SARIKEI, 26 Mac 2026 : YB Tuan Mordi anak Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan telah mengadakan sesi perjumpaan bersama Pengarah, Pengurusan Jabatan dan Ketua-Ketua Bahagian, Pengarah IKBN Miri, PJS Rantau Sarawak dan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia.
Perjumpaan ini diadakan bertujuan mendapatkan maklumbalas berkenaan perancangan dan pelaksanaan program pembangunan Belia, Sukan dan Rakan Muda. Hadir bersama secara atas talian ialah Encik Mohd Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei.
KUCHING, 12 Mac 2026 - Pegawai Bahagian Pembangunan Sukan JBSN Sarawak Sertai Sesi Taklimat Atas Talian Berkaitan Program Sukan Negeri
Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSN Sarawak) menghadiri sesi taklimat secara atas talian bagi membincangkan pelaksanaan dan penyelarasan program pembangunan sukan di peringkat negeri. Sesi ini disertai oleh Puan Fatimah bt Abdul Rahman, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, bersama Encik Dennis Anak Dempi dan Encik Rawing Anak Uking daripada Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan.
Bagi Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan, program yang melibatkan JBS Negeri dan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian termasuklah Liga Sukan Komuniti, Program Sukan Baharu, Tayangan Skrin Besar serta Anugerah Sukan Untuk Semua.
Sehubungan itu, satu sesi perbincangan dan taklimat diadakan untuk meneliti setiap program bagi memastikan konsep pelaksanaan dapat diselaras dengan lebih lancar dan teratur.
Mesyuarat dipengerusikan oleh YBrs. Encik Mohd Nizam bin Ismail, Pengarah Cawangan Penggalakan & Pembangunan Sukan, dan menjadi platform perkongsian maklumat serta panduan pelaksanaan program secara efektif.
SAMARAHAN, 10 Mac 2026 – Jawatankuasa Sukan dan Sosial Wisma Persekutuan Kota Samarahan telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Sosial Bil.1/2026 bagi membincangkan perancangan Majlis Ramah Tamah Hari Raya 2026 JPPBGPS Bahagian Samarahan. Mesyuarat tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Wisma Persekutuan Kota Samarahan dengan kehadiran semua Ketua Jabatan di Wisma Persekutuan Kota Samarahan.
Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pegawai Belia dan Sukan Samarahan selaku Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Sosial yang menekankan kepentingan kerjasama erat antara semua jabatan bagi memastikan penganjuran majlis tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan meriah.
Antara agenda utama mesyuarat ialah pembentangan serta penerangan berkaitan pelaksanaan Majlis Ramah Tamah Hari Raya 2026 JPPBGPS Bahagian Samarahan yang merangkumi konsep penganjuran, atur cara majlis serta penyelarasan persiapan awal program.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan penubuhan jawatankuasa kerja serta pembahagian tugas kepada setiap jabatan yang terlibat bagi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan secara sistematik dan teratur.
Melalui mesyuarat ini, diharapkan Majlis Ramah Tamah Hari Raya yang bakal dianjurkan nanti dapat menjadi platform mempereratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga jabatan di Wisma Persekutuan Kota Samarahan.
KUCHING, 10 Mac 2026 – Bagi memastikan kelancaran penganjuran Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Sarawak 2026, satu Mesyuarat Penyelarasan telah dibentangkan oleh Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan bertempat di Bilik Mesyuarat Santubong, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Tuan Lamat Anak Nyalau yang menekankan kepentingan kerjasama dan komitmen padu daripada semua pihak dalam memastikan setiap perancangan program dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Program yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mac 2026 di Masjid Al-Malik, Taman Unigarden, Kota Samarahan ini dijangka menjadi platform terbaik dalam menyemarakkan penglibatan golongan belia melalui pelbagai pengisian kerohanian sepanjang bulan Ramadan.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil daripada Bahagian Pembangunan Belia, Bahagian Pembangunan Sukan, Bahagian Pembangunan Rakan Muda serta Cawangan Pentadbiran dan Perkhidmatan dan Cawangan Kewangan bagi membincangkan penyelarasan tugasan serta persiapan rapi menjelang pelaksanaan program tersebut.
Melalui perbincangan yang konstruktif, setiap aspek perancangan telah diperhalusi bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar sekali gus memperkukuhkan peranan masjid sebagai pusat pembangunan sahsiah belia dan komuniti.
SAMARAHAN, 3 Mac 2026 – Pegawai-Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan telah menghadiri Taklimat Program Bahagian Pembangunan Belia Tahun 2026 yang dilaksanakan secara atas talian yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Taklimat ini diadakan sebagai platform penyelarasan awal bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan belia pada tahun 2026 dapat dilaksanakan dengan lebih terancang, tersusun dan berimpak tinggi kepada golongan belia di peringkat bahagian.
Antara pengisian utama taklimat adalah penerangan berkaitan pelaksanaan Program Pembangunan Belia Tahun 2026 yang merangkumi hala tuju, perancangan aktiviti serta kaedah pelaksanaan program di lapangan. Turut dibincangkan ialah pelaksanaan program Kem Belia @ Rakan Prihatin 2026 yang bertujuan memperkukuh semangat kesukarelawanan, kepimpinan serta jati diri dalam kalangan belia.
Selain itu, sesi perkongsian turut memberi ruang kepada Pegawai Belia dan Sukan Bahagian untuk membincangkan pelbagai isu serta cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan program pembangunan belia di peringkat akar umbi. Perbincangan ini menjadi medium penting dalam mencari penyelesaian terbaik serta memperkukuh kerjasama antara semua pihak yang terlibat.
Melalui taklimat ini, diharapkan segala perancangan program pembangunan belia bagi tahun 2026 dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada golongan belia di Sarawak. Program seumpama ini juga dilihat mampu memperkukuh peranan Jabatan Belia dan Sukan dalam melahirkan generasi belia yang aktif, berdaya saing dan berwawasan.
SAMARAHAN, 2 Mac 2026 – Warga Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan telah menyertai Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Belia dan Sukan Negara bagi bulan Februari 2026 yang berlangsung secara atas talian dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Puan Azura Binti Abidin. Dalam ucapan amanatnya, beliau menekankan kepentingan membudayakan prestasi kerja cemerlang, memperkukuh semangat kerja berpasukan serta meningkatkan komitmen berterusan dalam memperkasa agenda pembangunan belia dan sukan negara.
Majlis ini turut menyaksikan sesi pertukaran keluar masuk pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negara sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh struktur organisasi serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan jabatan.
Selain itu, penyampaian Anugerah Khas Pekerja Terbaik Bulanan JBSN turut diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan dan dedikasi pegawai dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan serta sambutan ulang tahun kelahiran pegawai yang lahir pada bulan Mac sebagai simbol penghargaan serta usaha memupuk semangat kekitaan dan keharmonian dalam kalangan warga jabatan.
SIBU, 25 MAC 2026 – Bertempat di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu (PBSB Sibu), satu majlis ringkas telah diadakan bagi menyerahkan Sijil Perakuan Pendaftaran (Borang 3) di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 kepada kelab sukan yang baharu berdaftar, iaitu Fanatic Pickleball Club.
Penyerahan sijil tersebut telah disempurnakan oleh Encik Terence Tan, Pegawai Unit Pembangunan Sukan PBSB Sibu, kepada Presiden Fanatic Pickleball Club. Majlis ini menandakan satu pencapaian penting bagi komuniti sukan di Sibu, di mana Fanatic Pickleball Club kini telah diiktiraf secara rasmi sebagai badan sukan yang sah di bawah seliaan Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Dengan adanya sijil pendaftaran ini, kelab tersebut kini mempunyai identiti undang-undang yang membolehkan mereka menjalankan aktiviti sukan dengan lebih tersusun dan profesional di peringkat komuniti, bahagian mahupun negeri.
Selain daripada sesi penyerahan sijil, pihak PBSB Sibu turut memberikan taklimat ringkas mengenai langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil oleh pihak pengurusan kelab. Beliau menekankan kepentingan pematuhan tadbir urus yang baik, termasuklah tanggungjawab menghantar laporan tahunan melalui sistem EROSA bagi memastikan status aktif kelab sentiasa terpelihara. Taklimat tersebut bertujuan untuk memberi kefahaman jelas kepada ahli jawatankuasa kelab mengenai peranan mereka selepas berdaftar.
Dalam pertemuan yang sama, pihak PBSB Sibu turut memberikan pendedahan mengenai pelbagai inisiatif dan dana yang disediakan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Antara yang disentuh termasuklah peluang permohonan geran dan bantuan dana bagi penganjuran program pembangunan sukan atau aktiviti komuniti. Melalui dana-dana ini, KBS berharap lebih banyak badan sukan dapat menggerakkan program yang mampu mencungkil bakat baharu serta mempromosikan gaya hidup aktif di kalangan masyarakat setempat.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Fanatic Pickleball Club di atas pendaftaran ini. Diharapkan pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada kelab untuk terus memartabatkan sukan pickleball di Sibu dan melahirkan atlet-atlet yang berpotensi besar pada masa hadapan.
KUCHING, 26 Mac 2026 – Sesi Dialog Kelab Belia dan Badan Sukan bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi anak Bimol, telah berlangsung di Auditorium Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak dengan penyertaan aktif wakil belia dan penggiat sukan.
Program ini bertujuan menjadi platform interaktif bagi membincangkan isu, keperluan serta cadangan penambahbaikan pembangunan belia dan sukan di Sarawak, selain mengukuhkan jaringan kerjasama antara agensi dan komuniti.
Antara pengisian utama ialah taklimat Dana Sukan Komuniti oleh Mohd Nadzrul Idzlan Bin Mohd Nor dari Bahagian Pembangunan Sukan, serta taklimat e-Bantuan Rakan Muda oleh Encik Abdul Zamrie Bin Randim dari Bahagian Pembangunan Belia.
Turut hadir, Encik Lamat Anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak serta Encik Azizi bin Johari, Pesuruhjaya Sukan Rantau Sarawak.
Sesi dialog berlangsung secara terbuka, memberi ruang kepada peserta menyuarakan pandangan sebelum diakhiri dengan penyampaian sijil dan sesi bergambar.
LIMBANG, 19 MAC 2026 –Yang Berhomat Datuh Haji Hasbi Bin Habibollah, Timbalan Menteri Pengankutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen P.221 Limbang telah menganjurkan satu majlis berbuka puasa bersama Pemimpin dan Belia pada 16 Mac 2026 bertempat di Dewan Kampung Bunga Raya Limbang.
Majlis tersebut dianjurkan bagi merapatkan lagi silaturrahim di kalangan Pemimpin, Belia dan Agensi. Selain Itu program ini memberi ruang dan peluang kepada Belia dalam menyuarakan pendapat seiring dengan saranan kerajaan agar suara belia mereka didengari.
Encik Rynnille Elsther Peter dan Encik Zaini Bin Abd Talib, dari Pejabat belia dan Sukan Bahagian Limbang telah hadir menyantuni jemputan ke majlis tersebut. Mengambil peluang di majlis tersebut, Semua pihak turut mengadakan perbincangan tentang aktiviti dan perancangan kerjasama bagi melaksanakan sepanjang ini. Semoga kerjasama yang terjalin ini akan memberikan impak positif terhadap Pembangunan Belia di Bahagian Limbang.