Alor Setar, 9 Julai 2025 - Telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JKPA) Bilangan 02 Tahun 2025 Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah pada 7 Julai 2025 (Isnin) bertempat di Bilik Mesyuarat Kombes. Mesyuarat dipengerusikan oleh En Mohammad Suhaimi Bin Md Saad, Timbalan Pengarah. Turut hadir bersama En Zailan bin Daud, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Sik.
Selangor, 5 Ogos 2025 - bertempat di Courtyard Setia Alam by Marriott, Selangor telah berlangsung Mesyuarat Penyelaras Menteri / EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Bil. 1 Tahun 2025 yang menghimpunkan barisan kepimpinan tertinggi dari seluruh negara yang terdiri daripada EXCO Belia dan Sukan negeri bagi menyelaraskan hala tuju pembangunan belia dan sukan di peringkat negeri dan kebangsaan. Mesyuarat yang di pengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh ini menjadi platform penting bagi perbincangan dasar, perkongsian amalan terbaik serta memperkukuh kolaborasi antara negeri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam merealisasikan agenda pembangunan belia dan sukan yang inklusif dan progresif. Hadir mewakili negeri Kedah adalah YB Tuan Haji Muhamad Radhi bin Hj Mat Din Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Negeri Kedah bersama Timbalan Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah Mohd Hanaffi bin A. Rahman.
31 Julai 2025,Bukit Jawi Golf Resort, Pulau Pinang - Majlis Penutup Seminar Kecergasan Eksekutif (SKE) 2025 Peringkat Negeri Kedah telah berlangsung dengan jayanya hari ini dan disempurnakan oleh Encik Mozakir bin Buyong Mokhtar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang. Seminar selama tiga hari ini menghimpunkan para peserta yang terdiri daripada Ketua-Ketua Jabatan di agensi-agensi kerajaan Negeri Kedah, dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran serta pengetahuan berkaitan gaya hidup aktif, teknik bersukan yang betul, pemilihan peralatan yang sesuai dan amalan pemakanan sihat dalam kalangan penjawat awam. Program ini juga menjadi medan perkongsian ilmu berkaitan kepentingan kecergasan fizikal dan mental sebagai asas kepada kecemerlangan prestasi kerja dan pengurusan organisasi. “Kecergasan bukan hanya untuk tubuh, tetapi untuk memperkukuh daya kepimpinan serta membina organisasi yang lebih sihat dan efisien,” – antara intipati amanat penutup oleh Pengarah JBSN Pulau Pinang. Tahniah kepada semua peserta atas komitmen dan penyertaan aktif sepanjang program ini! Semoga manfaat yang diperoleh diteruskan di peringkat jabatan masing-masing demi kesejahteraan bersama.
30 Julai 2025,Bukit Jawi Golf Resort, Pulau Pinang - Hari kedua Seminar KKS 2025 berlangsung penuh bermakna dengan pelbagai slot interaktif dan bermanfaat. Dimulakan dengan Slot 3: Teknik dan Jenis Senaman yang menerangkan berkaitan tentang kebaikan senaman dan teknik yang betul dalam melakukan aktiviti kecergasan. Seterusnya peserta didedahkan dengan Sesi berkaitan Kecederaan Sukan dan Penyakit tidak berjangkit yang disampaikan oleh Pensyarah daripada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam. Di sebelah petang perkongsian berkaitan Gadget & Aplikasi Untuk Kecergasan, para peserta didedahkan kepada penggunaan teknologi dalam memantau kecergasan harian. Seterusnya, peserta terlibat dalam sesi Ujian Kecergasan Jasmani, yang memberi gambaran sebenar tahap kecergasan semasa masing-masing. Tahniah kepada semua peserta atas komitmen dan semangat luar biasa! Semoga seminar ini menjadi titik tolak ke arah gaya hidup lebih sihat dan aktif.
PULAU PINANG, 29 Julai 2025 - Program Seminar Kecergasan Eksekutif (SKE) 2025 Peringkat Negeri Kedah membuka tirainya hari ini dengan sesi pendaftaran peserta yang bermula seawal jam 8.30 pagi. Para peserta daripada Ketua Jabatan dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan Negeri Kedah telah berkumpul bagi menyertai siri pengisian berkaitan gaya hidup aktif, kesihatan dan kecergasan. Hari pertama dimulakan dengan taklimat dan disusuli dengan Slot 1: Kepentingan & Komponen Kecergasan, diikuti dengan Slot 2: Diet & Nutrisi Seimbang, disebelah petang yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang masing-masing. Tahniah kepada semua peserta semoga matlamat dan tujuan Kementerian unk menggalakkan gaya hidup aktif dapat diterjrmahkan di Jabatan masing-masing. Hari pertama telah membuka ruang kesedaran kepada semua peserta tentang betapa pentingnya kecergasan fizikal dan mental dalam kehidupan seharian, khususnya sebagai penjawat awam.
26 Julai 2025, Alor Setar - Telah berlangsung pertandingan inovasi 3R bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah. Penggunaan bahan terpakai menujukkan intelek dan daya cipta yang menarik dalam menyampaikan ekpresi anak muda dalam sesuatu ciptaan mereka! Teruskan Usaha Semua!
26 Julai 2025, Alor Setar - Telah berlangsung pertandingan doodle art bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah. Ekspresi yang ditunjukan begitu menarik dalam mencipta 10 elemen Gaya Hidup Rakan Muda. Teruskan Usaha Semua!
JITRA, 25 Julai 2025 (Jumaat) — Dataran Darulaman, Jitra Kedah hari ini menjadi saksi kepada penganjuran Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 yang berlangsung dengan penuh semangat dan patriotisme dalam usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah di negara ini. Majlis gilang-gemilang ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Diraja Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang hadir bagi menyatakan komitmen kerajaan dalam usaha pencegahan dan pemulihan penagihan dadah di semua peringkat masyarakat. Dengan tema sambutan yang menekankan kerjasama seluruh komuniti dalam memerangi dadah, pelbagai aktiviti komuniti, pameran agensi kerajaan, sesi perkongsian pengalaman serta kempen kesedaran turut diadakan sepanjang program. YAB Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan bahawa isu dadah bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, tetapi memerlukan sinergi seluruh rakyat — dari institusi keluarga hingga ke peringkat nasional. Majlis hari ini turut mendapat sokongan padu pelbagai agensi termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Kedah, dan NGO tempatan yang komited dalam usaha membina masyarakat Malaysia yang bebas dadah.