Disediakan oleh : Mohammad Arbi Bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 25 JUN 2024 – Liga Sukan Komuniti bahagian Mukah baru-baru ini diteruskan dengan sukan sepak takraw yang telah berlangsung pada 22 Jun 2024 di Dewan Sukan Tertutup MYSED Mukah. Penglibatan sebanyak 16 pasukan dalam kejohanan ini dengan pelbagai agensi, kelab dan peminat sukan sepak takraw di bahagian Mukah membuktikan bahawa sukan ini antara yang diminati masyarakat di Mukah. Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Bahagian Mukah (PESTAM) merupakan platform bagi pembangunan sukan sepak takraw selain dapat memupuk perpaduan dalam kalangan komunti setempat.
Kejohanan tersebut menyaksikan pasukan N.57 Worrior telah menjuarai saingan di peringkat akhir menentang pasukan Man Eleven masing - masing merangkul hadiah wang tunai RM 500.00 dan RM 300.00 beserta pingat dan sijil penyertaan sekaligus pasukan johan dan naib johan akan mewakili bahagian Mukah ke peringkat Sarawak yang akan berlangsung pada penghujung Julai 2024. Manakala tempat ketiga bersama telah dimenangi pasukan STC Vipers dan Annur Enterprise II. Hadiah kemenangan telah disampaikan Encik Syahrulizan Bin Madian, Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Mukah (PESTAM). Hadir sama Encik Mohammad Arbi Bin Rosli, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah.
Yang Berhormat Dato Hajah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi, merangkap Ahli Parlimen P.213 Mukah turut berkesempatan hadir ke Dewan Sukan Tertutup MYSED Mukah menyaksikan perlawanan tersebut. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran dan sokongan Yang Berhormat Dato ke program-program yang telah dianjurkan. Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada Persatuan Sepak Takraw Bahagian Mukah (PESTAM) yang banyak membantu pajabat dalam melancarkan dan menjayakan program.
- JBS Sarawak
- Hits: 160
