- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 92
PERBINCANGAN JAWATANKUASA INDUK & PERSIAPAN AKHIR PROGRAM RAKAN MUDA RAMADAN PERINGKAT WP KUALA LUMPUR TAHUN 2025
Kuala Lumpur, 17 Mac 2025 – Persiapan terakhir bagi Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 berjalan lancar selepas perbincangan jawatankuasa induk dan tinjauan lokasi yang diadakan di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju pada pagi ini. Perbincangan yang bermula pada jam 10.00 pagi ini dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur dengan kerjasama Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju dan Majlis Belia Tahfiz Malaysia.
Perbincangan ini bertujuan untuk menyelaras persiapan akhir sebelum program dilaksanakan pada 18 Mac 2025. Menurut Puan Nor Safinah bt Haya, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur , perbincangan ini memberi tumpuan kepada aspek pengurusan acara, penyediaan logistik, serta kelancaran perjalanan program bagi memastikan semua persiapan berada dalam keadaan terbaik. Selain itu, sesi tinjauan lokasi turut dijalankan bersama pihak masjid yang diwakili Encik Saifuzzaman bin Mohamed Salleh, Timbalan Pengerusi Masjid Usamah bin Zaid bagi memastikan kelengkapan dan kemudahan di masjid mencukupi.
Program Rakan Muda Ramadan tahun ini dijangka menarik penyertaan yang lebih ramai, khususnya dalam aktiviti utama seperti Pertandingan Azan & Iqamah, Pertandingan Khutbah, Pertandingan Hafazan, Tadarus & Khatam Al-Quran, ceramah agama, dan program kebajikan.
Penganjur berharap agar segala perancangan berjalan lancar dan program ini dapat mencapai objektifnya dalam menyemarakkan semangat keagamaan serta menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti Ramadan yang bermanfaat.
- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 92