KUANTAN, 23 Mac – Bahagian Pembangunan Sukan dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kuantan telah menganjurkan Majlis Jamuan Ambang Ramadhan 2023 sempena kedatangan bulan Ramadhan pada tahun ini, semalam.
Majlis yang dimulakan pada jam 8.30 pagi telah dibuka dengan bacaan doa daripada Encik Najhan Mohamed. Pelbagai juadah telah disediakan bagi hidangan warga kerja Ibupejabat Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang. Majlis diserikan dengan kehadiran Encik Mu'azamir Haji Jili, Pengarah JBS Negeri Pahang.
Warga kerja Suruhanjaya Koperasi Negeri Pahang juga turut hadir memenuhi jemputan makan. Semoga Ramadhan pada tahun ini mendatangkan keberkatan dan menambahkan ketakwaan kepada Yang Maha Esa. Ramadhan sucikan jiwa, tingkatkan iman.
RAUB, 23 Mac – Program ZOOM Negeri Pahang 2022 yang dianjurkan oleh Sekretariat Rakan Muda, Universiti Multimedia Cyberjaya (MMU) telah diadakan pada 16 hingga 19 Mac 2023 di mana perjalanan program telah bermula di Kompleks Rakan Muda Raub dan berakhir di Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong, Raub.
Program ini untuk menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti komuniti setempat dan juga untuk berkongsi pendapat dan idea kepada pelajar sekolah dan masyarakat kawasan luar bandar. Program bermula dengan penyerahan anak angkat melibatkan seramai 36 orang pelajar yang telah diserahkan kepada keluarga angkat yang terdiri daripada penduduk Kampung Pamah Rawas. Antara aktiviti lain yang dijalankan bersama penduduk kampung adalah program ceramah agama bersama PU Mizi, rewang kampung dan malam kebudayaan. Antara penyumbang utama program ini adalah dari Pejabat Menteri Besar Pahang, Yayasan Universiti Multimedia dan Yayasan Telekom Malaysia. Program telah diserikan dengan kehadiran YB Encik Fadzli Mohamad Kamal, EXCO Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Raub telah diwakili oleh Puan Masyitah Fadhillah Rosdi, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Raub.
KRMSA ROMPIN, 23 Mac – Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin (KRMSAR) telah bekerjasama dengan Pejabat Hutan Daerah Rompin untuk mengenalpasti, identifikasi dan menanda pokok ru di tapak perkhemahan KRMSAR sebagai langkah awal pencegahan dan penyelesaian masalah kesihatan pokok ru.
Encik Ahmad Aizuddin Hashim, Penolong Pegawai Hutan Daerah Rompin telah memberikan tunjuk ajar dan menunjukkan contoh jenis-jenis penyakit pokok ru seperti masalah kulit pokok yang disebabkan oleh penyalahgunaan fungsi pokok seperti ikatan tali secara terus atau pemakuan di batang pokok, masalah kulat atau fungus dan masalah anai-anai. Menurut beliau, faktor ikatan tali secara terus dan pemakuan di batang pokok merupakan masalah serius dalam ekosistem pokok tersebut kerana telah merosakkan permukaan kulit dan batang pokok. Dari pemantauan, beliau mendapati masalah kulat atau fungus dan masalah anai-anai berpunca dari longgokkan pokok tumbang yang tidak diselenggara. Pokok-pokok tumbang yang berada di persekitaran boleh menjangkiti pokok-pokok hidup dan akhirnya menyebabkan masalah penyakit pokok. Beliau menasihatkan pihak pengurusan KRMSAR melakukan pembersihan kawasan persekitaran tapak perkhemahan bagi menyelamatkan pokok-pokok ru yang belum dijangkiti. Tuan Syed Zulkifli Syed Mohamad telah membuat penandaan kepada pokok-pokok ru yang perlu dihapuskan.
Turut hadir dalam sesi ini ialah Puan Norsuzila Ernie Zinudin, Pengurus KRMSAR bersama, Encik Zubi Awang, Puan Siti Alifah Hamzah, Encik Ahmad Farid Ahmad Fadzil dan Encik Safian Md Rasid.
KRMSA ROMPIN, 23 Mac – Pokok ru yang sinonim dengan kawasan persisiran pantai telah tumbuh di tapak perkhemahan sebelum Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin (KRMSAR) dibina pada tahun 2009. Pokok ru juga sesuai sebagai penghadang angin laut.
Pada 20 Mac yang lalu, pihak pengurusan KRMSAR telah memohon kerjasama dari Pejabat Hutan Daerah Rompin memberikan khidmat nasihat berkaitan pokok ru di KRMSAR. Encik Ahmad Aizuddin Hashim, Penolong Pegawai Hutan Daerah Rompin telah hadir membantu warga KRMSAR sedikit sebanyak dengan perkongsian ilmu berkaitan pokok ru termasuk proses penanaman, penjagaan rapi, penyelenggaraan dan pengidentifikasian permasalahan pokok ru. Beliau menunjukkan cara yang betul untuk proses penanaman dengan mengambilkira jarak dan kesesuaian tanah. Menurut beliau, pokok ru memerlukan penjagaan rapi di dalam proses tumbesaran seperti persekitaran yang bersih dari aktiviti kulat dan fungus serta pelaksanaan aktiviti pemangkasan dahan-dahan kecil di batang pokok ru sekurang-kurangnya 10 meter dari aras tanah. Beliau turut menasihatkan pihak pengurusan KRMSAR agar membuat penyelenggaraan pemangkasan dahan-dahan secara berkala bagi mengekalkan kesihatan pokok ru dan tidak mengganggu jangka hayat pokok ru.
Puan Norsuzila Ernie Zinudin, Pengurus KRMSAR bersama, Encik Zubi Awang, Encik Safian Md Rasid dan Tuan Syed Zulkifli Syed Mohamad telah mengambilmaklum perkongsian maklumat dan tunjuk ajar dari wakil Pejabat Hutan Daerah Rompin. Turut hadir dalam perkongsian ilmu ialah Puan Siti Alifah Hamzah dan Encik Ahmad Farid Ahmad Fadzil.
ROMPIN, 23 Mac – Warga kerja Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Rompin telah memenuhi jemputan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Rompin yang telah mengadakan Program Gotong Royong di Tanah Perkuburan Islam Kuala Rompin sempena menyambut Ramadan 1444H/2023 pada Isnin yang lalu.
Program anjuran SWCorp bersama Pejabat Agama Islam Daerah Rompin, JPKK Kuala Rompin dan Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Rompin itu telah disertai seramai lebih 50 orang peserta. Kerja-kerja membersihkan kawasan kubur diadakan bagi memastikan keselasaan pelawat kubur dan mengelakkan kehadiran haiwan berbisa yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai yang datang kebur tersebut. Aktiviti sebegini secara tidak langsung dapat mengingatkan umat Islam tentang kematian. Program tamat sekitar jam 12.00 tengahari.
Semoga agensi atau persatuan di daerah ini sentiasa mengalu-alukan keterlibatan warga kerja PBSD Rompin dalam setiap program yang dijalankan. Semoga kerjasama yang lebih utuh dapat dijalinkan dalam bersama berbakti kepada masyarakat setempat.
KUANTAN, 23 Mac – Satu mesyuarat berkala di Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang Bilangan 3 Tahun 2023 telah diadakan baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Encik Shafrul Haji Kadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, JBS Negeri Pahang. Mesyuarat ini diadakan secara berkala bertujuan untuk menyelaras program-program profail dan bukan profail serta aktiviti yang dirancang dan akan dilaksanakan oleh Bahagian Pembangunan Belia sepanjang tahun 2023.
Program-program profail di Bahagian Pembangunan Belia pada tahun ini adalah lebih fokus ke arah Pembangunan Sosial, disamping program-program Pembangunan Ekonomi dan juga Sahsiah. Manakala aktiviti yang dirancang bagi bulan Mac hingga April 2023 di Bahagian Pembangunan Belia adalah program-program seperti mengimarahkan sambutan bulan Ramadhan bersama belia-belia di Negeri Pahang dan perancangan Sambutan Jubli Emas Majlis Belia Negeri Pahang sempena 50 Tahun penubuhan.
Semoga aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya.
ROMPIN, 20 Mac – Bengkel Hala Tuju Skim Perkhidmatan Belia dan Sukan telah dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bersama Persatuan Pegawai Perkhidmatan Belia dan Sukan Malaysia (MYSO) pada 16 dan 17 Mac lalu di Hotel Seri Malaysia, Port Dickson.
Pelbagai isu dan perkara bagi pembangunan kepimpinan Skim Perkhidmatan Belia dan Sukan telah dikupas dan dibincangkan selama dua hari bengkel dijalankan. Puan Norsuzila Ernie Zinudin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rompin yang merupakan Pemeriksan Kira-kira MYSO telah hadir untuk bersama dalam merealisasikan tujuan bengkel tersebut.
Turut hadir memberi pandangan dan sokongan adalah Encik Mohd Azhari Mohammad, Ketua Pengarah JBSN, Dr. Zainah Shariff, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia JBSN, Encik Abd Aziz Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan JBSN dan barisan Jawatankuasa Kesatuan Penolong Pegawai dan Pembantu Belia dan Sukan Semenanjung Malaysia (KESATUAN). Semoga perkara yang telah dibincangkan dapat direalisasikan demi kemaslahatan semua pegawai skim belia dan sukan.
KRMSA ROMPIN, 20 Mac – Sekolah Kebangsaan (SK) Denai yang terletak di Perkampungan Orang Asli Denai adalah antara kawasan yang terjejas semasa banjir melanda Kuala Rompin, Pahang baru-baru ini.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Rompin bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Rompin telah menganjurkan Program Pasca Banjir Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Siri 2 bagi membantu kerja-kerja pembersihan di SK Denai pada 14 Mac yang lalu. SK Denai mempunyai dua buah blok bangunan yang dinaiki air setinggi lebih kurang dua kaki telah menjejaskan kawasan kantin sekolah, stor sukan, stor peralatan, bilik aktiviti pelajar, makmal sains, tandas pelajar dan kuarters kakitangan. Puan Norsuzila Ernie Zinudin, Pengurus Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin (KRMSAR) bersama Puan Siti Alifah Hamzah, Encik Ahmad Farid Ahmad Fadzil dan Tuan Syed Zulkifli Syed Mohamad tidak melepaskan peluang menyertai skuad sukarelawan SATRIA Daerah Rompin bagi menghulurkan bantuan dalam misi pasca banjir ini. Kerja-kerja pembersihan dimulakan seawal jam 10.00 pagi melibatkan seramai hampir 30 orang sekarelawan.
Pihak SK Denai merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir menyumbangkan tenaga demi keselesaan pelajar dan sesi pembelajaran persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi. Turut serta dalam misi pasca banjir ini ialah guru-guru dan kakitangan SK Denai, wakil Majlis Belia Daerah (MBD) Rompin, warga kerja Majlis Daerah Rompin (MDR), pegawai dan kakitangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Daerah Rompin, anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Rompin, pegawai Kolej Komuniti Rompin serta SATRIA Daerah Rompin.
KUANTAN, 20 Mac – YB Sim Chon Siang, Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang merangkap ADUN Teruntum telah menyambut baik kunjungan hormat daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kuantan yang diketuai oleh Puan Basyirah Zulkifli, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuantan. Turut hadir dalam sesi kunjungan hormat itu adalah Encik Mohd Yusof bin Md Said, Encik Azian bin Ali dan Tuan Haji Osman Bukhari dan saudara Chong Jun Seng selaku Pengerusi YMM Negeri Pahang.
Dalam perjumpaan tersebut telah dibincangkan semua program belia, sukan dan Rakan Muda bagi daerah Kuantan. PBSD Kuantan turut menyuarakan cadangan program Majlis Pertauliahan ARPRM yang akan dilaksanakan pada bulan April 2023.
YB Sim juga menekan hasrat bagi membina kerjasama yang erat di antara beliau dengan PBSD Kuantan bagi menyemarakkan dan memeriahkan lagi suasana di DUN Teruntum dengan pelaksanaan program dan sebagainya.