, sesi suai kenal dan pembentukan kumpulan bagi mengeratkan hubungan peserta. Pengisian pertama, Rakan Aktif: Cabaran Sinergi, menekankan kerjasama dan ketahanan diri melalui aktiviti interaktif. Seterusnya, Dr. Tuan Norbalkish Tuan Abdullah, Pensyarah Kanan UMS, menyampaikan slot Psychospiritual dan Resilience yang memberi inspirasi kepada belia untuk lebih tabah dan berdaya tahan menghadapi cabaran hidup. Hari pertama mencerminkan matlamat kem untuk melahirkan belia berdisiplin, berdaya saing dan berdaya tahan. #TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI #JBSWPL
LABUAN, 17 Ogos 2025 - Daripada sisa buangan ke produk premium, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan melalui Bahagian Pembangunan Rakan Muda menganjurkan Program dibawah Gaya Hidup Rakan Mahir : Skills For Life Kraf Pertukangan Kayu. Program dengan kerjasama Kelab Belia Anak Layangan dan Green Cottage Nursery Labuan diadakan sebanyak 2 siri pada 17 Ogos 2025 dan 24 Ogos 2025. Peserta didedahkan dengan modul lengkap Kraf Pertukangan Kayu yang mampu menjana pendapatan kepada pengusaha kraf.