Permulaan 2025, Team Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur kembali untuk terus amalkan gaya hidup aktif dan sihat dengan bersukan setiap hari Rabu di tempat kerja
Warga kerja Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur memeriahkan sukan pickleball sebagai sukan untuk riadah kali ini.
Diharapkan warga Jabatan kekal sihat dan lebih cergas bagi mengharungi program-program yang akan dianjurkan pada pembuka tahun 2025 ini.
Bukit Kiara, 7 Januari - Telah diadakan sesi kunjung hormat Pengurus dan Jurulatih Sukan Para Sukma Kuala Lumpur ke atas Encik Sabran bin Abd Bahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur bertempat di Bukit Kiara pada hari ini.
Sesi kunjungan hormat ini diadakan bagi bertukar pandangan dalam memperkasakan pembangunan sukan OKU dan persiapan penyediaan atlet Para Sukma 2026 Kontijen Kuala Lumpur di Negeri Selangor akan datang.
Pihak Jabatan amat komited dalam memastikan bahawa pembangunan sukan yang melibatkan golongan OKU itu dapat diperluas dan diperkukuhkan di peringkat Kuala Lumpur.
13 Jan 2025, Isnin - Yang lama berganti baru, patah tumbuh hilangkan berganti, yang ada kita teruskan perjuangan. Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh hari ini menerima kehadiran En.Rosnizam Murat, Pegawai yang akan mengambil alih tugasan di Unit Sukan menggantikan Puan Norfaaizam Zainal Abidin.
Pejabat mengalu-alukan kehadiran En Rosnizam ke kawasan Seputeh. Semoga kawasan Seputeh akan terus bergerak cemerlang dan gemilang bersama angin perubahan baru.
Kepada yang pergi Pejabat mengucapkan selamat maju jaya dan terus cemerlang di tempat baru. Sesungguhnya jasa yang disumbangkan selama ini tidak akan terbalas dan akan terus kekal di ingatan.
Bukit Kiara, 10 Jan 2025 - Majlis perpisahan bagi dua pegawai Belia dan Sukan Kawasan Seputeh, Encik Mohd Ibrahim bin Mohamad Yussop dan Puan Norfaaizam binti Zainal Abidin, telah diadakan dengan penuh rasa terharu dan penghargaan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan acara ini dihadiri oleh rakan sepejabat.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Encik Azmee Amar Azwan bin Mostapa, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Seputeh yang merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pegawai atas dedikasi dan komitmen mereka dalam memperkasa aktiviti belia dan sukan di kawasan Seputeh. “Sumbangan Encik Mohd Ibrahim bin Mohamad Yussop dan Puan Norfaaizam binti Zainal Abidin dalam membimbing dan menyokong aktiviti-aktiviti pembangunan belia, sukan dan rakan muda di sini tidak akan dilupakan. Mereka telah mencipta banyak kenangan manis yang memberi impak positif kepada masyarakat,” ujar Encik Azmee Amar Azwan bin Mostapa dalam ucapannya.
Sementara itu, kedua-dua pegawai yang diraikan juga tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu apabila menyampaikan kata-kata perpisahan kepada semua yang hadir. Dalam ucapan mereka, mereka mengimbas kembali detik-detik penuh makna sepanjang bertugas di Seputeh, serta menzahirkan rasa syukur atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat kepada komuniti.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati & sesi bergambar bersama team Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh sebagai tanda penghargaan dan kenangan manis. PBSK Seputeh berharap agar kedua-dua pegawai akan terus berjaya dalam segala usaha yang akan datang dan berharap agar hubungan silaturahim yang terjalin selama ini akan terus berkekalan.
Bukit Kiara, 07 Jan 2025 : Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Mohd Ibrahim bin Mohamad Yussop, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Seputeh di atas kenaikan pangkat ke jawatan baru dan akan bertukar ke PBSD Timur Laut, Pulau Pinang.
Sesi Penyerahan surat pertukaran ini telah disempurnakan oleh Encik Sabran bin Abd Bahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WPKL. Semoga terus cemerlang dan maju jaya dalam menjalankan tanggungjawab baharu dan pihak PBSK Seputeh ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti yang cemerlang sepanjang bersama-sama Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh.
BUKIT KIARA, 13 DIS 2024: Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur telah menganjurkan Sesi Libat Urus Advokasi Kod Sukan Selamat (Siri 2) Peringkat WPKL 2024 yang telah diadakan di Dewan Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara.
Penceramah Jemputan iaitu Cik Magdelene Anak Manjah, Timbalan Pengarah Sukan, Jabatan Belia dan Sukan WPKL telah membuat penerangan terperinci berkaitan Kod Sukan Selamat yang mana di antara objektif utamanya adalah sebagai panduan dan rujukan kepada semua pemenang taruh sukan mengenai skop salah laku dan tanggung jawab pemenang taruh secara jelas dan menyeluruh, memupuk dan menggalakkan nilai positif dalam sukan serta mengukuhkan aspek integriti dalam tadbir urus badan sukan dan eko sistem sukan secara keseluruhan.
Program telah mendapat sambutan penyertaan yang amat menggalakkan dengan kehadiran seramai lebih kurang 135 orang peserta yang terdiri daripada penggiat sukan sama ada yang telah bepersatuan mahupun tidak, guru-guru sekolah, Kelab-kelab sukan dan lain-lain Agensi serta NGO di sekitar WP Kuala Lumpur.
WANGSA MAJU, 12 DIS 2024: Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur dengan kerjasama Kelab Belia Sukarelawan Wangsa Delima telah menganjurkan Program Cabaran Sukan Warga Emas Peringkat WP Kuala Lumpur 2024 bertempat di Wangsa Bowl, Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju.
Di antara pengisian program adalah melibatkan Pertandingan Bowling melibatkan Kategori Berpasukan Lelaki dan Berpasukan Wanita. YBrs. Encik Sabran bin Abd Bahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur telah membuat balingan Strike sebagai simbolik gimik perasmian program pada petang itu dan beliau juga merupakan Tetamu Kehormat di samping kehadiran YBrs. Puan Siti Mariam binti Ahmad Tobias, Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya, JBSN yang turut menyertai pertandingan tersebut secara berpasukan.
Terima kasih tidak terhingga kepada Pusat Aktiviti Warga Emas Wangsa Maju (PAWE), Persatuan Alumni KBS, Kelab Belia Sukarelawan Wangsa Delima dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang sudi menghantar wakil sebagai peserta dalam menjayakan program.
BUKIT KIARA, 8 DIS 2024: Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Sukan Kecergasan Kuala Lumpur (KLFIT) telah berjaya melaksanakan Mini Karnival Fit Malaysia Peringkat WPKL 2024 yang bertempat di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Di antara acara serta aktiviti utama yang telah diadakan adalah Fun Ride (7km & 9km), Fun Run (7km & 9km), Brisk Walking (6km), Fitness 3 Hours On-Stop (Pound, Strong Nation, Piloxing, Zumba, Salsation, Aerodance), Jump Rope Challenge dan Calisthenic Challenge. Terdapat juga reruai jualan makanan dan minuman serta Lori Air Minuman Coklat Percuma untuk semua peserta dan pengunjung yang hadir.
Program telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Abd Aziz bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Sukan, JBSN. Turut hadir bersama ialah En Sabran Bin Abd Bahar, Pengarah JBSWPKL; Tuan Shahrul Nizam bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan; Encik Nik Ahmad Zahiruddin bin Nik Saleh, Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan sebagai Tetamu Kehormat.
Semoga pelaksanaan program seumpama ini dapat diteruskan untuk tahun yang akan datang supaya menjadi pemangkin dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi semua lapisan masyarakat di samping meningkatkan kesedaran rakyat untuk menjalani gaya hidup cergas.
PA SERI SABAH, 7 DIS 2024: Telah berlangsung Majlis Penyerahan Insentif Program Senamrobik Komuniti WP Kuala Lumpur 2024 bertempat di Dataran Perumahan Awam Seri Sabah, Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.
YB Menteri telah mengumumkan pemberian insentif tambahan semasa ucapan perasmian program ini pada bulan Mac yang lalu. Pada hari ini, sebanyak RM10,000.00 diberikan kepada lokasi yang menunjukkan prestasi penyertaan yang memuaskan dan konsisten.
Perumahan Awam Seri Sabah 3B dan Projek Perumahan Rakyat Sg Bonus / Seri Semarak telah berjaya menjadi PPR / PA terbaik dan telah menerima insentif sebanyak RM10,000.00. Wakil Persatuan Penduduk telah menerima 'Mock Cheque' kemenangan insentif serta Sijil Penghargaan yang disampaikan oleh YB Menteri.
Turut hadir sama pada majlis tersebut ialah YBrs. Encik Abdul Aziz bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, JBSN; YBrs. Encik Sabran bin Abd Bahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur; YBrs. Encik Ahmad Ibnu Sina bin Termizi, Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pembangunan Komuniti & Kesejahteraan Bandar DBKL; YBrs. Encik Mohamad Mahathir Mohamed Younos, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada YAB Perdana Menteri; YBrs. Encik Khusairi Aizad bin Jamaluddin, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kawasan Setiawangsa serta Wakil Persatuan Penduduk PPA Seri Sabah 3, PPR Sungai Bonus dan PPR Seri Semarak.
Penganjuran program yang dilaksanakan secara mingguan (hujung minggu) di 43 PPR/PA seluruh WP Kuala Lumpur bermula pada bulan Mac hingga Disember 2024 dengan pengisian sebanyak 44 sesi senamrobik secara percuma ini boleh diteruskan pada tahun hadapan hasil sambutan yang menggalakkan.