18 Mac 2025 (Selasa) - Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh telah menghantar peserta bagi Program Rakan Ekspresi Rakan Muda Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertempat di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.
Kawasan Seputeh diwakili oleh adik Muhamad Norhakim bin Muhamad Zuraimi, Adam Riezqy bin Mohamad Rizan dan Ainul Farhana binti Mohd Saa'ri bagi acara Pertandingan Hafazan, Tadarus dan Azan. Pihak pejabat mengucapkan syabas dan tahniah atas penglibatan adik semua.
18 Mac 2025, Wangsa Maju – Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 melabuhkan tirainya dengan Majlis Perasmian Penutup yang berlangsung di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju. Program ini dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur dengan kerjasama Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju dan Majlis Belia Tahfiz Malaysia.
Majlis yang diadakan pada petang ini turut dihadiri oleh YB. Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju, yang hadir sebagai perasmi. Turut hadir adalah Ustaz Muhammad Ikram bin Mohd Jamil, Ketua Imam Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, Encik Sabran bin Abd Bahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur serta Ustaz Muhammad Amir Hadi bin Mohd Wahi, Presiden Majlis Belia Tahfiz Malaysia.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ustaz Muhammad Ikram bin Mohd Jamil. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini serta menggalakkan belia untuk terus aktif dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan. Seterusnya, YB. Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan dalam ucapan perasmian penutupnya menzahirkan rasa bangga terhadap penyertaan belia dalam program ini dan menekankan kepentingan memanfaatkan Ramadan untuk memperkukuh nilai-nilai Islam serta membina jati diri yang lebih baik dalam kalangan anak muda.
Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati dan hadiah kepada pemenang pertandingan seperti Pertandingan Hafazan, Azan & Iqamah, serta Khutbah. Detik istimewa ini diserikan dengan sesi bergambar kenangan bersama tetamu kehormat, peserta, serta jawatankuasa penganjur. Sebagai acara penutup, majlis diteruskan majlis berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam penganjuran program ini. Semoga program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai platform untuk memperkasakan generasi muda dengan nilai-nilai Islam serta menggalakkan mereka untuk terus aktif dalam aktiviti yang bermanfaat.
Kuala Lumpur, 18 Mac 2025 – Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju hari ini menjadi medan bagi para belia memperlihatkan kebolehan dalam penyampaian khutbah menerusi Pertandingan Khutbah sempena Program Rakan Ekspresi: Rakan Muda Ramadan Peringkat WP Kuala Lumpur 2025.
Bermula pada jam 2 petang, pertandingan ini menampilkan 15 peserta berumur 13 hingga 25 tahun yang bersemangat untuk menyampaikan khutbah dengan penuh keyakinan dan kefasihan. Para peserta diuji berdasarkan penguasaan teks khutbah, intonasi suara, gaya penyampaian, pemahaman isi kandungan, serta keberkesanan dalam menyampaikan mesej kepada jemaah.
Pertandingan ini bertujuan untuk melahirkan generasi pendakwah muda yang berilmu, berkarisma, serta mampu menyampaikan mesej Islam dengan baik dan Pihak penganjur berharap agar pertandingan ini dapat mencetus minat lebih ramai belia dalam dunia dakwah serta memperkukuhkan peranan mereka dalam menyampaikan ilmu dan mesej Islam kepada masyarakat.
18 Mac 2025, Wangsa Maju - Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 telah menyaksikan berlangsungnya Pertandingan Hafazan bagi lelaki dan wanita di Bilik Seminar, Masjid Usamah bin Zaid pagi tadi. Sebanyak 48 peserta, terdiri daripada 24 lelaki dan 24 wanita, mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang bertujuan untuk menguji ketahanan hafazan dan penguasaan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di kalangan golongan muda.
Pertandingan dimulakan dengan peringkat saringan pada waktu pagi, di mana setiap peserta diuji dengan surah-surah pilihan. Peringkat akhir dilangsungkan selepas solat Zohor bertempat di Dewan Solat Masjid Usamah bin Zaid dengan hanya lima lelaki dan lima wanita yang berjaya terpilih ke peringkat akhir berdasarkan prestasi mereka dalam saringan pagi.
Pihak penganjur berharap dengan adanya pertandingan ini, dapat memberi ruang kepada golongan muda untuk terus meningkatkan penguasaan dalam hafazan Al-Quran serta memperkukuhkan amalan keagamaan sepanjang bulan Ramadan. Program ini juga diharapkan dapat memupuk semangat persaingan yang sihat dalam kalangan peserta, sekaligus memperkasakan budaya keilmuan dalam komuniti muda.
18 Mac 2025, Wangsa Maju - Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, menjadi lokasi tumpuan bagi golongan remaja dan belia dalam Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Program yang bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dengan pengisian ilmiah itu diserikan dengan tausiyyah khas yang disampaikan oleh PU Dr. Hafiz Haneefa, Penasihat Majlis Belia Tahfiz Malaysia.
PU Dr. Hafiz Haneefa mengupas topik yang relevan dengan semangat Ramadan, serta memberi pencerahan mengenai nilai-nilai yang perlu diterapkan oleh golongan muda untuk menghadapi cabaran zaman ini dengan penuh ketakwaan. Tausiyyah yang penuh dengan nasihat dan pedoman itu mendapat perhatian dan sambutan hangat daripada lebih 200 peserta yang hadir, terdiri daripada golongan remaja dan belia berumur antara 13 hingga 25 tahun.
Dalam majlis tersebut, Puan Nor Safinah bt Haya, Timbalan Pengarah Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, turut hadir untuk menyampaikan cenderahati kepada penceramah sebagai penghargaan.
Majlis ini turut mendapat kerjasama erat antara Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur serta Majlis Belia Tahfiz Malaysia dan pihak Masjid Usamah bin Zaid. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada golongan muda untuk mendalami ilmu agama, tetapi juga menyediakan platform untuk mereka berkumpul dan berkongsi pengalaman dalam suasana Ramadan yang penuh barakah.
Wangsa Maju, 18 Mac 2025 – Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju hari ini menjadi saksi kepada keindahan laungan azan dan iqamah dalam Pertandingan Azan & Iqamah Sempena Rakan Muda Ramadan Peringkat WP Kuala Lumpur 2025. Program ini melibatkan penyertaan belia & remaja lelaki seramai 22 orang berusia 13 hingga 25 tahun yang bersemangat menunjukkan kemahiran mereka dalam melafazkan seruan solat dengan penuh keindahan dan ketertiban.
Pertandingan ini bermula pada pukul 10.30 pagi dan diadili oleh panel juri yang terdiri daripada imam dan qari berpengalaman. Para peserta dinilai berdasarkan ketepatan tajwid, makhraj, kefasihan, kemerduan suara, serta kekhusyukan dalam penyampaian azan dan iqamah.
Menurut penganjur program, pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan generasi muda mendalami ilmu agama, memperbaiki bacaan azan dan iqamah, serta menyuburkan rasa cinta terhadap ibadah solat. Selain itu, ia juga menjadi platform bagi melahirkan lebih ramai muazin muda yang berkualiti.
Dengan sambutan yang amat menggalakkan, pihak penganjur berharap acara ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi melahirkan generasi muda yang lebih berilmu, berakhlak, dan berjiwa Islam.
Wangsa Maju, 18 Mac 2025 – Seramai 140 peserta berumur 13 hingga 25 tahun telah menyertai Majlis Tadarus & Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Solat, Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju hari ini. Program ini merupakan salah satu aktiviti utama dalam Program Rakan Ekspresi: Rakan Muda Ramadan Peringkat WP Kuala Lumpur 2025 yang bertujuan untuk membudayakan amalan membaca Al-Quran serta menggalakkan interaksi ilmiah dalam kalangan belia.
Majlis tadarus yang bermula pada jam 9.00 pagi ini menyaksikan para peserta membaca Al-Quran secara berkumpulan di bawah bimbingan guru tahfiz dan imam masjid serta dengan kerjasama Majlis Belia Tahfiz Malaysia. Bacaan setiap peserta dipantau dari segi tajwid, makhraj, kelancaran, serta penghayatan terhadap ayat-ayat suci. Program diakhiri dengan sesi Khatam Al-Quran secara beramai-ramai sebagai simbolik kepada kesungguhan belia dalam menghidupkan Ramadan dengan bacaan Al-Quran.
Menurut salah seorang peserta, Alif fitri, 17, program ini memberikan pengalaman yang amat bermakna. "Saya berasa sangat bersyukur kerana dapat menyertai program ini. Ia bukan sahaja mengeratkan ukhuwah sesama peserta, tetapi juga mengingatkan saya tentang kepentingan membaca Al-Quran secara berterusan," katanya.
Selain Tadarus & Khatam Al-Quran, Program Rakan Ekspresi: Rakan Muda Ramadan Peringkat WP Kuala Lumpur 2025 turut menampilkan pelbagai aktiviti lain seperti Pertandingan Hafazan, Pertandingan Azan & Iqamah, Pertandingan Khutbah, ceramah agama, serta program kebajikan.
Penganjur berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform untuk mendidik dan membimbing generasi muda agar lebih dekat dengan Al-Quran serta mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.
15 Mac 2025 (Sabtu) - Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh dengan kerjasama Surau Nur Asy-Syakirin dan Persatuan Penduduk PPR Kg Muhibbah telah melaksanakan Program Rakan Ekspressi : Rakan Muda Ramadan bertempat di Surau Nur Asy-Syakirin. Antara Program yang dilaksanakan adalah Pertandingan Hafazan, Tadarus, Tazkirah Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat setempat.
Program Rakan Muda Ramadan merupakan program ikonik Kementerian yang dilaksanakan setiap tahun yang menerapkan ajaran Islam terhadap belia belia di dalam komuniti setempat. Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBrs. En.Sabran bin Abd Bahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
17 Mac 2025 (Isnin) - Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh telah dijemput ke Majlis Iftar bersama YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh bertempat di The Pearl Hotel, Kuala Lumpur. Majlis ini merupakan program tautan hubungan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Seputeh bersama Agensi-agensi dan Persatuan Penduduk di dalam Kawasan Seputeh yang sering bersama dalam penganjuran program komuniti dan kemasyarakatan di Seputeh.
Majlis juga turut disertai Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, En.Sabran bin Abd Bahar menandakan hubungan erat Jabatan bersama Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Kawasan Seputeh. Semoga hubungan erat ini berkekalan dan berterusan di masa hadapan.