TRONOH, PERAK, 21 OKTOBER 2022 – Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat serta Ceramah Kuliah Dhuha Siri 4 dianjurkan oleh Unit Bina Insan telah diadakan di Surau At-Taqwa Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak. Antara yang menyertai majlis ini adalah Kakitangan Apbm, Kontraktor Landskap dan Kebersihan.
Penceramah bagi majlis keagamaan ini disampaikan oleh Alfadhil Ustaz Mohamad Huri Bin Alias, merupakan seorang Pendakwah Bebas. Ceramah yang berlangsung selama dua jam itu bertajuk “Ikon Terunggul Merentas Zaman”. Majlis ini bertujuan untuk mengimarahkan lagi Surau At-Taqwa APBM Batu Gajah dan seterusnya mendapat ganjaran pahala daripada Allah S.W.T.
TRONOH, PERAK, 19 OKTOBER 2022 – Satu majlis penyerahan projek naik taraf Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah diadakan di Auditorium APBM. Majlis dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada JKR Daerah Kinta dan pihak Kontraktor serta kakitangan APBM Batu Gajah. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Encik Abdul Rahman Bin Mohammad dan diteruskan dengan ucapan daripada Puan Nor Liyana Binti Zainal, Jurutera Bangunan JKR daerah Kinta dan ucapan aluan daripada Pengarah APBM Batu Gajah, Tuan Vijayan Kumar A/L Nadarajan. Upacara Majlis penyerahan projek telah disempurnakan dengan sesi menandatangani Perakuan Siap Kerja kepada APBM, Batu Gajah, Perak. Dengan berakhirnya projek naik taraf APBM Batu Gajah ini, diharap dapat memberi nafas baru kepada belia dan penduduk setempat untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti khususnya keusahawanan. Antara kemudahan yang tersedia untuk kegunaan orang awam di APBM Batu Gajah ini, ialah dewan, asrama penginapan, bilik kuliah/seminar, surau dan Rumah Tamu.
TRONOH, PERAK, 19 OKTOBER 2022 – Cawangan Pembangunan Latihan, Akademi Pembangunan Belia Malaysia Batu Gajah, Perak telah menganjurkan PROGRAM WEBINAR BIZZUP MYPRENEUR@APBMBG SIRI 23 bertajuk MERINTIS PELUANG KEUSAHAWANAN merupakan siri webinar yang terakhir bagi tahun 2022 ini. Webinar yang berlangsung selama dua jam melalui platform Zoom Meeting dan LIVE Facebook Page Akademi Pembanguan Belia Malaysia ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 113 orang. Penceramah bagi program webinar ini adalah En. Mohamad Rozlan bin Mohamad Razalli di mana beliau merupakan Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP). Pihak APBM Batu Gajah ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan penceramah serta semua peserta yang telah memberikan komitmen dan kerjasama yang sangat baik dalam menjayakan webinar tersebut. Program webinar seperti ini akan diteruskan lagi di masa akan datang demi melahirkan lebih ramai lagi usahawan di kalangan belia yang berilmu dan memberi manfaat kepada bangsa juga negara.
IPOH, PERAK, 6 OKTOBER 2022 – Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah turun untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kampung RPT Chepor, Ipoh. Misi diketuai oleh Pengarah APBM Batu Gajah, Tuan Vijayan Kumar A/L Nadarajan dan Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah, Encik Azlan Bin Hussain serta seramai 9 orang kakitangan APBM Batu Gajah menyertai aktiviti sukarelawan ini. Banjir yang telah berlaku pada malam 4 Oktober 2022 menyebabkan banyak harta benda yang rosak. Turut serta dalam misi ini adalah Datin Seri Dr. Nomee Ashikin Bt Dato’ Mohammed Radzi, Isteri kepada YB Menteri Belia Dan Sukan, En. Mohd Soufi Bin Mohd Ibrahim, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Perak. Semoga dengan kerjasama dan semangat saling membantu oleh para sukarelawan ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
SERI ISKANDAR, PERAK, 6 Oktober 2022- Sempena Hari Sukan Negara tahun 2022, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah mengadakan pertandingan Tenpin Bowling di Ampang Superbowl Seri Iskandar. Pertandingan ini diketuai oleh Pengarah APBM Batu Gajah, Tuan Vijayan Kumar A/L Nadarajan dan Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah, Encik Azlan Bin Hussain serta barisan kakitangan APBM Batu Gajah. Selain daripada menyambut Hari Sukan Negara tahun 2022, tujuan pertandingan ini dianjurkan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara kakitangan APBM Batu Gajah serta meningkatkan semangat berpasukan dan saling bekerjasama. Kalah menang adat pertandingan. Cuba lagi dimasa hadapan. Anda semua memang terbaik. Tahniah diucapkan kepada pemenang.
SLIM RIVER, PERAK, 1 OKTOBER 2022 - Cawangan Pembangunan Latihan, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah menganjurkan program keusahawanan siri ke 4 pada 28 September - 1 Oktober 2022. Rumah Rehat, Slim River adalah lokasi terakhir bagi pelaksanaan program tersebut. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar A/L Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah dan turut hadir Encik Azlan bin Hussain, Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah serta En. Muhammad Faiz bin Musa, Penolong Pengarah, Cawangan Pembangunan Ekonomi, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Objektif program ini adalah untuk membantu para belia dalam penyediaan kertas kerja / Kertas Rancangan Perniagaan, meningkatkan pengetahuan perniagaan termasuk aspek pentadbiran, pemasaran, operasi dan kewangan, memberi khidmat konsultasi perniagaan kepada para usahawan, memberi kefahaman mengenai peluang-peluang perniagaan serta kemungkinannya. Pihak APBMBG mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pn. Haslinda binti Hashim kerana telah menyampaikan Modul Penyediaan Kertas Kerja Rancangan Perniagaan daripada Program Step To Success (STS) daripada siri 1 hingga ke siri 4 dan berjaya menarik perhatian usahawan belia yang berpotensi untuk menyertai program ini. Tidak lupa juga kepada peserta kursus yang sangat komited dan sentiasa memberikan sepenuh perhatian sepanjang program dijalankan. Program ini akan berterusan untuk terus membantu dan memilih usahawan belia seterusnya diangkat sebagai Ikon Usahawan Belia. Pihak APBM Batu Gajah mengucapkan selamat maju jaya dan anda semua memang terbaik!!! Jumpa lagi di masa akan datang.
TRONOH, PERAK, 27 SEPTEMBER 2022 – Menyantuni seorang usahawan yang berpengaruh dan disegani di Negeri Perak, beliau adalah Encik Rozamir Bin Zulkifli yang merupakan Pengerusi Persatuan dan Permuafakatan Karisma Negeri Perak mengadakan kunjungan hormat ke Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah. Belia juga adalah Pengarah Syarikat Canggih Sutera Sdn Bhd dan Sutera Globals Sdn Bhd. Beliau telah mengadakan perbincangan dengan Pengarah APBM, Tuan Vijayan Kumar A/L Nadarajan dan Timbalan Pengarah, Encik Azlan bin Hussain berkenaan dengan program-program usahawan peringkat Negeri Perak dan perancangan kerjasama untuk program bagi tahun 2023. APBM Batu Gajah juga memainkan peranan sebagai saluran untuk menghebahkan informasi yang berkaitan dengan keusahawanan di peringkat akar umbi. Semoga segala perancangan akan menjadi realiti dan usahawan lebih bersedia berada dilapangan perniagaan. APBM Batu Gajah merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kunjungan rasmi Pengerusi Persatuan dan Permuafakatan Karisma Negeri Perak. Semoga kerjasama yang akan terjalin akan mendatangkan manfaat dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan belia yang berjaya di Malaysia.
ULU KINTA, PERAK, 24 SEPTEMBER 2022 - Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak bersama-sama Jawatankuasa Belia, Sukan Komunikasi dan Multimedia Kerajaan Negeri Perak serta Majlis Belia Negeri Perak telah menganjurkan Karnival Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 pada 24 - 25 September 2022. Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah dijemput untuk mengadakan pameran sempena Karnival Sambutan Hari Belia Negara yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Ulu Kinta. Aktiviti yang diadakan pada hari ini adalah pertandingan futsal lelaki dan wanita serta karaoke santai. Antara agensi-agensi dan jabatan yang mengadakan pameran adalah Bomba, SSM, PASAK, AADK, SME Corp, Yayasan Perak, STEP, MARA, FAMA, Jabatan Penjara Malaysia, Putra International College Ayer Keroh Melaka dan perkhidmatan kaunter bayaran saman trafik. Gerai makanan dan minuman juga dibuka untuk kemudahan pengunjung.
TRONOH, PERAK, 23 September 2022 – Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat serta Ceramah Kuliah Dhuha Siri 3 dianjurkan oleh Unit Bina Insan telah diadakan di Surau At-Taqwa Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak. Antara yang menyertai majlis ini adalah Kakitangan Apbm, Kontraktor Landskap dan Kebersihan.
Penceramah bagi majlis keagamaan ini disampaikan oleh Alfadhil Ustaz Amirul Aris, dari Akademi Pengajian Islam, Darul Furqan Batu Gajah, Perak. Tajuk ceramah beliau adalah “Al-Quran : Teman Hidup Dan Matiku”. Majlis ini bertujuan untuk mengimarahkan lagi Surau At-Taqwa APBM Batu Gajah dan seterusnya mendapat ganjaran pahala daripada Allah S.W.T.