KRMSA ROMPIN, 15 Disember 2020 – Seramai 40 orang pelatih dan 16 orang pegawai lain-lain pangkat dari Institut Latihan Pengurusan Materiel (INSMAT), Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Kinrara telah berkampung di Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin (KRMSAR) bermula 7 hingga 10 Disember yang lalu untuk melaksanakan Kursus Pengangkutan Kenderaan Kelas II (Asas Pemandu). Tujuan kursus ini adalah untuk melahirkan anggota Pengurusan Pengangkutan Kenderaan (PPK) dan pemandu TUDM supaya boleh memandu secara bersendirian, memandu mengikut tatacara pergerakan konvoi, membuat pemeriksaan harian kenderaan, membantu melaksanakan penyelenggaraan dan mengisi dokumen-dokumen yang terdapat pada Fleet Kenderaan. Menurut Penyelia Kursus, Sarjan (U) Muhamad Sufhian Nashurriddin, kesiapsiagaan kenderaan bagi melaksanakan tugasan operasi adalah amat penting dan dipandang berat oleh pengurusan tertinggi TUDM kerana kenderaan juga merupakan salah satu aset penting kepada TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Selain aktiviti latihan pemanduan, para pelatih turut didedahkan dengan aktiviti sukan dan aktiviti jiwa murni di Kampung Pantai Bernas, tambahnya lagi. Di dalam ucapan perasmian Majlis Ramah Mesra Kursus, F/Sarjan (U) Ragulan a/l Gopalakisnan selaku Ketua Pergerakan Kursus berharap agar di samping pembelajaran secara langsung, penekanan terhadap sikap peribadi yang mulia seperti mementingkan ilmu pengetahuan, memantapkan kemahiran, memperbetulkan sikap dan kesetiaan terhadap pemimpin dititikberatkan bagi melahirkan anggota yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berketrampilan selaras dengan penghayatan nilai teras utama TUDM iaitu ‘Integrity, Courage, Excellence, Espirit De Corp dan Service Before Self’. Pengurusan KRMSAR telah memastikan pihak INSMAT TUDM Kinrara telah mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh pihak berwajib bagi mengekang penularan wabak Covid19 sepanjang kursus berlangsung.
Disediakan oleh:- Siti Alifah Hamzah, KRMSA Rompin
Disunting & Disemak oleh: Nor Dalilah Mohamad Tajuddin & Nik Nor Syahirah binti Nik Harun, Pentadbir Portal JBS Pahang
- JBS Pahang
- Hits: 1272
