Seramai 43 orang peserta yang terdiri dari Pegawai Belia dan Sukan yang sedang berkhidmat di Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Pejabat Belia dan Sukan Daerah, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Jurulatih Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Port Dickson telah berjaya menghadiri Bengkel Bimbingan dan Pembangunan Portfolio SKM-PPT Tahap 3 Siri 2 Tahun 2024 dalam NOSS Kerja Belia pada 27 hingga 29 Ogos 2024 bertempat di MARDI, Cameron Highland, Pahang. Kursus ini adalah merupakan kesinambungan dari Bengkel Profesionalisme Kerja Belia SKM-PPT yang telah dihadiri oleh semua calon baharu bagi Tahun 2024.
Objektif utama bengkel ini adalah suatu proses bimbingan dan kaedah pemetaan kepada kesemua calon bersama fasilitator yang mahir bagi melengkapkan dokumen portfolio SKM-PPT yang sedang dibangunkan sebelum layak ke sesi penilaian bersama Panel Penilai (PP) serta sesi verifikasi dengan Panel Pengesal Luaran (PPL). Calon akan dibimbing membangunkan portfolio yang mengandungi koleksi dokumen yang membuktikan keterampilan dari segi pengetahuan, kemahiran, kelayakan, pengalaman dan pencapaian yang dimiliki oleh calon serta memenuhi keperluan Standard NOSS. Melalui penilaian yang telah dilaksanakan hampir keseluruhan calon telah berjaya melengkapkan dokumen portfolio mengikut standard NOSS dan kompetensi unit teras sebagaimana yang telah ditetapkan oleh JPK. Proses penilaian calon baharu ini bersama PP dijangka akan bermula pada bulan September hingga November 2024. Tempoh maksimum penilaian keterampilan adalah merangkumi tempoh sesi kaunseling dan penilaian serta permohonan sesi verifikasi melalui sistem MySPIKE.
Ayuh Pegawai Belia dan Sukan, anda boleh dan jom sertai PKB SKM-PPT bagi yang belum mendaftar sebagai calon.
- APBM Port Dickson
- Hits: 157

