MUKAH, 8 MEI 2023 – Satu perlawanan persahabatan futsal bersempena Program Australian Futsal Malaysia Tour Mei 2023 di Mukah telah diadakan di Kompleks Sukan Komuniti Mukah. Program anjuran bersama VF Global, Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah ( MuFA) dan Australian Futsal Association (AFA) telah berlangsung pada 6 Mei 2023. Encik Zume Bin Kaiman mewakili Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah turut hadir serta menyaksikan perlawanan persahabatan tersebut.
Perlawanan persahabatan tersebut menyaksikan pertembungan antara tiga pasukan masing-masing pasukan Australia U12 A dan Australia U12 B menentang pasukan Kampung Boy FC. Pejabat mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah atas penganjuran program dan berharap agar program-program lain turut dianjurkan lagi pada masa akan datang.
MERADONG, 6 MEI 2023 - Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei (PBS6D) bersama SABERKAS Meradong dan Skuad Antidadah Sarikei telah mengadakan aktiviti kemasyarakatan di Dewan Masyarakat Bintangor di bawah segmen Modal Insan.
Program tersebut disertai oleh 110 orang belia di sekitar Bintangor yang terdiri daripada komuniti Ukhuwah Meradong, Belia Suat, Akademi Bola Sepak Kai Chung dan Persatuan Sukan Petanque Daerah Meradong. Daerah Meradong adalah aktiviti pertama Ambang Hari Belia Negara untuk Bahagian Sarikei dan aktiviti kemuncak di Daerah Sarikei adalah pada 13 Mei 2023 bertempat di Tapak Niaga Downtown Taman Selera Kampung Baru Seberang.
Acara tersebut dimulakan dengan Majlis Perasmian oleh Yang Berhormat Datuk Ding Kuong Hiing, Ahli Dewan Undangan Negeri N.46 Meradong diiringi oleh Puan Jamaika binti Marciano, Pegawai Penyelaras Program, Encik Haji Khairuldin Kalam bin Haji Daud, Pengerusi Skuad Antidadah Sarikei. Yang Berhormat Datuk berharap semoga aktiviti seperti ini diteruskan supaya dapat memupuk hubungan silaturrahim dan melahirkan sifat kesukarelawan di antara komuniti setempat khususnya golongan belia.
Turut bersama dalam program tersebut ialah Encik Abdul Rani bin Jemi, Encik Terence Tan dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei dan Encik Ley Chee Hua, Pegawai Khas Yang Berhormat Datuk Ding Kuong Hiing.
SAMARAHAN, 5 MEI 2023 - Mesyuarat pengurusan pejabat yang dipengerusikan oleh Encik Abu Zaid Bin Abu Bakar, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan telah diadakan pada 5 Mei 2023 bertempat di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan. Mesyuarat diadakan bertujuan untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan pengurusan pejabat dalam aspek pentadbiran, kewangan dan pelaksanaan program pejabat yang akan datang dengan melibatkan bersama rakan strategik di bahagian Samarahan.
Selain itu, pengerusi turut memaklumkan kepada ahli mesyuarat amanat daripada Tuan Lamat Anak Nyalau, Pengarah Belia dan Sukan Negeri Sarawak untuk mematuhi peraturan-peraturan penjawat awam yang sedia ada pada setiap masa. Pengerusi turut mengingatkan para pegawai dan kakitangan supaya sentiasa bekerjasama dalam setiap program dan urusan pejabat.
SAMARAHAN, 4 MEI 2023 - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Berhormat Datuk Hajah Rubiah Binti Haji Wang yang diadakan di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini hari ini mendapat sambutan yang meriah. Turut menghadiri majlis tersebut adalah Encik Abu Zaid Bin Abu Bakar, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan bersama kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan.
Pejabat ini ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas jemputan dan turut mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri" kepada semua.
SAMARAHAN, 3 MEI 2023 – Satu perbincangan Pertandingan Ping Pong (Berpasukan) Sempena “Samarahan Bike Challenge 2023” telah diadakan pada 3 Mei 2023 bertempat di UNIMAS. Antara perkara yang dibincangan adalah kaedah pertandingan dan peraturan pertandingan. Untuk makluman, sebanyak 12 pasukan yang akan menyertai pertandingan tersebut yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan NGO sukan.
Encik Abu Zaid Bin Abu Bakar, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan turut hadir semasa perbincangan tersebut. Selain itu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak turut serta dalam pertandingan tersebut.
SAMARAHAN, 2 MEI 2023 - Bagi mengeratkan lagi hubungan ukhwah dan kerjasama antara Kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, Puan Norliati Binti Li, Pembantu Belia dan Sukan Bahagian Samarahan telah mengadakan jamuan makan tengahari sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Turut hadir adalah Encik Abu Zaid Bin Abu Bakar, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan. Majlis yang diadakan sungguh meriah dihadiri oleh semua kakitangan dan kaum keluarga.
Pejabat ini ingin merakamkan ucapan terima kasih atas jemputan dan turut mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri" kepada semua.
Disediakan oleh : Mohd Johari Abdullah, JBSN Sarawak
SARIKEI, 5 MEI 2023 - "No one left behind" itulah Team Spirit yang ada pada pegawai dan kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei. Bagi mengingati hari kelahiran Cik Wong Li Yien, Pembantu Tadbir Perkeranian dan Operasi di pejabat ini, satu majlis sederhana sambutan hari kelahiran telah diadakan di Bilik Mesyuarat PBSB Sarikei. Turut diadakan bersama adalah sambutan kecil Hari Raya Aidilfitri. Majlis ini telah dihadiri oleh semua Pegawai dan Kakitangan di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei.
Dalam ucapan aluan Y.Brs. Encik Mohd Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei, beliau telah menegaskan bahawa perlu pentingnya bekerja berpasukan dalam suasana harmoni bagi menjalankan tugasan dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Meraikan sambutan hari kelahiran juga perlu supaya tidak ada pegawai dan kakitangan yang merasakan diri dipinggirkan dan boleh menjejaskan suasana kerja berpasukan dalam keluarga kecil Team PBS6D. Kami tidak ramai tapi Team kami kuat kerana kerja berpasukan.
Disediakan oleh : Mohd Johari Abdullah, JBSN Sarawak
SARIKEI, 3 MEI 2023 - Majlis Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sarikei (MPPD) adalah satu organisasi di bawah Persekutuan Pengakap Malaysia, Cawangan Sarawak (PPMCS) Daerah Sarikei. Organisasi ini bergerak secara sukarela (Voluntary Organization) yang memberikan khidmat mengadakan aktiviti kepengakapan serta melatih ahli-ahli Pengakap di peringkat Daerah Sarikei. PPMCS Daerah Sarikei mempunyai keahlian seramai 578 orang dari 24 buah Kumpulan Pengakap Kanak-Kanak Sekolah Rendah dan 4 buah Kumpulan Pengakap Sekolah Menengah di Daerah Sarikei.
Bagi memantapkan pengurusan PPMCS Daerah Sarikei, satu Mesyuarat Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sarikei telah di adakan pada 3 Mei 2023 bertempat di Dewan Majlis Daerah Sarikei. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Tuan Zalani Hj. Sidi, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sarikei dan dihadiri oleh 9 orang Penolong Pesuruhjaya Daerah (ADC). Perbincangan mesyuarat lebih menjurus kepada Pendaftaran keahlian tahun 2023 dan perancangan aktiviti tahun 2023. Y.Brs Encik Mohd Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei yang juga Penolong Pesuruhjaya Daerah (Program) telah membentangkan Kalendar Perancangan Program Tahunan termasuk 4 program utama peringkat Daerah yang melibatkan Kursus Kepimpinan Ketua Patrol dan Ketua Sekawan serta Kem Skim Lencana Pengakap Kanak-kanak, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana. Mesyuarat ini juga dihadiri oleh Puan Jamaika binti Marciano, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei selaku Penolong Pesuruhjaya Daerah (Pentadbiran).
Dalam mesyuarat ini turut diadakan penyampaian Sijil Kepujian Ketua Pengakap dan Sijil Anugerah Yang Di Pertua Majlis Pengakap Negeri kepada beberapa orang Penolong Pesuruhjaya Daerah.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei berharap dengan adanya rakan strategik seperti PPMCS Daerah Sarikei akan dapat bekerjasama lebih erat dalam melahirkan belia yang berdisiplin, patriotik, berdaya saing serta mempunyai jatidiri yang tinggi sebagai pewaris masa depan Negara.
Pejabat ini juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana NGO's atau VO khususnya dalam pembangunan Belia dan Sukan di Bahagian Sarikei.
KAPIT, 5 MEI 2023 - Pejabat-pejabat kerajaan seharusnya digalakkan untuk berganding bahu dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat serta melaksanakan program agar dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan. Justeru, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit telah menerima jemputan daripada Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Kapit untuk hadir Program Randau Sahabat bertempat di Bunggas Cafe, Kapit pada pagi tadi.
En. Mohd Saufi Omar, Pegawai Penerangan Daerah Kapit menyatakan bahawa program ini dianjurkan adalah untuk mewujudkan kerjasama dan mengeratkan hubungan silaturahim di antara pejabat-pejabat kerajaan di Bahagian Kapit. Selain itu, program ini juga adalah sebagai salah satu platform untuk pejabat saling bertukar pendapat dan pandangan bagi membantu melaksanakan pelbagai aktiviti yang dirangka sepanjang tahun ini.
Di samping itu, Puan Olivia Kaminis juga menggunakan kesempatan ini untuk mempromosikan Program Ambang Hari Belia Negara (HBN) 2023 yang bakal dilaksanakan pada bulan ini. Program Ambang HBN2023 ini akan diadakan di semua daerah di Bahagian Kapit. JAPEN Kapit juga akan membantu dalam membuat hebahan berkenaan program ini kepada masyarakat dan turut serta ke Program Ambang HBN2023 Peringkat Daerah Kapit di Pusat GIATMARA Kapit pada 10 Mei ini. Pihak pejabat ingin mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan berharap agar hubungan kerjasama dua hala ini dapat dikekalkan sepanjang masa.