Bukit Kiara, 24 Januari 2025 - Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur hari ini telah menerima kunjung hormat daripada Persatuan Sukan Kecergasan KL yang telah dipengerusikan oleh Encik Sabran bin Abd Bahar.
Sesi kunjung hormat ini adalah untuk membina hubungan kerjasama antara JBS WPKL dan KLFIT. Pertemuan ini juga dapat menyebarkan lagi pembangunan sukan kecergasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pihak Jabatan amat menyambut baik inisiatif Persatuan untuk memperkasakan jalinan kerjasama dalam pembangunan sukan kecergasan khususnya di Kuala Lumpur.
Bukit Kiara, 23 Januari 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa/Setiawangsa telah mengadakan mesyuarat pengurusan pada hari ini yang dipengerusikan oleh Encik Khairuddin bin Khalid, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa/Setiawangsa . Mesyuarat yang berlangsung di Pejabat Belia dan Sukan Titiwangsa/Setiawangsa bertujuan untuk merancang dan menyelaraskan pelaksanaan program-program belia dan sukan bagi tahun 2025.
Dalam mesyuarat tersebut, Encik Khairuddin mengutarakan harapan agar setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya serta mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan belia, khususnya di kawasan Titiwangsa dan Setiawangsa. Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama semua pihak dalam memastikan kejayaan pelaksanaan aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan fizikal, mental, dan sosial golongan belia.
Pejabat ini juga berharap program-program yang dirancang tahun ini dapat memberi impak yang positif kepada belia, dengan memberi ruang kepada mereka untuk lebih aktif dalam bidang sukan, kesukarelawan dan kepimpinan. Semoga segala program yang akan dijalankan nanti mendapat komitmen semua pihak dan memberi manfaat kepada belia-belia kawasan Titiwangsa dan Setiawangsa.
Bukit Kiara, 22 Januari 2025 - Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur telah menerima kunjung hormat daripada Super Panda Team yang dipengerusikan oleh Encik Sabran bin Abd. Bahar.
Super Panda Team Cafe ini merupakan salah satu entiti yang sedang giat untuk membangunkan sukan dart disekitar Kuala Lumpur sejak tahun 2019. Sesi kunjungan hormat ini turut membincangkan hala tuju kerjasama yang dapat diusahakan melibatkan Super Panda Team bersama Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur.
Turut hadir, Encik Zul Fadhli bin Abd Aziz, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Cik Magdelene anak Manjah, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Puan Nur Safinah binti Haya, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Mr Edmund, Super Panda Team dan pegawai-pegawai daripada Bahagian Pembangunan Sukan.
Semoga pihak Jabatan dan Super Panda Team akan terus bekerjasama dalam pembangunan sukan, belia dan rakan muda di sekitar Kuala Lumpur.
Bukit Kiara, 21 Januari 2025 - Gerakan Belia 4B (GB4B) Bandar Tun Razak hari ini telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Cheras / Bandar Tun Razak. Saudara Aman Amil, Pengerusi GB4B Bandar Tun Razak hadir bersama Saudara Firdaus.
Perbincangan hari ini memfokuskan kepada perancangan dan pelaksanaan program pembangunan belia, sukan dan rakan muda di Kawasan Bandar Tun Razak. Program-program yang dicadangkan bertujuan untuk memperkasa belia tempatan melalui aktiviti sukan dan pembangunan sosial yang lebih inklusif.
Perbincangan juga menyentuh mengenai kolaborasi antara Gerakan Belia 4B dan Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Cheras / Bandar Tun Razak dalam memperkenalkan lebih banyak peluang kepada belia untuk melibatkan diri dalam aktiviti komuniti yang membina. Dengan kerjasama ini, diharapkan dapat memberi impak positif kepada belia di kawasan tersebut.
Kuala Lumpur, 13 Januari 2025 – Bengkel Perancangan Program Belia (HBN & APBN) WPKL 2025 telah diadakan dengan jayanya. Bengkel yang berlangsung selama satu hari bermula jam 9 pagi itu telah menghimpunkan peserta daripada Pejabat Belia dan Sukan Kawasan (PBSK) serta Majlis Belia Kawasan (MBK) sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bengkel dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JBSWPKL) dengan kerjasama Majlis Belia Wilayah Persekutuan. Encik Javiques Bandana Anak Joannis, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Cheras / Bandar Tun Razak telah di lantik sebagai Fasilitator. Cik Nazra Hanim, Penolong Pegawai Belia dan Sukan PBSK Cheras / Bandar Tun Razak turut hadir sebagai peserta bengkel.
Sepanjang bengkel, para peserta telah berkongsi idea serta cadangan berkaitan gerak kerja pelaksanaan sambutan Hari Belia Negara 2025 yang dijangka menjadi acara kemuncak bagi memperkasa belia di Wilayah Persekutuan.
Majlis penutup dan penyampaian sijil peserta telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Sabran bin Bahar, Pengarah JBSWPKL. Turut hadir ialah Saudara Khairul Rizam bin Dato Abu Samah, Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan.
Dengan penganjuran bengkel ini, JBSWPKL dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan berharap agar idea-idea yang diutarakan mampu memperkasa lagi pembangunan belia di Kuala Lumpur serta menyemarakkan semangat belia dalam menyertai aktiviti kebangsaan.
Bukit Kiara, 15 Jan 2025 - PBSK Cheras / Bandar Tun Razak mengucapkan Selamat Datang kepada Cik Nazra Hanim binti Ismail (Penolong Pegawai Belia dan Sukan), Encik Syafiq Asyraf bin Zulkarnain (Penolong Pegawai Belia dan Sukan) dan Cik Maizatul Akmal binti Mohamad (Pembantu Tadbir Pengurusan & Operasi) ke Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Cheras / Bandar Tun Razak.
Semoga perubahan ini dapat memperkukuhkan lagi pasukan PBSK Cheras / Bandar Tun Razak dalam melaksanakan aktiviti yang bermanfaat serta berimpak tinggi kepada komuniti setempat.
Encik Javiques Badana anak Joannis, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Cheras / Bandar Tun Razak turut mengalu-alukan kedatangan ahli baru keluarga PBSK Cheras / Bandar Tun Razak ini dan berharap kerjasama yang terjalin akan membantu memperhebatkan lagi pelaksanaan program pembangunan belia, sukan dan rakan muda.
Bukit Kiara, 21 Januari 2025 - Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur telah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan 4B Wilayah Persekutuan Lumpur yang dipengerusikan oleh Encik Sabran bin Abd Bahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur dan dihadiri oleh Pegawai- Pegawai Belia Dan Sukan Kawasan.
Sesi kunjungan hormat ini lebih memfokuskan hala tuju pihak persatuan untuk pembangunan belia serta program-program belia di peringkat WP Kuala Lumpur khususnya. Pihak persatuan juga menyahut seruan Pengarah untuk lebih dekat serta membantu pihak Jabatan dalam pelaksanaan program-program yang dianjurkan.
Diharap agar kerjasama dan silaturrahim antara Jabatan dan persatuan dapat diperkasakan seterusnya meningkatkan pembagunan belia- belia di Kuala Lumpur khususnya.
BUKIT KIARA, 14 JAN 2025: 'Sailfish Swim Academy' telah membuat pertemuan dengan Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur yang diketuai oleh YBrs. Encik Sabran bin Abd Bahar selaku Pengarah JBSWPKL.
Pertemuan serta perbincangan yang memfokuskan berkaitan perkhidmatan renang yang ditawarkan oleh pihak akademi tersebut telah dibentangkan oleh wakil operator yang juga merupakan badan pertubuhan sukan yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) iaitu Sailfish Advance Swimming Club.
Turut hadir bersama ialah Encik Zaaba bin Ponrahono, Pegawai Pembangunan Kecergasan Nasional sebagai pegawai penyelaras program-program kecergasan yang merangkumi sukan renang khususnya juga telah berkongsi pandangan serta cadangan jalinan kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama demi pembangunan sukan renang di sekitar WP Kuala Lumpur.
Bukit Damansara, 11 Januari 2025 - Telah berlangsung Majlis Perasmian Kejohanan Memanah Tradisional Komuniti KL : Jiwa Pendekar Srikandi Kota yang disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan di Pusat Komuniti Bukit Damansara.
Kejohanan yang berlangsung selama 2 hari ini telah dianjurkan oleh Persatuan Memanah Tradisional Kuala Lumpur (PMTKL) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur dan Kelab Pemanah DBKL melibatkan 250 orang peserta.
Turut hadir Encik Anuar Matsaat, Ambassador HDH International Archery Association, Encik Khairul Eswan bin Hj Ishak, Penolong Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Cik Magdelene Anak Manjah, Pegawai Belia dan Sukan, Bahagian Pembangunan Sukan JBSWPKL dan Encik Halman bin Salleh, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Kepong/ Segambut, JBSWPKL.