Bukit Kiara, 7 Mac 2025 - Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur, Encik Sabran bin Abd Bahar telah menerima Kunjung Hormat daripada YBhg. Datuk P. Arivalagan, Presiden Persatuan Karate Kuala Lumpur dan YBrs. Dr Mahaaganapathy. D hari ini.
Perjumpaan tersebut adalah bagi membincangkan mengenai perkembangan sukan karate di Kuala Lumpur dan kerjasama dalam pelaksanaan program di antara Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur dan Persatuan Karate Kuala Lumpur. Semoga jalinan kerjasama ini akan dapat membangunkan sukan karate di Kuala Lumpur.
BUKIT KIARA, Mac 2025 – Pejabat Belia Dan Sukan Kawasan Bukit Bintang telah menerima kunjungan hormat dari Tuan Aiman Hakim bin Amerludin, Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Dang Wangi yang baharu. Kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua jabatan serta membincangkan potensi kerjasama dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih efisien dan inklusif.
Kerjasama antara Pejabat Belia dan Sukan dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah sangat penting dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan belia. Beberapa perkara yang diharapkan dari kerjasama ini termasuklah program pendidikan dan kesedaran, mewujudkan program intervensi awal bagi belia yang berisiko tinggi dan menyelaraskan semua aktiviti berkaitan pencegahan dan pemulihan dadah diantara agensi yang berkaitan.
Dengan kerjasama yang erat antara Pejabat Belia dan Sukan dan AADK, diharapkan usaha membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan belia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh khususnya di Kawasan Bukit Bintang.
Bukit Kiara, 3 Mac 2025 - Encik Sabran bin Abd Bahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur telah hadir dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Sukan Weiqi Malaysia 2025 hari ini di Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara.
Di dalam ucapannya, beliau berharap supaya mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan sukan dilaksanakan secara sihat agar dapat memberi kesan kepada pembangunan sukan Weiqi di Malaysia. Tambah beliau lagi, semua persatuan sukan yang didaftar di bawah PJS termasuk Persatuan Sukan Weiqi Malaysia perlu bergerak aktif dalam menjalankan aktiviti melibatkan sukan yang diwakili dan boleh memohon Dana Sukan Komuniti (DSK) selain mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan menghantar laporan aktiviti berkenaan.
Semoga Persatuan Sukan Weiqi Malaysia terus memperkasa peranan persatuan dalam pembangunan sukan Weiqi di Malaysia.
Bukit Kiara, Mac 2025 – Pejabat Belia Dan Sukan Kawasan Bukit Bintang telah menerima 3 pencalonan bagi Anugerah Perdana Belia Negara 2025 Kategori Individu Lelaki dan Wanita. 2 pencalonan dari Gerakan Belia 4B Kawasan (GB4B) Kawasan Bukit Bintang dan 1 pencalonan dari Kelab Bell BeliaTamil (KBBT) Kuala Lumpur .
PBSK Bukit Bintang mengucapkan ribuan terima kasih atas penglibatan daripada semua pihak terlibat serta mencalonkan peserta-peserta bagi anugerah ini. Calon-calon diminta bersedia dengan keputusan semakan dokumentasi dari pihak urusetia dan surat panggilan ke Sesi Penilaian akan diemelkan kepada calon dalam masa terdekat.
Setiawangsa, 26 Februari 2025 - Satu perbincangan bagi program Rakan Muda Ramadan peringkat Kawasan Titiwangsa dan Setiawangsa antara Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa/Setiawangsa, Jawatankuasa Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah dan NGO telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai. Perbincangan ini dipengerusikan oleh Ustaz Isahak Othman, Pengerusi Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah dan dihadiri oleh beberapa individu penting, antaranya Dato Noorazman Idris, Timbalan Pengerusi Masjid, Ust Ahmad Faidhul Irfan, Ketua Imam Masjid, dan Ust Muhammad Hanif, Penolong Ketua Imam Masjid.
Turut hadir adalah wakil daripada NGO yang berada di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), iaitu Majlis Belia Kawasan Titiwangsa dan Majlis Belia Kawasan Setiawangsa. Objektif utama perbincangan ini adalah untuk merancang dan menyelaraskan aktiviti sepanjang bulan Ramadan dalam usaha menghidupkan bulan yang penuh barakah ini, khususnya di kalangan belia. Program ini bertujuan untuk menyediakan platform bagi belia untuk melibatkan diri dalam aktiviti kerohanian dan pengisian sepanjang Ramadan.
Antara pengisian utama yang akan dilaksanakan dalam program Rakan Muda Ramadan adalah pertandingan Hafazan, Tadarus al-Quran, Tazkirah, Majlis Berbuka Puasa, dan Solat Tarawikh secara berjemaah. Program ini diharapkan dapat menarik minat golongan belia untuk memanfaatkan bulan Ramadan dengan lebih bermakna serta memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat. Perbincangan berakhir dengan pelaksanaan dan pembahagian tugas untuk memastikan kelancaran semua aktiviti yang dirancang.
NEWTON INTERNATIONAL COLLEGE, 27 FEBRUARI 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju yang telah diwakili oleh Puan Afiqah binti Mustafa Kamil, Pegawai Belia dan Sukan serta Encik Zarulhisam bin Ramli, Pembantu Belia dan Sukan merangkap Pegawai Unit Pembangunan Rakan Muda di PBSK Batu / Wangsa Maju telah mengadakan kunjungan hormat bersama Majlis Perwakilan Pelajar Newton International College dan Sekretariat Rakan Muda di Newton International College pada petang ini bagi membincangkan pelaksanaan program Rakan Muda Ramadan yang bakal dilaksanakan sepanjang bulan suci ini. Kunjungan tersebut bertujuan untuk memperkenalkan dan merancang aktiviti yang dapat melibatkan golongan muda dalam menghayati nilai-nilai Ramadan serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Dalam perbincangan tersebut, aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan bagi program tersebut telah dibentangkan oleh Puan Afiqah dan juga Encik Zarulhisam, Pihak Majlis Perwakilan Pelajar turut menyatakan komitmen mereka dalam menyediakan platform yang lebih inklusif bagi meningkatkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan kelak serta mereka akan turut memberi kerjasama erat bersama PBSK Batu / Wangsa Maju.
Menurut Encik Mohd Amin bin Abd Razak selaku Penasihat bagi Majlis Perwakilan Pelajar, “Program Rakan Muda Ramadan adalah satu peluang untuk golongan muda bukan sahaja memperkukuhkan iman, tetapi juga untuk memberi kesan positif kepada masyarakat melalui usaha-usaha yang bermanfaat.” Kunjungan ini diharapkan dapat membuka ruang untuk kerjasama yang lebih erat antara pihak PBSK Batu / Wangsa Maju, MPP Newton International College, dan golongan muda dalam mendalami maksud sebenar Ramadan dan meningkatkan nilai-nilai murni di kalangan generasi muda.
BUKIT KIARA, 28 Februari 2025 - satu kunjungan hormat telah diadakan antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Dang Wangi dan Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa/Setiawangsa. Kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua jabatan serta membincangkan potensi kerjasama dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih efisien dan inklusif.
Kunjungan hormat ini telah dipengerusikan oleh Encik Khairuddin bin Khalid, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa/Setiawangsa, bersama kakitangan pejabat yang lain. Dalam perbincangan tersebut, pelbagai cadangan dan inisiatif telah diketengahkan untuk memperkukuhkan usaha bersama dalam membendung penyalahgunaan dadah dan mempertingkatkan program-program pembangunan belia di kawasan Titiwangsa dan Setiawangsa.
Encik Khairuddin bin Khalid dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa kerjasama erat antara AADK dan Pejabat Belia dan Sukan akan memberi impak positif dalam memajukan kesejahteraan masyarakat, khususnya golongan belia. Beliau juga menekankan pentingnya penyelarasan antara agensi bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat setempat.
Kunjungan hormat ini dijangka menjadi langkah awal dalam merancang pelbagai program kolaborasi yang bakal dilaksanakan, seterusnya memperkukuh kerjasama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih berkesan dan relevan kepada rakyat.
Bukit Kiara, 21 Feb. 2025 - satu mesyuarat penyelarasan Rakan Muda telah diadakan di Bilik Mesyuarat Kiara Utama, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JBSWPKL). Mesyuarat dipengerusikan oleh Puan Safinah Haya, Timbalan Pengarah Rakan Muda.
Encik Javiques Badana hadir bersama Encik Mohd Safian, yang merupakan Pegawai Rakan Muda Kawasan Cheras/Bandar Tun Razak. Perbincangan utama mesyuarat ini tertumpu kepada pelaksanaan program Rakan Muda di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur disamping memperkasa program-program Rakan Muda bagi memastikan penyampaian yang efektif dan berkesan kepada komuniti setempat.
Bandar Tun Razak, 20 Feb. 2025 - Satu lawatan tapak bagi pelaksanaan Program Rakan Ekspresi: Rakan Muda Ramadan peringkat kawasan Cheras dan Bandar Tun Razak telah diadakan di Surau Al-Falah, Bandar Tun Razak. Lawatan ini turut merangkumi sesi perbincangan bersama Jawatankuasa Surau Al-Falah bagi memastikan kelancaran program yang dirancang.
PBSK Cheras / Bandar Tun Razak diwakili oleh Encik Safian bin Mohd Sahat dalam sesi lawatan ini. Program yang bakal berlangsung pada 12 Mac 2025 (Rabu) bermula jam 9.00 pagi ini bertujuan untuk menarik minat remaja dengan aktiviti bertemakan gaya hidup Rakan Ekspresi.
Antara pengisian utama program termasuk pertandingan hafazan, tadarus, tazkirah, majlis berbuka puasa, serta solat tarawih berjemaah. Inisiatif ini diharapkan dapat menjadi platform terbaik dalam memperkukuhkan nilai keagamaan dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan belia setempat sepanjang bulan Ramadan.