SAMARAHAN, 23 JUN 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran Pesta Gedong Bil. 3/2025 telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Gedong pada 23 Jun 2025 jam 2:30 petang yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Tamida Bin Da’adi, Pegawai Daerah Gedong.
Pesta Gedong 2025 pada 25-27 Julai 2025 bertempat di Pekan Gedong terdapat 23 aktiviti yang bakal dilaksanakan bagi memeriahkan pesta ini. Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Samarahan akan mengadakan aktiviti Orang Kuat Gedong Edisi 2025 dan Pertandingan Body Fitness 2025 yang akan diadakan pada 26 Julai 2025.
Mesyuarat telah dihadiri oleh Encik Abu Bin Amair dan Encik Mark Leroy daripada Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Samarahan.
SAMARAHAN, 28 JUN 2025 - Program Kemahiran Asas Sukan (KLAS) Renang FASA 1/2025 Bahagian Samarahan di Kolam Renang Power Penguin, Kota Samarahan. Program KLAS Renang telah dilaksanakan selama 6 sesi latihan bermula 28 June 2025 .Program KLAS Renang ini telah melibatkan seramai 40 orang peserta kanak kanak yang terdiri daripada golongan B40 yang berumur 6 tahun - 12 tahun.
Para peserta akan didedahkan dengan teknik asas berenang. Antara objektif program ini adalah meningkatkan ilmu pengetahuan tentang kaedah berenang yang betul dan selamat di kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun. Mengatasi ketakutan dalam air melalui kombinasi sistem sokongan secara berperingkat sehingga peserta mahir dan selesa berada dalam air. Meningkatkan kemahiran berenang individu dalam aktiviti renang seterusnya meningkatkan kesihatan peserta.
SAMARAHAN, 22 JUN 2025 – Program Malaysia Aktif@Komuniti 2025 Peringkat Bahagian Samarahan meneruskan minggu keduanya dengan penuh semangat dan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat. Program ini diadakan setiap hujung minggu selama 12 sesi dan bertujuan untuk menyemai budaya hidup aktif, cergas dan sihat dalam kalangan komuniti Kota Samarahan.
Seperti minggu pertama, sesi kali ini yang berlangsung pada hari Sabtu melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat daripada kawasan sekitar. Aktiviti yang dijalankan pada minggu kedua ini memberi tumpuan kepada latihan cardio dan conditioning, yang bertujuan meningkatkan daya tahan tubuh serta kekuatan otot secara menyeluruh.
Program ini merupakan inisiatif kecergasan yang merangkumi aktiviti seperti senamrobik, jogging/berlari, serta pelbagai bentuk senaman lain yang disusun secara sistematik dan menyeronokkan. Ia diadakan di lokasi terbuka bagi memberi peluang lebih ramai penduduk menyertai dan merasai manfaatnya.
Dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kecergasan Kota Samarahan sebagai rakan strategik, sesi-sesi senaman dipimpin oleh jurulatih bertauliah yang memastikan setiap peserta menjalani aktiviti dengan selamat dan berkesan.
Pihak penganjur menzahirkan harapan agar lebih ramai ahli komuniti akan terus melibatkan diri sepanjang 12 minggu pelaksanaan program ini bagi mencapai matlamat jangka panjang: membentuk masyarakat yang lebih sihat dan bertenaga.
Sesi kali ini dikendalikan oleh Encik Sukiman bin Adenan dibantu oleh Puan Julia Bakri dan Puan Norlida Binti Jamali daripada Kelab Sukan dan Kecergasan Kota Samarahan.
SAMARAHAN, 21 JUN 2025 – Program Malaysia Aktif@Komuniti 2025 Peringkat Bahagian Samarahan telah bermula dengan jayanya pada Sabtu lalu bertempat di Studio Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan. Program kecergasan mingguan ini akan berlangsung selama 12 sesi pada setiap hujung minggu, melibatkan penglibatan aktif daripada masyarakat sekitar Kota Samarahan.
Program ini merupakan inisiatif yang bertujuan untuk memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kecergasan yang menyeronokkan dan menyihatkan. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk senamrobik, jogging/berlari, latihan cardio, floor exercise, serta senaman menggunakan stepboard. Setiap sesi disusun untuk memenuhi keperluan semua peringkat umur dan tahap kecergasan.
Menurut pihak penganjur, Malaysia Aktif@Komuniti bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk bersenam, malah turut berperanan sebagai platform memperkukuhkan semangat kejiranan dan interaksi sosial.
Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Kelab Sukan dan Kecergasan Kota Samarahan, dengan bimbingan daripada jurulatih bertauliah, Puan Norliati binti Li wakil dari Pejabat belia dan Sukan Bahagian Samarahan dan Encik Sukiman bin Adenan wakil dari Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan (KSKK) yang berpengalaman dalam mengendalikan pelbagai modul latihan kecergasan.
Penyertaan yang menggalakkan pada minggu pertama memberi gambaran positif terhadap sambutan program ini. Penganjur optimis lebih ramai akan turut serta dalam sesi-sesi akan datang demi mencapai matlamat membudayakan gaya hidup aktif, cergas dan sihat dalam kalangan komuniti Samarahan.
Disediakan oleh : Jamaika Binti Marciano, JBSN Sarawak
SARIKEI, 1 Julai 2025 - Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei telah mengadakan Mesyuarat Pengurusan Bil.3/2025 bertempat di Bilik Mesyuarat, Sarikei Innovation Center (SIC). Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Y.Brs Encik Mohd Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei dan dihadiri oleh semua staf. Mesyuarat ini diadakan bagi membentangkan semua aktiviti Belia, Sukan dan Rakan Muda termasuk aktiviti kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri dan NGO's. Mesyuarat turut membincangkan berkenaan tadbir urus kewangan, aset dan pentadbiran pejabat. Pengerusi berharap agar staf sentiasa bekerja dengan lebih produktif dan peka terhadap kerja-kerja yang diamanahkan dan sentiasa bekerjasama dalam melakukan semua aktiviti dan pengurusan yang dilaksanakan pada tahun 2025 dan seterusnya.
MIRI, 1 JULAI 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian (PBSB) Miri telah mengadakan Mesyuarat Pengurusan Bilangan 3/2025 yang dipengerusikan oleh Encik Roley anak Lagir, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri. Mesyuarat ini melibatkan semua kakitangan PBSB Miri.
Mesyuarat ini bertujuan untuk membentangkan laporan terkini bagi setiap unit meliputi tempoh April hingga Jun 2025. Selain itu, ia juga menjadi medan perbincangan menyeluruh melibatkan hal ehwal pentadbiran, kewangan serta perancangan program-program yang akan dilaksanakan pada suku tahun berikutnya.
Turut diberi penekanan adalah usaha penambahbaikan dari segi pengurusan dalaman pejabat, bagi memastikan kelancaran tugasan dan keberkesanan pelaksanaan program serta pengurusan organisasi.
MIRI, 1 JULAI 2025 – Satu sesi perbincangan awal bagi pelaksanaan Program Fiesta Rakan Muda Peringkat Bahagian Miri 2025 telah diadakan bersama Kolej Vokasional Miri pada 30 Jun lalu. Kehadiran pihak pejabat telah disambut oleh Encik John anak Atong, Pengarah Kolej Vokasional Miri.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Encik Roley anak Lagir, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri yang telah memberikan taklimat ringkas mengenai pengisian serta objektif utama program Fiesta Rakan Muda ini. Program Fiesta Rakan Muda Peringkat Bahagian Miri dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2025, dan antara acara utama yang bakal dilaksanakan ialah Pertandingan Doodles Art, Pertandingan Inovasi Kitar Semula, serta pelbagai aktiviti sampingan seperti pameran dan lain-lain.
Satu lagi sesi perbincangan susulan akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelaras persiapan akhir program agar berjalan lancar seperti yang dirancang.
MIRI, 1 JULAI 2025 – Program Rakan Muzik: Clash Of Buskers Peringkat Bahagian Miri 2025 telah berjaya dianjurkan pada 26 Jun lalu bertempat di Luak Esplanade. Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri ini dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Belia Bestari Bandar Miri dan Persatuan Belia Miri, serta merupakan salah satu pengisian sempena Miri City Youth Festival 7.0.
Sebanyak 10 kumpulan busker telah menyertai pertandingan ini dan mempersembahkan bakat serta kreativiti masing-masing dalam usaha merebut gelaran juara. Penjurian telah dikendalikan secara profesional oleh tiga orang juri berpengalaman iaitu Encik Amerio Evan Anak Sanjan, Encik Mellvyne Sigo, dan Encik Mohd Shahril bin Norsidi.
Pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform untuk para belia menonjolkan bakat muzik dan ekspresi seni mereka, malah turut memberi ruang kepada mereka untuk membina keyakinan diri serta mengembangkan potensi dalam bidang seni persembahan.
Keputusan rasmi pertandingan adalah seperti berikut:
Tempat Pertama: Trio Harmoni Tempat Kedua: Galau Buskers Tempat Ketiga: Floral Season
Pemenang menerima hadiah berupa wang tunai beserta mockcheque. Turut diraikan adalah semua kumpulan lain yang turut memberikan persembahan yang hebat dan penuh semangat.
BETONG, 1 Julai 2025 - Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong telah mengadakan Mesyuarat Pengurusan Jabatan pada 30 Jun 2025 bertempat di Ruang Tamu, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong. Mesyuarat pengurusan dipengerusikan oleh Cik Nurulzamzam bt. Hj. Shafiíe, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong dan dihadiri oleh semua pegawai dan kakitangan pejabat.
Mesyuarat diadakan bagi membincangkan berkenaan pengurusan pentadbiran pejabat, tadbir urus kewangan, aset&stor, pembentangan perancangan serta pelaporan program dan maklum balas dari setiap unit Belia, Sukan dan Rakan Muda yang akan datang dan yang telah dilaksanakan. Pengerusi turut menekankan supaya pegawai dan kakitangan sentiasa melaksanakan tugas dengan berintegriti, mematuhi peraturan, peka terhadap arahan dan pekeliling serta mengambil maklum untuk menyemak buku perkhidmatan masing-masing agar maklumat yang dicatat dalam buku perkhidmatan adalah selari dalam sistem HRMIS.