BETONG, 14 Mei 2026 – Satu taklimat pelaksanaan Program Inspire i-Talent 2026 telah diadakan secara dalam talian pada 12 Mei 2026 bagi membincangkan persiapan dan pelaksanaan program tersebut di peringkat bahagian. Program Inspire i-Talent 2026 akan dilaksanakan di setiap bahagian manakala pelaksanaan bagi Bahagian Betong dijadualkan berlangsung pada 9 Jun 2026.
Obektif utama program ini adalah untuk mengenalpasti bakat asas dan potensi keupayaan sukan dalam kalangan OKU dan menyuntik semangat serta menggalakkan golongan tersebut untuk lebih aktif bersukan. Turut hadir dalam taklimat tersebut ialah Cik Nurulzamzam bt Hj Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong.
KAPIT, 14 Mei 2026 – Persiapan terakhir bagi sambutan Semarak Belia @Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Kapit 2026 tinggal beberapa jam lagi menjelang esok tanggal 15 Mei 2025 yang bakal berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit No. 2.
Persiapan pada petang tadi telah dibantu oleh warga kerja SMK Kapit No. 2 Kelab Belia Pekan Kapit. Raptai penuh juga diadakan bersama dengan pentadbiran SMK Kapit No. 2 dimana persiapan merangkumi pemeriksaan fizikal lokasi, teknikal, logistik dan pengisian acara untuk memastikan kelancaran program pada hari esok. Semoga sambutan Semarak Belia @HBN esok akan berjalan lancar.
Pertandingan Ping Pong Terbuka Komuniti Daerah Bau Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 13 Mei 2026 – Dana Sukan Komuniti banyak memberi sokongan kewangan kepada kelab atau persatuan di peringkat Daerah dan Bahagian untuk penganjuran program sukan komuniti yang berimpak positif. Ini terbukti dengan kejayaan Kelab Sukan Rekreasi Kolej Komuniti Mas Gading menganjurkan Pertandingan Ping Pong Terbuka Komuniti Bau bertempat di Dewan SK Chung Hua, Bau pada 9 Mei 2026 yang lepas.
Seramai 54 orang peserta lelaki dan 19 orang peserta wanita telah menyertai pertandingan ini. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Encik Ernest Lee Ming Ern, Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, mewakili Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Turut hadir di majlis tersebut ialah Encik Khalid Husseine Tuah, Pengarah Kolej Komuniti Mas Gading, Bau.
13 MEI 2026, SIBU - Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Sibu 2026 telah berjaya diadakan pada 13 Mei 2026 bertempat di SMK Ulu Balingian dengan penyertaan aktif golongan belia, pelajar serta komuniti setempat dalam memeriahkan sambutan yang penuh bermakna ini.
Majlis telah dirasmikan oleh Encik Yalin Asan, Pegawai Daerah Selangau yang dalam ucapannya menekankan bahawa golongan belia merupakan aset penting negara dan pemangkin utama kepada pembangunan masyarakat yang progresif, berdaya saing serta berintegriti. Beliau turut menyeru agar para belia terus memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran kepimpinan dan semangat kesukarelawanan demi memastikan mereka mampu menjadi generasi pelapis yang cemerlang pada masa hadapan.
Program ini dianjurkan bagi menyemarakkan sambutan Hari Belia Negara di samping memberi pendedahan kepada para belia mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam pembangunan negara. Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program berlangsung termasuk sesi perkongsian motivasi, aktiviti interaktif dan penglibatan komuniti yang berjaya memupuk semangat perpaduan, kerjasama serta jati diri dalam kalangan peserta.
Golongan belia memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan masa depan negara kerana mereka merupakan generasi penerus kepimpinan dan tenaga penggerak pembangunan. Belia bukan sahaja perlu aktif dalam bidang akademik dan kerjaya, malah perlu mempunyai nilai patriotisme, disiplin serta keprihatinan terhadap isu sosial dan pembangunan komuniti. Dengan penglibatan aktif dalam program-program pembangunan belia seperti ini, para belia dapat membentuk sahsiah diri yang positif serta meningkatkan keyakinan untuk menyumbang kepada kemajuan negara.
Penganjuran Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Sibu 2026 diharap dapat menjadi platform terbaik dalam melahirkan generasi belia yang berwawasan, berdaya tahan dan mampu menjadi agen perubahan ke arah pembangunan negara yang lebih mampan dan sejahtera.
Kuching, 13 Mei 2026 - Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSN Sarawak) telah menggerakkan langkah awal bagi menjayakan Sambutan Festival Belia@Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak 2026 pada 23 Mei ini di REDEEMS Centre, Singai, Bau.
Satu mesyuarat penyelarasan aktiviti dan penyertaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Santubong, JBSN Sarawak pada pagi semalam. Mesyuarat ini melibatkan pelbagai agensi strategik termasuk wakil dari UNIMAS, i-CATS, PERKESO, serta jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan. Agenda utama memfokuskan kepada taklimat program dan penubuhan jawatankuasa khusus bagi memastikan pengiktirafan terbaik diberikan kepada golongan belia yang telah banyak menyumbang kepada negara.
Inisiatif ini membuktikan komitmen JBSN Sarawak dalam memperkasakan agenda belia di bawah semangat "Malaysia MADANI".
KUCHING, 13 Mei 2026 – Pada 9 dan 10 Mei 2026 yang lepas, Kelab Belia Prihatin Bandar Kuching dengan kerjasama Kelab Karom Ohaa Kuching telah berjaya menganjurkan Kejohanan Karom Terbuka KEPRI 2026 bertempat di The Hills, Kuching. Seramai 348 peserta, telah menyertai kejohanan ini. Yang berbahagia Tuan Abg Abdul Aziz Datuk Abg Drauf, Setiausaha Politik kepada YAB Premier Sarawak telah merasmikan kejohanan ini pada 9 Mei 2026, manakala majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Cik Margaret Sawing dari PBSB Kuching pada 10 Mei 2026. Kejohanan ini dianjurkan menggunakan Dana Sukan Komuniti.
SARIKEI, 12 Mei 2026 : Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei dalam proses untuk memohon ruang pejabat yang akan menempatkan Pejabat Pegawai Belia dan Sukan Bahagian, Bilik Mesyuarat, Bilik Fail dan Utiliti di Wisma Negeri, Sarikei.
Satu lawatan bersama pihak Jabatan Kerja Raya Bahagian Sarikei telah diadakan bagi memeriksa ketersediaan dan kesesuaian ruang pejabat baharu yang bakal diduduki nanti.
Pejabat ini merakamkan penghargaan terima kasih kepada YBhg. Datu Residen Bahagian Sarikei serta Jabatan Kerja Raya Bahagian Sarikei kerana telah berusaha membantu pejabat ini mendapat ruang bagi pejabat baharu.
Kuching, 13 Mei 2026- Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSN Sarawak) hari ini telah menganjurkan Program Ceramah Kesihatan dan Ujian Saringan Kesihatan khusus buat semua warga kerja Ibu Pejabat. Program yang berlangsung di Auditorium Kompleks Belia dan Sukan ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai gaya hidup sihat di tempat kerja.
Dua pengisian utama telah disampaikan oleh pakar daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching. Ceramah pertama bertajuk "Kesejahteraan Minda di Tempat Kerja" disampaikan oleh Encik Felix Thompson, manakala ceramah kedua mengenai "Pemakanan Sihat" dikendalikan oleh Encik Jamba Anak Endu.
Selain perkongsian ilmu, para kakitangan turut menjalani ujian saringan kesihatan yang merangkumi pemeriksaan tekanan darah, paras gula, dan Indeks Jisim Badan (BMI). Inisiatif ini selaras dengan hasrat "Malaysia MADANI" dalam melahirkan penjawat awam yang produktif dan sihat secara holistik.
Inspire i-Talent Mencungkil Bakat Sukan Orang Kurang Upaya Di Peringkat Bahagian Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 13 Mei 2026 – Pada tahun ini, program Inspire i-Talent akan dilaksanakan di semua Bahagian dan melibatkan pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian, Pejabat Pendidikan Bahagian serta MSN Bahagian. Semalam, Cawangan Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya telah mengadakan taklimat program secara atas talian bagi memberi penerangan lebih lanjut tentang pelaksanaan program itu nanti.
PBSB Kuching akan mengadakan Inspire i-Talent ini pada 10 Jun 2026 bertempat di dewan serbaguna Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak dengan dibantu oleh agensi-agensi yang telah dilantik. Objektif utama program ini adalah mengenalpasti bakat asas keupayaan sukan bagi OKU untuk diketengahkan ke peringkat prestasi tinggi dan sebagai pelapis atlet para Negara. Di samping itu, ianya dapat membina keyakinan diri dan peluang melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sukan.