SELAMAT DATANG DIUCAPKAN KEPADA ENCIK ABDUL SAIFFUDIN BALAK Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 25 APRIL 2025 – Encik Abdul Saiffuddin Balak, Pembantu Belia dan Sukan Gred S2 yang telah melapor diri bertugas di PBSB Kuching pada 21 April 2025 yang lalu. Beliau sebelum ini bertugas sebagai Pembantu Kesatria Gred S19 di IKBN Miri sejak tahun 2003 dan kemudiannya dinaikkan pangkat ke Pembantu Kesatria Gred S22 pada tahun 2016. Kemudiannya beliau telah diserap ke jawatan Pembantu Belia dan Sukan Gred S22 pada tahun 2022 apabila jawatan Pembantu Kesatria Gred 19 dijumudkan.
BINTANGOR, 24 April 2025 : Jawatankuasa Menangani Isu Dadah dan Substan (MIDS) di bawah Pejabat Daerah Sarikei telah memohon kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei sebagai rakan strategik untuk merangka dan melaksanakan Kem Pemantapan Jati Diri Belia peringkat daerah Sarikei. Encik Mohd. Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei telah diberi kepercayaan untuk membuat kertas kerja dan menggubal modul pelaksanaan tersebut. Bagi memberi gambaran jelas berkenaan kawasan aktiviti yang dipilih, satu lawatan tapak ke Pusat Latihan Ko-Kurikulum (PULAKO), Institut Pendidikan Guru Kampus Rejang telah diadakan untuk mengenalpasti kesesuaian tempat dan fasiliti di PULAKO, IPGK Rajang.Hadir bersama dalam lawatan ini ialah Tuan Shahmen bin Abdullah, Setiausaha MIDS Daerah Sarikei bersama pihak pengurusan PULAKO, IPGK Rajang. Terima kasih kepada semua yang bekerjasama menjayakan lawatan ini.
Samarahan, 24 April 2025 - Seramai 178 calon telah hadir bagi Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) sempena pengambilan Pegawai Kadet Diplomatik (PTD) Gred M41 Tahun 2025 yang berlangsung pada 21 hingga 24 April 2025 bertempat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Sarawak.
Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak turut menyumbang tenaga sebagai penguji UKJK, seramai 4 orang pegawai, manakala Encik Awangku Adi Azwan telah dilantik sebagai Penolong Ketua Penguji bagi pelaksanaan ujian ini.
Komitmen semua yang terlibat amat dihargai dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan program ini.
Betong, 24 APRIL 2025 – Satu sesi kunjungan hormat Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong yang diwakili oleh Encik Erwan Dzulfadli bin Pasah kepada Tuan Richard Michael Abunawas, Residen Bahagian Betong telah diadakan pada 14 April 2025 bertempat di Pejabat Residen Bahagian Betong.
Sesi kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk menerangkan tentang perancangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Betong Tahun 2025 yang akan diadakan dan juga mendapatkan pandangan serta nasihat daripada Tuan Residen mengenai pengisian semasa majlis perundingan itu nanti. Pihak pejabat mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Residen kerana sudi meluangkan masa dan memberi buah fikiran semasa kunjungan tersebut.
MIRI, 24 APRIL 2025 – Puan Stephanie Wendy anak Stamford, Pegawai Unit Pembangunan Belia PBSB Miri telah menyantuni jemputan APBM Port Dickson sebagai penceramah bagi program Jelajah Profesionalisme Kerja Belia ILKBS yang dilaksanakan di IKBN Miri, hari ini.
Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar pelbagai jurusan di IKBN Miri menghadiri sesi program tersebut. Program yang dilaksanakan selama 1 hari tersebut adalah bertujuan untuk memberi pendedahan berkenaan pekerja belia untuk menjadi lebih dinamik dan progresif, strategi pemerkasaan pengiktirafan profesionalisme kerja belia amat diperlukan.
PBSB Miri mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak APBM Port Dickson di atas kepercayaan untuk membuat perkongsian ilmu dan informasi Profesionalisme Kerja Belia. Semoga program ini akan membuka minda golongan belia terutamanya IKBN Miri untuk melihat profesyen kerja belia sebagai satu bidang yang sangat diperlukan bagi meneruskan kesinambungan pembangunan belia di negara ini.
Disediakan oleh : Mohammad Arbi bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 24 APRIL 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah telah dijemput hadir ke Majlis Hari Bersama Pelanggan dan Ramah Tamah Aidilfitri Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Mukah pada 24 April 2025 bertempat di Dewan Sri Pekala, Kuala Lama Mukah. Program tersebut telah dihadiri ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat, ketua kaum, kakitangan jabatan dan komuniti setempat.
Kehadiran Yang Berhormat Tuan Royston Valentine, Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak N.57 Tellian menyerikan program dan turut beramah mesra bersama tetamu yang hadir. Encik Mohammad Arbi Rosli, Puan Noorlina Binti Mirais dan Puan Hatijah Binti Halidi telah mewakili pejabat ke majlis tersebut. Pejabat mengucapkan ribuan terima kasih atas jemputan.
BETONG, 24 APRIL 2025 – Kelab Belia Pekan Debak (KBPD) dan Kelab Sukan Rekreasi Laserlight (KSRLL) telah menganjur Kejohanan Futsal Terbuka Lelaki Piala KBPD dan Kejohanan Futsal Terbuka Wanita Piala Laserlight pada 18-20 April 2025 bertempat di Riveria Sports Centre, Debak. Sebanyak 25 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita telah menyertai kejohanan tersebut.
Acara kemuncak kejohanan adalah pada 20 April 2025. Aksi perlawanan akhir telah berlangsung pada jam 2.15 petang dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Mohamad Razi bin Sitam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN N.35 Saribas, Yang Berusaha Encik Lamat anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kecil Debak serta komuniti setempat.
Syabas kepada kedua-dua kelab atas kejayaan penganjuran kejohanan tersebut dan tahniah kepada semua pasukan yang telah menyertai kejohanan. Semoga ianya dapat menjadi pemangkin untuk meneruskan usaha meningkat kualiti permainan dan mencapai kejayaan berterusan di masa akan datang.
Pelaksanaan kejohanan telah disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak di bawah Dana Sukan Komuniti (DSK). Untuk keterangan lanjut mengenai DSK, sila klik https://www.kbs.gov.my/dsk .
MIRI, 24 APRIL 2025 – Encik Roger Danny dari Unit Pembangunan Sukan telah mewakili Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri dalam sesi lawatan tapak bagi Program Miri City Car-Free Day yang diadakan di perkarangan Dewan Bandaraya Miri. Program ini merupakan inisiatif anjuran Seksyen Pembangunan Lestari (SDG), Majlis Bandaraya Miri.
Lawatan ini bertujuan untuk memastikan segala perancangan yang telah dibincangkan sebelum ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah wakil-wakil agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan terlibat secara langsung dalam penganjuran program berkenaan.
Pelbagai aktiviti menarik bakal menanti warga Miri pada hari pelaksanaan program yang dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu, 3 Mei 2025, bertempat di Dewan Bandaraya Miri, Marina Bay.
Orang ramai, khususnya warga Miri, dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Program Miri City Car-Free Day 2025 ini.
SIBU, 23 APRIL 2025 – Pustaka Negeri Sarawak Sibu telah mengadakan Program jom baca bersama 10 minit dan majlis ramah tamah aidilfitri yang bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat dan mempromosikan budaya ilmu. Manakala program jom baca 10 minit juga bertujuan mendorong rakyat Malaysia mengamalkan budaya mebaca, bermula dengan langkah kecil 10 minit. Program ini melambangkan komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan seharian serta menyemarakkan minat terhadap ilmu pengetahuan. Kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu turut hadir memeriahkan acara program tersebut yang telah disempurnakan oleh Encik Fairul Azli Banchit selaku Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Sibu. Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian Anugerah Penghargaan Pengguna Aktif 2024 kategori kanak-kanak, dewasa, staff dan organisasi.