- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 105
MAJLIS PERASMIAN PENUTUP PROGRAM RAKAN MUDA RAMADAN PERINGKAT WP KUALA LUMPUR 2025 BERJALAN LANCAR
- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 105
18 Mac 2025, Wangsa Maju – Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 melabuhkan tirainya dengan Majlis Perasmian Penutup yang berlangsung di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju. Program ini dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur dengan kerjasama Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju dan Majlis Belia Tahfiz Malaysia.
Majlis yang diadakan pada petang ini turut dihadiri oleh YB. Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju, yang hadir sebagai perasmi. Turut hadir adalah Ustaz Muhammad Ikram bin Mohd Jamil, Ketua Imam Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, Encik Sabran bin Abd Bahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur serta Ustaz Muhammad Amir Hadi bin Mohd Wahi, Presiden Majlis Belia Tahfiz Malaysia.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ustaz Muhammad Ikram bin Mohd Jamil. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini serta menggalakkan belia untuk terus aktif dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Seterusnya, YB. Tuan Ir. Ts. Zahir bin Hassan dalam ucapan perasmian penutupnya menzahirkan rasa bangga terhadap penyertaan belia dalam program ini dan menekankan kepentingan memanfaatkan Ramadan untuk memperkukuh nilai-nilai Islam serta membina jati diri yang lebih baik dalam kalangan anak muda.
Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati dan hadiah kepada pemenang pertandingan seperti Pertandingan Hafazan, Azan & Iqamah, serta Khutbah. Detik istimewa ini diserikan dengan sesi bergambar kenangan bersama tetamu kehormat, peserta, serta jawatankuasa penganjur. Sebagai acara penutup, majlis diteruskan majlis berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam penganjuran program ini. Semoga program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai platform untuk memperkasakan generasi muda dengan nilai-nilai Islam serta menggalakkan mereka untuk terus aktif dalam aktiviti yang bermanfaat.