- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 67
PROGRAM RAKAN EKSPRESI: RAKAN MUDA RAMADAN PERINGKAT KAWASAN BATU / WANGSA MAJU | MENYEMARAKKAN SEMANGAT KEBERSAMAAN DI BULAN YANG MULIA
- JBS WP Kuala Lumpur
- Hits: 67
NEWTON INTERNATIONAL COLLEGE, 9 MAC 2025 - Alhamdulillah, Program Rakan Ekspresi: Rakan Muda Ramadan Peringkat Kawasan Batu / Wangsa Maju yang telah dilaksanakan baru-baru ini berjaya mengumpulkan belia-belia yang penuh semangat untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti yang bermakna. Program ini bertujuan untuk mempereratkan hubungan sesama belia, menggalakkan amal ibadah, serta memperkenalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuklah tadarus al-Quran, tazkirah, solat tarawih dan pertandingan hafazan yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Di samping itu, jamuan berbuka puasa bersama para belia juga telah berjaya membina semangat kebersamaan dalam kalangan peserta. Turut hadir bersama dalam program ini adalah Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju, Puan Afiqah binti Mustafa Kamil, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Kawasan, Encik Rery Martinaz bin Muhammad Ali dan Pembantu Belia dan Sukan Kawasan, Encik Zarulhisam bin Ramli.
Keterlibatan belia dari pelbagai bangsa dalam aktiviti-aktiviti ini telah memperkukuhkan hubungan sosial dan semangat kekitaan dalam kalangan belia. Pegawai Projek, Encik Zarulhisam bin Ramli juga menyatakan bahawa beliau sangat gembira melihat sokongan dan penyertaan yang memberangsangkan dalam kalangan peserta dan beliau juga turut bersyukur kerana semuanya telah berjalan lancar.
Pihak PBSK Batu / Wangsa Maju amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong dan menjayakan program ini. Semoga setiap usaha ini memberi manfaat yang besar kepada belia serta masyarakat setempat, sekaligus memperkayakan pengalaman Ramadan dengan aktiviti-aktiviti yang penuh makna. Teruskan menyemarakkan semangat kebaikan dan kerohanian sepanjang bulan Ramadan ini.