KRMSA ROMPIN, 4 November 2020 – Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor tidak kedengaran asing bagi Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin (KRMSAR) sejak tahun 2016 lagi. Perhubungan pintar dengan Kelab Jururawat Negeri Johor (KJNJ) telah membuahkan pelbagai jenis program untuk semua lapisan jururawat yang berkhidmat di negeri Johor. Walaupun jadual tugasan yang padat ketika wabak pandemik Covid-19 masih berleluasa, Puan Sarinah Sukor selaku Presiden KJNJ bijak mengatur langkah agar barisan jururawat di bawah naungan KJNJ dapat diberikan ‘refreshment’ setelah bertungkus-lumus berjuang melawan virus yang belum ditemui vaksinnya itu. Sehubungan dengan itu, pada 26 hingga 28 Oktober yang lalu, pihak HSA Johor dengan kerjasama KJNJ telah sekali lagi berkunjung ke KRMSAR bersama 30 orang jururawat untuk menghadiri Program ‘Emotion Recovery for Frontliners’. Puan Sarinah Sukor yang juga penyelaras program memaklumkan program kali ini lebih memfokuskan kepada jururawat-jururawat yang bertugas secara langsung dalam menangani wabak pandemik Covid-19. Beliau mengambil inisiatif menganjurkan program ini kerana memahami kepenatan fizikal dan mental yang dihadapi oleh para jururawat. Program ini bertujuan memberikan motivasi, menaikkan semangat, memupuk nilai murni dan memantapkan jatidiri sebagai seorang jururawat agar terus berkhidmat dengan cemerlang di masa akan datang. Antara aktiviti yang dijalankan adalah motivasi kendiri, penjelajahan emosi, latihan dalam kumpulan di darat dan di air. Program yang dijalankan telah dihadkan kepada 30 orang peserta sahaja dan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan.
Disediakan oleh: Siti Alifah Hamzah, KRMSA Rompin
Disunting & Disemak oleh: Nor Dalilah Mohamad Tajuddin & Nik Nor Syahirah binti Nik Harun, Pentadbir Portal JBS Pahang
- JBS Pahang
- Hits: 492
