- JBS Sarawak
- Hits: 192
PEMERIKSAAN REKOD BUKU LOG PESERTA ANUGERAH REMAJA PERDANA RAKAN MUDA (ARPRM) PENGAKAP KELANA LIMBANG
LIMBANG, 3 FEBRUARI 2023 - Semalam telah dilakukan satu sesi pemeriksaan dan penilaian Buku Log peserta Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) bagi Pengakap Kelana Limbang. Sesi tersebut telah dijalankan oleh Puan Aimy Alisha Charlie, Pegawai Unit Pembangunan Rakan Muda PBSB Limbang dan Encik Rynnille Elsther Peter mewakili Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang.
ARPRM merupakan sebuah program pengiktirafan oleh pihak Kerajaan atas penglibatan remaja secara aktif dalam bidang-bidang yang menyumbang ke arah proses kematangan mereka. Anugerah ini diadaptasi daripada Program The Duke of Edinburgh's Award atau kini lebih dikenali sebagai The International Award for Young People yang mula diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 1956. Program anugerah antarabangsa ini kini diiktiraf di 126 buah negara di seluruh dunia.
Program anugerah ini fleksibel, bukan bersifat pertandingan, ianya memberi peluang kepada remaja disamping menekankan kepada pencapaian serta kemampuan individu. Penyertaan ARPRM terbuka kepada semua remaja yang berumur di antara 14-25 tahun tanpa mengira perbezaan jantina, agama, budaya maupun kemampuan fizikal dan mental. Terdapat tiga (3) tahap Anugerah yang boleh disertai iaitu Gangsa, Perak dan Emas. Sebelum layak ditauliahkan, para peserta perlulah menyempurnakan 4 komponen iaitu khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal dan penjelajahan lasak dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Diharapkan pada tahun ini lebih ramai belia akan menyertai program ini serta menyerlahkan potensi mereka khususnya dalam bidang kesukarelawanan.
- JBS Sarawak
- Hits: 192
