KUANTAN, 12 April – Warga kerja Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang telah bersama-sama membantu penyediaan dan mengacau bubur lambuk sempena Program Bubur Lambuk Wisma Persekutuan Kuantan.
Program ini merupakan anjuran Kelab Kebajikan Wisma Persekutuan Kuantan. Bubur lambuk yang mula dimasak pada sebelah pagi tadi, telah mula diagihkan menjelang petang kepada seluruh warga Wisma Persekutuan Kuantan serta para pengunjung yang menyelesaikan urusan di wisma ini. Kemeriahan Ramadhan terus dirasa dengan aktiviti sebegini disamping menunggu kehadiran Syawal yang bakal menjelang. Selain merapatkan silaturrahim, aktiviti ini juga mengukuhkan semangat kerjasama di kalangan Jabatan dan Agensi yang mengambil bahagian.
Semoga keberkatan bulan ini dapat dinikmati bersama. Salam Ramadhan, Syawal menjelang!!!!
ROMPIN, 12 April – Hari kedua projek “MysaveFood” @ Ramadan 2023 berjaya mengumpulkan sebanyak 111.9-kilogram lebihan jualan daripada dibazirkan dan diagih kepada masyarakat setempat.
Minuman merupakan antara lebihan jualan tak terjual yang tertinggi dengan berat 55.2-kilogram dan diikuti dengan kuih muih sebanyak 25.2 kilogram. Agihan hari kedua telah melibatkan surau-surau kecil sekitar Kuala Rompin dan barisan hadapan yang bertugas di malam hari ketika bulan Ramadan ini. Lapan sukarelawan “MySaveFood” telah bertugas hari ini dan telah memberi komitmen yang sangat baik serta kerja yang cekap dan pantas dalam memastikan agihan berjaya dibuat dengan secepat mungkin supaya kualiti lebihan jualan tersebut dapat dikekalkan dan tidak rosak atau basi.
Semoga dengan adanya projek sebegini dapat memudahkan para peniaga yang mempunyai kekangan masa untuk mengagih lebihan jualan tak terjual mereka dengan lebih baik dan tidak dibazirkan.
RAUB, 12 April – Program Majlis Berbuka Puasa Sempena Menyambut Bulan Ramadhan 1444h anjuran Majlis Belia Daerah (MBD) Raub 2023 telah diadakan di Pusat Pengajian Pondok At-Tajuddin Raudatus Solihin (Tahfiz Bukit Pampong) pada 11 April yang lalu.
Seramai 60 orang peserta terdiri daripada pelbagai persatuan belia yang bernaung dibawah Majlis Belia Daerah Raub turut serta memeriahkan program tersebut. Encik Ku Zamri Ku Yusoff serta Encik ShamsulBahari Abdul Malek telah mewakili Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Raub turut sama hadir ke program yang telah bermula pada jam 6.45 petang. Program telah dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran oleh adik-adik pelajar tahfiz disusuli dengan berbuka puasa beramai-ramai. Program diteruskan lagi dengan solat Maghrib berjemaah dan pemberian sumbangan duit raya oleh pengerusi Majlis Belia Daerah Raub, Saudara Mohamad Zakri Hamzah.
Program ini merupakan salah satu program yang dirancang khusus untuk mendekati golongan muda dalam aspek kerohanian.
KUANTAN, 12 April – YAB Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang sempat beramah mesra dengan wakil Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kuantan, Tuan Haji Osman W.Bukhari dalam Majlis Penyerahan Van Kebajikan di Pejabat Menteri Besar Pahang.
Dalam majlis tersebut, wakil PBSD Kuantan telah membentangkan pelaksanaan program Anugerah Remaja Perdana (ARPRM) Peringkat Daerah Kuantan juga Majlis Pentauliahan yang dicadangkan akan diadakan pada bulan Mei yang akan datang. Menteri Besar Pahang telah menyambut baik serta meluluskan sebahagian peruntukkan bagi program tersebut. Beliau juga mengharapkan penglibatan ramai lagi golongan belia remaja dalam program ARPRM ini dan berharap dapat membentuk jiwa remaja yang berkualiti dan holistik.
Semoga perancangan bagi pelaksanaan program ini dapat direalitikan dengan baik.
KUANTAN, 12 April – YB Encik Fadzli Mohamad Kamal, Exco Komunikasi, Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang telah menyambut baik kunjungan hormat daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kuantan yang diketuai oleh Puan Basyirah Zulkifli, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuantan bertempat di pejabat beliau.
YB Exco telah diberi taklimat berkaitan fungsi PBSD Kuantan dan program-program yang akan dilaksanakan di peringkat daerah pada tahun ini. Dalam pertemuan tersebut juga dibangkitkan pelbagai peluang dan kerjasama dalam usaha meningkatkan kualiti dan memperkasa pertubuhan belia, sekaligus memperkasa taraf hidup para belia di Kuantan. Beliau telah menyampaikan hasrat agar dapat meningkatkan jumlah penglibatan golongan belia awal berumur 18 hingga 25 tahun dalam semua aktiviti, program, mahupun persatuan belia dalam daerah ini.
Turut hadir dalam sesi kunjungan hormat adalah Encik Mohd Yusof Md Saidmdan Tuan Haji Osman W.Bukhari.
ROMPIN, 12 April – Projek ‘MysaveFood’ Ramadhan 2023 yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negara melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang telah dimulakan semalam bertempat di Bazar Kuala Rompin.
Projek yang juga anjuran bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Rompin dan Kelab Rakan Muda Elit ini turut dibantu Majlis Daerah Rompin serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Cawangan Rompin. Seramai lapan orang sukarelawan telah turun padang bagi membantu melancarkan projek yang julung kali diadakan ini. Projek telah bermula pada jam 6.00 petang dan berakhir pada jam 9.00 malam ini telah berjaya mengagihkan sebanyak 23.6kg lebihan jualan daripada peniaga daripada bazar tersebut yang tidak terjual. Agihan telah diadakan kepada Surau Nur Iman Nusa Puteri, Masjid Sungai Puteri, Balai Bomba dan Penyelamat Rompin, Rumah Anak Yatim Nur Iman serta beberapa lagi individu yang kurang bernasib baik.
Semoga dengan adanya projek sebegini dapat membantu para peniaga mengelakkan daripada pembaziran lebihan makanan dan minuman serta secara tidak langsung dapat meningkatkan amalan bersedekah di bulan yang mulia ini. Turut sama turun padang adalah Puan Norsuzila Ernie Zinudin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rompin, Encik Mohd Hafiz Abdul Razak, Pengurus SWCorp Cawangan Rompin dan warga kerja PBSD Rompin.
KUANTAN, 11 April – Program Rakan Muda Ramadan yang telah menjadi salah satu program ikonik Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS). Bagi peringkat Negeri Pahang, program ini telah berlangsung pada 6 April 2023 bersamaan 15 Ramadan 1444 hijrah bertempat di masjid Tepian Putra, Kuantan.
“Program ini ternyata mampu mendekatkan diri anak-anak muda beragama Islam dengan bertadarus Al-Quran selain dapat membentuk akhlak anak muda yang positif”, Adam Saidin, Peserta Rakan Muda Ramadan. Pelaksanaan program ini telah memberi impak yang tersendiri di kalangan belia di negara ini terutamanya di Negeri Pahang dimana pada hari tersebut seramai 250 peserta Tadarus Al-Quran, Pertandingan Azan, Pertandingan Taranum dan Pertandingan Tulisan Khat berjaya dihimpunkan.
“Program seumpama ini perlu diteruskan bukan sahaja diperingkat Nageri namun perlu diturunkan ke peringkat daerah bagi meluaskan lagi manfaat program-program pembangunan kerohanian”, gesa YB Fadzli Bin Mohamad Kamal, Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.
Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh YB Encik Fadzli Mohamad Kamal, Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang. Turut bersama Encik Mu’azamir Haji Jili, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Tuan Haji Mohd Fadzli Mat Saman, Ketua Penolong Pengarah Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang, Tuan Yusof Kassim, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Encik Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman, Timbalan Pengerusi, Masjid Tepian Putra, Kuantan.
Kejayaan program ini disokong penuh dengan komitmen dari pelbagai pihak antaranya Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Jabatan Penyiaran Negeri Pahang dan Masjid Tepian Putra Kuantan.
#teamkbs
#pahang1st
#JBSNbersama
Disediakan oleh:-
Azroyana Ullmahayu Mohd Rozin Bahagian Pembangunan Rakan Muda
TEMERLOH, 11 April – Setelah lawatan pemantauan pada bulan lepas selesai, sekali lagi pada 6 April yang lalu pihak Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang yang telah diwakili oleh Encik Najhan Mohamed, Pegawai Pembangunan telah hadir meninjau kerja-kerja projek Naik Taraf Gelanggang Futsal Kampung Bolok Hulu - Sokmek, Lanchang Temerloh.
Kehadiran adalah bagi memastikan projek ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah atau kelewatan yang dapat mengganggu perancangan asal. Encik Azmey Azaini sebagai wakil Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Temerloh telah turut sama hadir di dalam lawatan pemantauan tersebut.
Turut hadir bersama kontraktor Ligat Amat Enterprises.
TEMERLOH, 11 April – Puan Siti Sabariah Che Ariffin, Pembantu Belia dan Sukan (Unit Rakan Muda) Daerah Temerloh telah mengadakan perbincangan bersama Saudari Zaizatul Azmina setiausaha lantikan baru Pertubuhan Belia Emas Perdana(PRIME) Temerloh bagi tahun 2023 bertempat di Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Temerloh.
Antara yang telah dibincangkan adalah komitmen sebagai setiauasaha persatuan mengenai penyediaan Maklumat yang Kena Diberi (MYKD) sebelum akhir bulan Mac setiap tahun. Selain daropada itu, Saudari Zaizatul juga meminta beberapa pendapat dan sokongan berkaitan Program Agihan Bubur Lambuk di Daerah Temerloh yang akan dilaksanakan oleh PRIME dalam masa yang terdekat.
Harapan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Temerloh dengan adanya komunikasi berkesan antara PBSD Temerloh dan Persatuan dan Kelab yang berterusan dapat sama-sama memangkin kesejahteraan dan kejayaan belia di daerah Temerloh.