MIRI, 20 OKTOBER 2025 – PBSB Miri mengucapkan setinggi tahniah kepada belia kelahiran Miri, Cik Rapunzel Anthony Jamuh yang telah menerima pengiktirafan Anugerah Belia Sarawak 2025 bagi Kategori Wanita di Dewan Suarah Bintulu semasa Majlis Penutupan Minggu Belia Sarawak anjuran Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak pada 19 Oktober 2025.
Cik Rapunzel Anthony Jamuh, 28 tahun, telah bergiat aktif selama lima tahun dalam pelbagai kelab, persatuan serta program kemasyarakatan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Beliau juga pernah menerima pengiktirafan Anugerah Perdana Belia Negara Negeri Sarawak 2024 & 2025. Semoga dengan pengiktirafan ini akan terus menyuntik semangat Rapunzel untuk aktif dalam pembangunan belia dan menjadi inspirasi buat belia di negeri Sarawak.
KUCHING, 17 Oktober 2025 - Program Integrasi Belia Semenanjung - Sarawak Tahun 2025 telah berlangsung dari 12 hingga 17 Oktober 2025 di Sekitar Kuching dan Kampung Darul Islam Belimbing, Padawan. Seramai 40 peserta terlibat dalam program ini yang terdiri daripada 20 orang belia dari Semenanjung Malaysia dan 20 orang belia dari Negeri Sarawak. Program anjuran Unit Integrasi dan Pengantarabangsaan Belia, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara bersama Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran belia terhadap kepentingan perpaduan pelbagai etnik, memupuk semangat jatidiri dan toleransi dalam kalangan belia dari pelbagai latar belakang dan memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan belia Malaysia.
Sepanjang enam hari program, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti seperti sesi ice breaking, Aktiviti Singkap Sejarah, Sesi Perkongsian bersama SABERKAS, Aktiviti Sukan, Lawatan Ke Tempat Institusi, Explore Run, Bengkel Kepimpinan, Sesi Perkongsian Budaya, Khidmat Komuniti dan Sesi bersama Keluarga Angkat di Kampung Darul Islam Belimbing, Padawan. Melalui pendekatan ini, belia bukan sahaja dapat memperluas pengetahuan tentang kepelbagaian budaya dan gaya hidup masyarakat setempat, malah turut memupuk semangat kerjasama serta toleransi antara satu sama lain. Program ini menjadi platform penting dalam melahirkan belia yang berdaya saing, berwawasan, dan berjiwa Malaysia.
BETONG, 20 Oktober 2025 – Program Mobilisasi Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Bahagian Betong telah dilaksanakan pada 18 Oktober 2025 bertempat di Pentas Utama Sri Kalaka, Saratok sempena sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Betong. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Belia Kampung Pusa dan Giat Mara Saratok.
Objektif program ini adalah untuk menjadikan kesukarelawanan sebagai suatu gaya hidup bagi membentuk peribadi belia yang positif serta komited dalam membantu masyarakat dan negara. Antara aktiviti yang dilakukan adalah membantu persiapan tempat serta melakukan kerja-kerja pembersihan semasa dan selepas program.
Cik Nurulzamzam binti Hj. Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong turut serta dalam aktiviti yang dilaksanakan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang terlibat.
BETONG, 20 Oktober 2025 - Sambutan Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) Peringkat Bahagian Betong telah berlangsung pada 18 Oktober 2025 dengan penuh meriah dan semangat kesukanan di Pentas Utama Sri Kalaka, Saratok.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohamad bin Duri, Ahli Dewan Undangan Negeri N.38 Kalaka, yang turut menyertai sesi senam cergas bersama masyarakat setempat sebagai simbolik komitmen terhadap gaya hidup sihat dan aktif.
Di majlis yang sama, YB Tuan Haji Mohamad bin Duri turut melakukan pelepasan rasmi bagi Kayuhan Madani sejauh 10 km dan Larian Ria Madani sejauh 5 km yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penjawat awam, NGO.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sebagai pengisian sambutan, antaranya:
• Pertandingan Street Soccer
• Pertandingan Timang Bola Takraw
• Pertandingan Mewarna untuk Kanak-kanak dan Warga Emas
• Aktiviti Sukaneka
• Aktiviti "Mari Mencuba Snake and Ladder"
• Jualan Agro Madani
• Pameran dan Saringan Kesihatan
Hadir sama, Encik Muhammad Dino Bin Amid, Pegawai Daerah Saratok wakil Residen Bahagian Betong, Mohd Javani Rashwan bin Zaidul, Penolong Pegawai Tadbir Bahagian Perancangan dan Pengurusan Sosial, Pejabat Residen Bahagian Betong, Cik Nurulzamzam bt Hj Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong, Puan Stefanie anak Seli, Wakil Setiausaha Majlis Daerah Saratok, Puan Sandra anak Luna, Wakil Jurutera Bahagian Betong, Puan Helmi binti Bojeng, Wakil Mixter Netball Club, Ketua-Ketua Dan Wakil Jabatan dan Ketua-Ketua Masyarakat.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan HSN2025 kali ini. Kejayaan sambutan Hari Sukan Negara 2025 ini adalah hasil kerjasama erat semua pihak. Diharapkan semangat sukan, gaya hidup sihat dan nilai perpaduan yang ditanam melalui program ini akan terus dikekalkan dalam komuniti kita.
Sri Aman, 17 Oktober 2025 - Sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Sarawak 2025, pelbagai aktiviti malam telah diadakan pada 17 Oktober 2025 di perkarangan Kompleks Sukan Tertutup Sri Aman. Antara pengisian menarik ialah aktiviti glamping dan pertandingan karaoke yang berjaya menarik penyertaan ramai pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Suasana malam tersebut berlangsung meriah dengan semangat kesukanan dan kekeluargaan, di mana peserta glamping menikmati pengalaman bermalam dalam suasana santai dan harmoni. Pertandingan karaoke pula menjadi tumpuan utama apabila peserta menunjukkan bakat nyanyian masing-masing dengan penuh semangat dan kreativiti.
Penganjuran aktiviti malam ini bukan sahaja menambahkan keceriaan menjelang acara kemuncak HSN pada 18 Oktober, malah turut memperkukuh semangat perpaduan dan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat setempat. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
SRI AMAN, 18 Oktober 2025 – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Sarawak 2025 berlangsung meriah di Kompleks Sukan Sri Aman dengan kehadiran lebih 10,500 orang peserta dan pengunjung yang membanjiri lokasi sejak awal pagi.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, yang menyeru masyarakat menjadikan amalan bersukan sebagai gaya hidup sihat dan rutin harian.
Turut hadir memeriahkan acara ialah YB Datuk Francis Harden Anak Hollis, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat; YB Puan Dayang Noorazah Binti Haji Awang Sohor, ADUN N.28 Lingga; Tuan Mahra Bin Salleh, Residen Bahagian Sri Aman; Tuan Dennis Bunyam, Ketua Polis Daerah Sri Aman; Encik Mohd Nizam bin Ismail, Pengarah Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan, Bahagian Pembangunan Sukan JBS Negara; serta Encik Lamat anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Antara aktiviti utama yang menarik penyertaan ramai ialah Kayuhan Ria Madani 30KM dan Larian Ria Madani 10KM, di samping senamrobik, sukan tradisional, pertandingan sukan rakyat, dan pameran kesihatan.
Sambutan ini membuktikan komitmen masyarakat Sarawak dalam menyokong usaha kerajaan memperkukuh budaya sukan demi kesejahteraan fizikal, mental dan perpaduan komuniti.
Sarikei, 19 Oktober 2025 : Satu Program Senaman Warga Emas Peringkat Bahagian Sarikei Siri 10 telah dilaksanakan di Rumah Panjang Alen yang dilaksanakan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Goyang Sarikei yang diketuai oleh pengerusi kelab itu sendiri, Encik Haslie Bin Umar. Program ini menyediakan golongan warga emas yang sihat dan aktif menjelang 2030 (Negara Menua). Mempromosikan aktiviti senaman dan kecergasan dalam kalangan warga emas bagi mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat. Menyokong usaha kerajaan bagi memastikan warga emas mendapat kesaksamaan sosial dari segi penglibatan dalam aktiviti sukan dan kecergasan. Jutaan terima kasih kepada peserta yang hadir menyokong program ini. Siri ini merupakan penutup tirai bagi Program Senaman Warga Emas Peringkat Bahagian Sarikei 2025. PBSB Sarikei mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini. Jumpa lagi di tahun hadapan!
Sarikei, 19 Oktober 2025 : Bersempena sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Sarikei 2025, PBSB Sarikei dengan kerjasama Kelab Memanah Tradisional Perkasa berjaya menganjurkan program Aerobicthon Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2025. Sambutan amat menggalakkan. Johan dimenangi oleh Team Aktive Lady Soul, Naib Johan IPG Kampus Rajang, Ketiga Team Senja Nan Merah, Keempat Royalty dan KeLima Team Queen Bee. Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh En. Abdul Rani Bin Jemi. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk memupuk semangat bersukan dan menyerlahkan bakat masyarakat dalam aktiviti sihat dan bermanfaat. Menyediakan peluang peningkatan pengetahuan dan kemahiran di dalam aktiviti kecergasan.
Tahniah kepada mereka yang berjaya, jumpa lagi ditahun hadapan.
SARIKEI, 18 Oktober 2025 : Sambutan Hari Sukan Negara yang dianjurkan pada setiap bulan Oktober, sejak tahun 2015 adalah bagi merealisasikan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk menggalak dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang membudayakan sukan seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030. Bahagian Sarikei telah menganjurkan program tersebut pada 17-19 Oktober 2025 dan majlis perasmian telah diadakan pada 18 Oktober 2025 di Dewan Suarah Sarikei. Sebanyak 11 acara termasuk Program Ikonik - Mass Fit Aerobic, Program Teras - Larian Ria Madani dan Kayuhan Madani telah dianjurkan pada sambutan kali ini. Seramai 33, 089 orang atau 34.8% penduduk Bahagian Sarikei menyertai aktiviti Hari Sukan Negara pada tahun ini. Sambutan hangat terhadap program Hari Sukan Negara membuktikan ramai rakyat telah sedar berkenaan kepentingan bersukan serta mengamalkan gaya hidup sihat. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Pemanca Chan Phan Chan mewakili YB Dato' Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen P.208 dan ADUN N.45 Repok. Hadir bersama ialah Y.Brs Tuan Badjuri bin Hj. Bidin, Timbalan Residen Bahagian Sarikei merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Sukan Negara 2025 peringkat Bahagian Sarikei.
PBSB Sarikei merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Hari Sukan Negara peringkat Bahagian Sarikei.